Tawau merupakan daerah yang terletak di Pantai Timur Sabah. Tawau merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan. Bandar ini dihubungkan dengan Kota Kinabalu melalui jalan raya sejauh 500 km, laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau dan juga laut melalui Pelabuhan Tawau.
Masih ada lagi rakyat Malaysia terutama yang menetap di Semenanjung Malaysia yang tidak mengetahui daerah ini dengan lebih lagi. Perkongsian daripada lelaki ini di laman sosialnya diharap membantu anda yang tercari-cari atau masih terfikir-fikir apa yang ada di Tawau.
1. Ini Tawau. Antara daerah paling hujung di Malaysia.
2. Sejam menaiki bot laju boleh sampai ke Tawi-Tawi di Filipina ataupun Pulau Sebatik di Indonesia. Dan lebih menarik, Pulau Sebatik ini ‘dikongsi’ antara dua negara. Sebelah utara punya Malaysia, yang selatan punya Indonesia. Hatta, ada rumah yang ruang tamunya di Malaysia, dapurnya di Indonesia.
3. Daerah ini menjadi ‘ruang tamu’ dan ‘beranda’ bagi Malaysia dalam berhadapan isu hubungan antarabangsa. Pertikaian wilayah minyak Ambalat (Sayuti 2010, Baureh 2019) dan isu pemilikan Pulau Sipadan (Nadirah 2011) menjadikan daerah ini tidak pernah sunyi. Tidak hairan pangakalan TLDM KD Sri Tawau dibangunkan semula pada tahun 2012 yang menjadi akses Malaysia kepada lautan pasifik.
4. Namun begitu, daerah ini tetap makmur dan damainya bukan kepalang. Asimilasi masyarakatnya dengan sub-budaya dari Indonesia dan Filipina menjadikan Tawau dari aspek sosiologinya semakin kaya dengan perkembangan budaya. Lantas warna-warni ini menjadikan ia sebagai salah satu kota budaya untuk dinikmati. Tawau setiap tahun menjadi tuan rumah bagi Festival Budaya Antarabangsa sejak tahun 2011 penganjurannya. Dihubungkan terus dari Kuala Lumpur sebanyak 6 kali penerbangan sehari (AA 4 kali, MAS 2 kali) menjadikan Tawau sebagai pintu masuk kepada pulau-pulau syurga di perairan Semporna. Selain laluan terus dari Johor Bharu dan Kuching serta laluan terus antarabangsa ke Kota Tarakan, Kalimantan Timur, Indonesia
5. Di samping itu, Tawau terkenal dengan hasil lautnya dan merupakan antara salah satu pusat pendaratan ikan terbesar serta penghasilan produk bilis terbaik di Malaysia selain Langkawi dan Tioman. Berkunjunglah ke Pasar Ikan Tawau, pasti anda temukan kelainan. Dari Ikan Yu, ikan buntal, rumpai laut, ketam nipah, udang harimau, udang galah, udang kara semua anda akan temukan dengar harganya yang cukup murah.
6. Dari segi flora dan fauna, Tawau juga menempatkan Maliau Basin sebagai The Lost World of Sabah. Hutan dara yang penuh dengan spesis-spesis langka. Disebabkan masih kaya dengan kawasan hijau dan hutan, mendapatkan daging rusa dengan harga yang murah tidak lah menjadi masalah. Dagingnya manis. Serius! Majlis kahwin dihidangkan ikan merah dan daging rusa, itu perkara biasa deh!
7. Sebagai Bandar ketiga terbesar di Sabah (selepas Kota Kinabalu dan Sandakan), Tawau diwarnai dengan rumah ibadat seperti Masjid Al Kauthar sebagai masjid terbesar di Sabah, gereja St Patrick bagi penganut Anglican, gereja Holy Trinity bagi penganut Katolik, tokong Phu Zhou bagi yang beragama Budha, kuil Thirumurugan dan Gurdwara Sahib Tawau masing-masing bagi penganut Hindu dan Sikh. Kerencaman ini mewajahkan Tawau sebagai kota silang budaya yang sukses.
8. Yang terkahirnya, soket dan palam (plug) elektrik di Tawau pun berkepala tiga dan kat Tawau pun ada Maybank kalau mahu ‘cucuk’ duit. Sebab ada kawan pernah tanya,
‘Aku nak kena bawak travel adapter ke kalau datang Tawau.’
‘Aku kena bawak duit lebih ke? Sana ada Maybank tak?’
Haha. I jawablah, semua sama macam Semenanjung, cuma turun lapangan terbang kita kena tukar pakaian, semua kena pakai cawat dan akan dapat sumpit setiap seorang. Semua berdekah ?
Kaya tak kaya Tawau ni, 90% dari kenderaan atas jalan semua 4WD okay (padahal 90% jalan berlubang-lubang ?).
9. Jemput datang Tawau!
Sumber: FB Muhammad Irsyad
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI