Orang ramai kini kebanyakannya sudah dapat membiasakan diri dengan pembelian barangan dapur dan juga makanan secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Namun, masih ramai yang tertanya-tanya tentang perkhidmatan kecemasan kenderaan bermotor seperti menukar bateri atau tayar. Persoalan ini kebanyakannya berlegar di fikiran pekerja-pekerja yang tertakluk di bawah perkhidmatan penting dan perlu bergerak menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja.
Kebimbangan ini tentunya lebih meruncing melihatkan keadaan di jalan raya yang kini kosong dan sunyi. Sekiranya ‘tersangkut’ dalam situasi itu, bagaimana hendak mendapatkan bantuan?
Orang ramai kini boleh menghela nafas lega kerana perkhidmatan ini juga boleh ditempah dalam talian. Misalnya, melalui aplikasi ‘Bateriku’ yang menyediakan servis penghantaran dan pemasangan bateri kereta, dan juga ‘Carput’ yang menawarkan perkhidmatan towing, penukaran tayar kereta, penghantaran petrol dan juga bateri kereta.
Sumber: Bernama