Sebelum ini, jejaka Lombok ditakuti kerana gemar melarikan gadis dan wanita Malaysia yang tidak dikenali untuk dijadikan pasangan hidup.
Lombok
Lupakan kes menakutkan pasal Lombok ini seketika sebaliknya mari ketahui keindahan dan kehebatan Lombok yang hampir sama besarnya dengan Bali ini!
Hakikatnya, Lombok merupakan pulau yang kaya dengan keindahan. Lombok terletak di bahagian timur Bali termasuk di dalam gugusan Nusa Tenggara Barat (Lombok dan Sumbawa). Lombok yang majoriti didiami penduduk yang beragama Islam seramai 85% ini baru saja membuka lapangan terbang bertaraf antarabangsa di daerah Praya setahun lebih yang lalu. Sebelum ini, lapangan terbangnya terletak di Selaparang, bahagian timur Lombok.
Apabila anda tiba di Lombok, Pulau Gili Trawangan antara lokasi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan kemudahan yang disediakan. Pulau Gili Trawangan berkeluasan 35km persegi, mempunyai 30 penginapan berkonsep vila dan resort. Terdapat dua pulau berdekatan iaitu Gili Meno dan Gili Air. Kebanyakan pulau ini menjadi lokasi untuk aktiviti menyelam serta aktiviti santai sepanjang pantai.
Di pulau ini, ternyata terumbu karang di sekitar pulau masih belum tercemar dan hidupan akuatiknya turut banyak. Oh ya, kenderaan dan motosikal tidak dibenarkan masuk maka kereta kuda dan basikal menjadi pengangkutan utama.
Apabila anda berhenti di Malimbu, anda boleh melihat panorama indah menghadap laut dari bukit. Anda boleh melihat gunung berapi Agong di bahagian timur Bali yang terletak bersebelahan barat Lombok.
Setibanya anda di Senggigi, terdapat banyak hotel, resort dan vila bertaraf lima bintang. Namun, kawasan ini lebih ‘havoc’ pada waktu malam kerana adanya pusat hiburan untuk para pelancong.
Meskipun Lombok pernah dijajah oleh kerajaan hindu Majapahit, anda pasti akan melihat banyak masjid. Jadi, ia mudah buat anda mencari makanan yang halal. Antara hidangan yang mesti cuba adalah Ayam Taliwang. Bagi anda yang berniat untuk membeli-belah, lupakan saja kerana Lombok lebih sesuai untuk menjadi destinasi bulan madu atau destinasi merehatkan minda dan mencari ketenangan.