Berita

AirAsia Tawar Tiket Penerbangan RM99 Dari Kuala Lumpur Ke Quanzhou Mei Ini

Share

Penumpang setia AirAsia bakal menikmati tawaran istimewa daripada syarikat penerbangan tambang murah itu apabila AirAsia akan menawarkan tiket penerbangan sehala sebanyak RM99 kepada ahli AirAsia.

Tawaran tambang promosi itu adalah bersempena pelancaran penerbangan terus secara harian baharu dari KL – Quanzhou yang akan bermula pada 1 Mei 2019 ini dan tawaran harga RM99 itu bersekali dengan cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat mengulas bahawa perkhidmatan KL- Quanzhou akan menawarkan pilihan penerbangan yang lebih baik kepada pelancong Malaysia dan juga China. Selain daripada itu, AirAsia turut dapat mengembangkan capaian destinasi ke bandar-bandar unik di China.

Dalam pada itu, AirAsia juga akan menyediakan perkhidmatan ke bandar-bandar kedua di China seperti Guilin, Shantou dan Nanning dalam usaha mereka untuk meneroka peluang baharu dan menghubungkan hab-hab AirAsia di Malaysia ke China.

Sedikit fakta mengenai Quanzhou, bandar itu pernah menjadi pelabuhan terbesar dunia dan titik permulaan kepada Laluan Sutera Maritim yang turut dikenali sebagai Zaiton oleh pedagang Arab selain pernah dinobatkan oleh Marco Polo sebagai ‘antara dua tempat perlindungan terbesar di dunia untuk perdagangan’.

Dek kerana statusnya yang pernah menjadi pelabuhan perdagangan paling penting selama tiga abad, Quanzhou masih lagi kekas sebagai destinasi pelbagai budaya dan agama yang turut menawarkan banyak kuil Buddha dan Hindu, masjid dan gereja malah muzium yang mempamerkan warisan maritim di sana.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Oleh
Epul