Ada 2000 Tanglung Dalam Restoran. Restoran Dim Sum Di Pulau Pinang Ini Lokasi Ideal Rakam Detik Perayaan Bermusim

Share

Ketibaan pengunjung di sebuah restoran Dim Sum di Lebuh Cintra, Pulau Pinang disambut warna-warni lebih 2,000 tanglung kertas kaca yang dipasang bagi mengingatkan pelanggan tentang kedatangan Festival Kuih Bulan tahun ini.


Festival Kuih Bulan, juga dikenali sebagai Festival Pertengahan Musim Luruh, dirai pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar lunar Cina dan tahun ini perayaan itu jatuh pada 1 Oktober 2020 nanti.


Tanglung yang menghiasi ruang dalaman restoran tersebut menampilkan bentuk haiwan dan makhluk mitologi Cina seperti naga timur, burung phoenix dan Qilin, serta watak kartun yang popular seperti Doraemon, Batman dan Elsa daripada filem Frozen.

Hiasan bermusim yang unik di restoran itu merupakan tradisi yang dilakukan sejak 15 tahun lepas. Tanglung-tanglung terbabit berharga antara RM12 dan RM45 sementara tanglung edisi terhad yang boleh berpusing sendiri apabila lilin di dalamnya dinyalakan dijual pada harga RM128 seunit. Semua tanglung yang dijual di restoran itu dibuat dan dibekalkan oleh pembuat tanglung tempatan dari kampung-kampung di seluruh Malaysia.






Ramai pengunjung akan membawa anak-anak mereka berkunjung ke sini untuk mempelajari tentang peranan penting tanglung dalam Festival Kuih Bulan. Orang ramai dijemput melawat ke premis ini untuk mengambil gambar kenang-kenangan atau melihat dengan lebih dekat sambutan perayaan Festival Kuih Bulan.



image via google | sumber: Bernama

Oleh
Husna