Boleh dikatakan hampir semua orang sukakan pulau, pantai dan laut. Kombinasi tiga elemen ini cukup mempersonakan mata, jiwa, minda dan hati saat tiba saja ke destinasi percutian yang terletak di ketiga-tiga elemen berkenaan.
Masakan tidak, menghabiskan masa di tepi pantai sambil menghirup udara nyaman bayu laut boleh memberikan ketenangan yang cukup mendamaikan lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah sekian lama kerja keras di hari-hari yang lain.
Tapi seringkali kita dijamukan dengan aktiviti air yang sudah menjadi biasa apabila mengambil pakej atau merancang trip ke pulau, pantai dan laut seperti selam skuba ataupun selam snorkel.
Tak ada aktiviti lain ke selain daripada itu? Jawapannya, ada. Ada beberapa aktiviti air yang lain anda boleh cuba sekiranya ingin keluar sebentar daripada kebiasaan menyelam skuba ataupun snorkeling.
Di sini Libur senaraikan kepada anda, apakah aktiviti membabitkan air yang anda boleh lakukan sewaktu bercuti ke kawasan pulau, pantai mahupun laut. Aktiviti ni bukan sahaja menyelam, malah lebih daripada itu.
Ada aktiviti menyelam menggunakan peralatan yang terbaru dan ada juga aktiviti ronda-ronda menggunakan kenderaan bawah laut. Jadi aktiviti yang disenaraikan ini adalah pelbagai dan memberikan pilihan yang berbeza kepada anda.
Ada di antara lokasi ini tiada di Malaysia. Tapi, apa salahnya kalau disenarai pun kan? Mana la tahu satu hari nanti anda ada pasang angan-angan untuk ke tempat-tempat yang Libur senaraikan, boleh la mula menyimpan daripada sekarang.
Anda boleh cuba untuk menyelam menggunakan H2O Ninja Mask. Aktiviti ini sama seperti selam snorkeling tetapi menggunakan H2O Ninja Mask, bukan topeng biasa snorkeling. Alat biasa snorkeling selalunya menghasilkan kabus yang akan membuatkan anda perlu membersihkan kabus tersebut setelah beberapa minit menyelam, ditambah dengan alat penafasan yang agak janggal dipakai lebih-lebih lagi kepada yang pertama kali menyelam.
H2O Ninja Mask berkonsepkan topeng penafasan full-face, membolehkan anda bernafas seperti biasa menggunakan hidung berbanding alat konvensional snorkeling yang bernafas menggunakan mulut. Selain itu, cermin khas yang digunakan membolehkan anda menyah-kabus sebanyak 90 peratus – menjadikan pengalaman menyelam anda lebih baik daripada selalu.
Menyelam snuba ini sama seperti yang anda lihat penyelam yang menyelam ke dasar laut dalam menggunakan hos lalu disambung dengan tong oksigen. Snuba ini membolehkan anda menyelam ke kedalaman yang lebih dalam berbanding snorkeling tetapi tidaklah melebihi kedalam menyelam skuba – yang memerlukan anda memakai peralatan yang lebih rumit dengan teknik-teknik tertentu.
Satu alat penafasan yang mudah akan disambungkan dengan tong oksigen lalu diberikan kepada anda untuk dipakai, membolehkan anda menyelam ke kedalaman 15 kaki dengan mudah. Dengan kadar penglihatan yang jelas di bawah laut, pasti pengalaman menyelam anda lebih menyeronokkan berbanding biasa.
Antara lokasi yang terkenal dengan peralatan seperti ini adalah di Florida Keys, Amerika Syarikat. Penyelam boleh meneroka kawasan terumbu yang dipanggil sebagai Great Florida Reef. Bilakah peralatan seperi ini akan sampai ke Malaysia. Kita tunggu mana-mana syarikat yang ingin melabur dengan peralatan ni nanti ya.
Alat menyelam ini seakan-akan bentuk motorsikal, anda boleh menunggang dan tidak perlu untuk menyelam beriya ke sana ke mari dengan menggunakan Submersible Scooter ini. Ia ada ruang yang memboleh anda memasukkan kepala dengan selesa dan bernafas seperti biasa.
Ruang kepala ini membolehkan anda menoleh ke kiri dan ke kanan dengan mudah, lantas menjanjikan pengalaman menyelam yang berbeza dengan orang lain. Aktiviti menyelam seperti ini anda boleh lakukan di Kepulauan Honduras, Hawaii ataupun Mauritius. Jauh? Tak berapa jauh pun sebenarnya dengan teknologi pengangkutan yang kita ada zaman sekarang ni.
Lagipun, ramai orang Malaysia yang berbulan madu ke sana. Manalah tahu satu masa nanti anda pula yang akan berbulan madu ke tempat-tempat yang disebutkan tadi. Boleh la cuba aktiviti Submersible Scooter ni.
Kapal Selam Aquatica ini adalah kapal selam mini yang boleh memuatkan antara 3 hingga 5 orang dalam satu-satu masa. Ini bukanlah kapal selam perang berkuasa nuklear yang anda tonton dalam filem. Ini hanyalah kapal selam mini rekreasi yang boleh membawa anda menjelajah ke dasar laut untuk merasai dan melihat dengan mata kepala sendiri, apakah yang ada di bawah laut selama ni.
Kapal selam Aquatica ini boleh menyelam ke kedalaman 3,300 kaki. Selain daripada digunakan untuk tujuan pelancongan, kapal selam Aquatica ini juga digunakan sebagai pengangkutan untuk tujuan penyelidikan dan pembelajaran.
Satu lagi kapal selam yang membolehkan anda merasai pengalaman di bawah laut. Anda boleh rasai sendiri pengalaman menyelam menggunakan kapal selam Atlantis ini sewaktu bercuti sama ada ke Hawaii, Caribbean ataupun Guam.
Kapal selam menggunakan kuasa bateri ini boleh menyelam ke kedalaman 100 kaki dan boleh membawa penumpang dengan kapasiti 12 orang dalam satu-satu masa. Disebabkan menggunakan kuasa bateri, kapal selam ini mesra alam sekitar dan tidak memberikan pencemaran bunyi, sama ada kepada hidupan bawah laut mahupun kepada anda sebagai penumpang.
Selain daripada itu, di tapak selaman kapal selam ini, syarikat pengoperasinya juga telah meletakkan terumbu karang buatan manusia di beberapa lokasi kapal tenggelam – lalu menghasilkan terumbu karang buatan yang kini menjadi rumah kepada penyu dan ikan-ikan.