Terkini AirAsia telah melaksanakan caj daftar masuk melalui kaunter di beberapa buah negara dan bandar terpilih berkuat kuasa serta-merta.
Ia bertujuan untuk menggalakkan penumpang menggunakan kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih yang telah dikemas kini baru-baru ini menurut satu kenyataan rasmi.
Berikutan pandemik Covid-19, kemudahan daftar masuk sendiri ini menjadi amat penting bagi mengurangkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan AirAsia. AirAsia telah melihat respons yang amat baik bagi penggunaan perkhidmatan daftar masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk di lapangan terbang sejak kebelakangan ini. Pelaksanaan caj daftar masuk melalui kaunter adalah cara untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital tersebut yang menelan belanja besar, untuk menyokong dan meningkatkan kecekapan operasi dan kemudahan untuk para tetamu.
AirAsia merupakan antara syarikat penerbangan pertama yang membolehkan laporan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dipaparkan di laman web AirAsia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia. Penumpang boleh memuat naik laporan PCR mereka atau dokumen perjalanan terpilih dan mendaftar masuk sebelum tiba di lapangan terbang untuk pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar.
image via google | Airasia