Air Terjun Latak, Umpama Kolam Mandi Dikelilingi Hutan Tropika

Share

Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak antara destinasi ekosistem semulajadi yang lengkap di Malaysia, mengambil masa lebih sejam setengah pemanduan dari bandaraya Miri. Kawasan hutan tropikanya seluas 6,952 hektar telah menghasilkan tahap tumbesaran tumbuhan tertinggi di dunia.

Di sini menjadi habitat kepada lebih 200 spesis burung, tupai, babi hutan, monyet, dan beberapa spesis serangga unik. Taman Negara Bukit Lambir juga mempunyai beberapa trek perjalanan yang boleh membawa pengunjung ke kawasan air terjun yang dingin.

Kebanyakan trek di Taman Negara Bukit Lambir bersambung antara satu sama seperti trek ke Bukit Pantu, Trek Air Terjun Nibong dan Trek Air Terjun Latak. Namun, Trek Air Terjun Latak merupakan yang paling mudah dan popular untuk dikunjungi.

Pada hujung minggu, kawasan ini pasti menjadi tumpuan pengunjung terutamanya penduduk tempatan di area Miri untuk berkelah. Untuk sampai ke Air Terjun Latak, pengunjung akan melalui kawasan laluan air jernih yang bakal menemukan sebuah kolam mandi hutan yang besar dikelilingi dinding batu curam. Tidak jauh dari situ, kelihatan lambaian Air terjun Latak setinggi 25 meter mengalukan kedatangan pengunjung.

Untuk keselesaan pengunjung, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan seperti bilik persalinan, tandas dan kawasan berkelah. Demi keselamatan, satu petanda aras diletakan di kawasan air terjun sebagai peringatan lokasi tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai bermandi manda khusus bagi kanak-kanak dan individu yang tidak pandai berenang.

Info Bukit Pantu

  • Untuk ke Trek Bukit Pantu dan Air Terjun Pantu, pengunjung akan melalui trek yang sama ke Air Terjun Latak, tetapi berpisah di satu persimpangan yang diletakkan papan tanda. Pengunjung akan melalui kawasan peninggalan menara pokok, kemudiannya menurun ke kawasan hutan tebal menuju air terjun Nibong, tempat yang sesuai untuk berehat seketika.
  • Kawasan selepas trek Air Terjun Pantu pula merupakan kawasan tinggi hutan tebal yang dipenuhi bunyi hidupan liar di Lambir. Setelah berjalan 4km, trek ini berpecah, pusingan kanan akan membawa anda ke puncak Bukit Lambir.
  • Sepanjang perjalan di trek yang disediakan, terdapat pelbagai info menarik yang diletakkan pada setiap tumbuhan untuk pengetahuan pengunjung.
Oleh
Husna