Gunung Banang yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat dengan puncak setinggi 432.38 meter dari paras laut itu popular sebagai kawasan rekreasi orang ramai untuk berjoging dan mendaki, selain mempunyai pemandangan indah menghadap Selat Melaka.
Seperti gunung lain yang ada di Malaysia, Gunung Banang juga mempunyai kisah ‘misteri’ tersendiri. Kisah Puteri Gunung Banang mungkin agak asing walaupun pernah dipaparkan menerusi filem terbitan pada 1959, selain diabadikan dalam beberapa lagu dan qasidah yang mengiringi tarian zapin.
**media[131430]**
**media[131429]**
**media[131432]**
Tidak seperti Puteri Gunung Ledang di Muar yang kisahnya diketahui ramai serta banyak diterbitkan dalam bentuk buku, drama, teater atau filem, kewujudan Puteri Gunung Banang kurang disedari kecuali bagi penduduk tempatan.
Jika diamati, lagu asli Gunung Banang termasuk yang pernah dipopularkan biduanita negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, memuatkan kisah betapa gunung itu digambarkan menjulang tinggi ke langit, sekali gus menjadi simbol penting kepada pelayar yang melewati Selat Melaka. Dalam filem klasik terbitan Malay Film Production Limited pula, Gunung Banang digambarkan kawasan pergunungan indah didiami seorang puteri bunian jelita yang membantu seorang pemuda hodoh dan miskin menjadi kacak serta kaya kerana hatinya yang baik, jujur dan rajin.
Ada pula pendapat mendakwa, Puteri Gunung Banang bersaudara dengan Puteri Gunung Ledang, malah mereka mempunyai tujuh beradik berasal dari Tanah Jawa, Indonesia yang menguasai gunung di sini. Antara saudara mereka yang lain adalah Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban di sempadan Johor dengan Pahang.
Namun semua puteri ini tidak dapat dilihat mata kasar kerana mereka dikatakan makhluk ghaib dan hanya ditemui sesetengah individu serta orang yang sesat di gunung berkenaan. Namun sehingga hari ini, kisah sebenar atau legenda Gunung Banang tidak banyak diketahui penduduk, malah turut menimbulkan tanda tanya mengapa diabadikan dalam lagu dan difilemkan.
Dunia Lain
Penduduk di kaki Gunung Banang, Zainab Ahmad, pula mendakwa keluarganya pernah berhadapan beberapa situasi pelik dan misteri sepanjang tinggal di situ selepas diterokai penduduk asal termasuk allahyarham datuknya. Dia berkata, arwah datuknya melarang keras mereka merosakkan mana-mana kawasan di gunung itu dan tidak boleh sesuka hati memetik buah, bunga atau pokok dalam hutan, selain sentiasa menjaga kebersihan di sini dengan alasan kami berkongsi tempat tinggal dengan makhluk lain.
“Mulanya, kami beranggapan ia hanya pantang larang amalan datuk sahaja sehinggalah saya dan keluarga mengalaminya sendiri. Arwah suami pernah terserempak perkampungan bunian ketika diupah memotong rumput di puncak gunung yang menempatkan menara telekomunikasi. Selepas beberapa hari pucat lesi kerana ketakutan, dia mendakwa terserempak perkampungan cantik dengan penduduk berpakaian serba putih dan mewah, selain diselubungi bauan harum semerbak ketika bekerja di puncak gunung terbabit,” katanya.
Zainab mendakwa, pernah beberapa kali terserempak kelibat wanita berselendang bersama dua anak berpakaian serba putih melalui kawasan rumahnya yang dipenuhi pokok serta tanaman herba termasuk senduduk putih tetapi tidak pernah bertegur sapa.
“Namun, beberapa pendaki pernah berdepan pengalaman mengerikan apabila terserempak lembaga wanita berambut panjang dan berbaju putih dengan wajah menakutkan, hingga mereka serik datang ke sini. Kejadian pelik pernah menimpa beberapa pekerja teknikal menara telekomunikasi dan askar yang dahulu pernah berkawal di puncak gunung ini. Selain terserempak lembaga berpakaian putih, seorang pekerja pernah tersesat sekitar kawasan menara sebelum ditemui dalam kebingungan di kaki gunung dekat Jalan Tanjong Laboh kira-kira 20 kilometer dari situ,” katanya.
Lagenda Mitos Melayu
Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor, Dr Md Akbal Abdullah, menyifatkan legenda Puteri Gunung Banang adalah mitos Melayu, yang ada kaitan dengan corak pemerintahan dan geografikal politik kerajaan zaman lampau. Md Akbal yang juga ahli Gabungan PenulisPenulis Nasional (GAPENA), berkata kisah itu berkait rapat dengan kerajaan Melayu purba tetapi kesahihan wujudnya Puteri Gunung Banang, tidak dapat dijelaskan secara fakta.
**media[131433]**
“Kewujudan makhluk ghaib di dunia ini termasuk dikatakan bunian sukar dinafikan. Rakan saya yang juga pensyarah serta pelajarnya pernah terserempak makhluk itu serta perkampungan mereka ketika menjalankan kajian di Gunung Ledang dahulu. Namun agak menarik, apabila ada lagu asli yang turut mengabadikan subjek Gunung Banang sejak dulu yang disimbolkan dengan penuh gah serta indah menerusi perumpamaan apabila memandang gunung berkenaan seperti memandang pintu syurga. Apa yang kita dapat simpulkan, alam Melayu yang sinonim dengan laut itu disimbolkan sebagai kekuasaan dan kerajaan, darat itu raja dan gunung itu dengan puterinya, malah tidak dinafikan, Batu Pahat dahulu antara pelabuhan yang banyak disinggahi pedagang kerana terletak hampir dengan Melaka. Bagi saya, legenda Puteri Gunung Banang ini menjadi cerita lisan sebagai daya penarik kepada pelayar yang melewati Selat Melaka untuk singgah berdagang di sini. Itulah daya penarik Batu Pahat sehingga pelayar tidak sabar ke sini bagi melihat sendiri mercu tandanya iaitu Gunung Banang,” katanya.
Rujukan
-Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Johor
-Dr Md Akbal Abdullah
-Berita Harian
-Mohamed Farid Noh
Sumber: FB WarisanJohor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI