Setelah industri pelancongan kembali rancak pada tahun ini setelah pandemik melanda selama 2 tahun, syarikat penerbangan AirAsia X membuat comeback dan bakal membuat penerbangan baharu ke London, Dubai dan Istanbul.
Ketua Pegawai Eksekutif, Benyamin Ismail menyifatkan pengumuman itu menandakan segmen penerbangan tambang murah jarak jauh kembali rancak tahun ini.
“Penyambungan penerbangan semula ke London serta penerbangan kali pertama terus ke Dubai bakal menjadi pemangkin perkhidmatan penerbangan jarak jauh bernilai hebat dan ia akan mula dijual tidak lama lagi untuk perjalanan menjelang akhir tahun ini.
“Melalui perkembangan perkhidmatan ini, kami akan terus menambah jumlah pesawat dan berharap untuk mengambil kembali para juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur.
“Saya yakin semua perkhidmatan kami yang disambung semula atau baharu ini akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami akan kembali kepada kapasiti pra-COVID di beberapa laluan utama kami dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
Ads
Pada masa sama, kapasiti penumpang juga diunjur kembali seperti tempoh sebelum pandemik dalam masa 12 bulan.
Anak syarikat kumpulan Capital A itu turut mengumumkan empat laluan baharu melibatkan Tokyo, Sapporo dan Osaka di Jepun, selain ke Hawaii.
Ads
AAX kini menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu.
Ads
Semua laluan ini tersedia untuk ditempah bermula hari ini hingga 26 Jun 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023, bermula daripada RM499 (tambang sehala termasuk semua) untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk premium flatbed.
Berhubung kenaikan harga minyak dunia, syarikat yakin mampu mengekalkan tambang kompetitif disokong perkhidmatan kargo selain langkah kawalan kos.
Pameran Firaun Ramses II dan Raja Tut dilapor akan dianjurkan tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 umum Timbalan Menteri Pelancongan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik beberapa hari yang lalu.
Berita kehadiran Firaun ke Malaysia itu begitu mengujakan ramai orang untuk melihat dengan lebih dekat.
Namun begitu, perkara itu belum diputuskan lagi dan perlu dibincang di peringkat Kabinet mahupun kementerian terlebih dahulu. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi Mohamaddin berkata demikian apabila ditanya akan pameran itu seperti yang diumumkan oleh timbalannya
Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu bagaimana pengumuman sebegitu boleh dibuat tanpa melalui proses yang sepatutnya.
“Terkejut tidak juga terkejut, pasal perkara begini biasanya tidak boleh jadi. Untuk membawa Firaun ke sini insuransnya sahaja mungkin ratusan juta ringgit kalau kerajaan Mesir lepas, kalau tidak dia lepas, langsung tiadalah pamerannya. Ini peringkat tertinggi perlu bincang dengan orang peringkat tertinggi di sana, bukan di peringkat menteri atau timbalan menteri ,” katanya.
Ditanya lagi sama ada pameran itu akan tetap diadakan memandangkan pengumuman telah dibuat, Mohamaddin berkata beliau tidak pasti kerana ia belum pun dibawa ke perbincangan peringkat kementerian.
Orang ramai yang mengunjungi Menara Alor Setar berpeluang menyaksikan keindahan dan pemandangan bandar raya ini pada ketinggian 105 meter menerusi bilik kaca ‘Star View’ yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Pembinaan bilik kaca itu diilhamkan daripada kejayaan dua bilik kaca yang terdapat di Menara Kuala Lumpur. Terdapat dua bilik kaca berwarna hijau dan kuning di Menara Alor Setar yang melambangkan warna bendera Kedah dibina dengan lantai kaca bersaiz empat meter persegi pada ketinggian 105 meter yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan Alor Setar.
Bilik kaca pertama atau Star View 1 yang berwarna hijau membolehkan pengunjung melihat keindahan panorama sawah padi dengan keindahan Gunung Keriang, manakala menerusi Star View 2 yang berwarna kuning pengunjung boleh melihat bangunan ikonik dan bersejarah seperti Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat serta pemandangan sejauh ke Pulau Langkawi.
Pihak Menara Alor Setar juga telah menyediakan beberapa kemudahan lain seperti ruang menunggu dan lif hidraulik bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin merasai pengalaman baharu itu.
Setiap bilik kaca itu dapat menampung enam orang dalam satu masa dan setiap seorang hanya dibenarkan berada di dalamnya selama dua minit sahaja bagi membolehkan pengunjung lain turut mendapat peluang merasai pengalaman itu.
Star View ini bakal dibuka kepada pengunjung tidak lama lagi selepas ia dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat. Ketika ini Menara Alor Setar sedang giat mengadakan promosi kemasukan percuma ke dek pemerhati yang terletak pada ketinggian 88 meter bagi menggalak kedatangan pengunjung ke bangunan mercu tanda itu. Kemasukan percuma sehingga 31 Julai ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
AirAsia membuat keputusan mengeluarkan kesemua penerbangannya daripada ejen tempahan tiket dalam talian, Traveloka.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, keputusan tersebut dibuat berpunca daripada ketiadaan penerbangan AirAsia Indonesia di laman Traveloka. Punca ketiadaan penerbangan itu juga, kata AirAsia, tidak dijelaskan oleh Traveloka buat kali kedua dalam tempoh dua minggu.
Pengarah Presiden AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan berkata, ketiadaan penerbangan dari AirAsia Indonesia itu telah menjejaskan kerjasama syarikat berkenaan dengan Traveloka.
“Pihak Traveloka tidak menjalankan kerja dengan jujur dan enggan untuk memberikan penjelasan rasmi meskipun telah berulang kali untuk memberikan penjelasan” kata Dendy menyelar tindakan ejen tempahan tiket dalam talian itu lagi.
Traveloka juga dikatakan mengamalkan sikap pilih kasih berikutan ketiadaan beberapa penerbangan AirAsia Indonesia. Bahkan, apa yang mengecewakan AirAsia ialah Traveloka turut mencadangkan pelanggan dari media sosial untuk memilih penerbangan lain.
Berikutan itu, Dendy berkata, pengurusan kumpulan AirAsia dengan serta merta menarik semua jualan tiket penerbangan mereka. Dalam masa sama, syarikat berkenaan menyarankan pelanggan-pelanggan mereka agar membuat tempahan tiket secara langsung melalui laman web rasmi airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia.
Traveloka dalam respon mereka berkata, ketiadaan penerbangan AirAsia di laman web disebabkan oleh sistem syarikat penerbangan tambang murah itu tergendala selama 13 jam. Kejadian berkenaan berlaku pada 14 hingga 17 Februari lalu sementara insiden kedua pula berlaku pada 2 Mac lalu tanpa sebarang penjelasan walapun sistem AirAsia sudah kembali pulih seperti sedia kala.