9 Tip & Panduan Untuk Kaki Nature Yang ‘First Time’ Melawat Taman Negara Kuala Tahan

Share

Pernah cuba percutian alam ke taman negara di Malaysia? Jika belum, anda dicadangkan untuk ke Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sesuatu yang tidak mengecewakan.

Ini tip dan panduan ringkas buat anda yang bercadang ke Taman Negara Kuala Tahan:

  • Jika anda menaiki kenderaan sendiri, buat pemanduan terus ke Jeti Kuala Tahan, dan letakkan kereta di kawasan parkir disediakan. Anda dicadangkan untuk parkin di kawasan lebih tinggi dan bukan berhampiran sungai.
  • Kemudian naik bot untuk menyeberangi sungai dengan bayaran RM1 membabitkan perjalanan selama dua minit.
  • Setibanya di sana anda akan diberi penerangan dan diminta memilih jenis penginapan yang diinginkan. Untuk lebih menghayati alam, dicadangkan untuk memilih penginapan membina khemah di kawasan yang disukai.
  • Jika memilih membina khemah diingatkan tidak meletakkan barang di luar khemah kerana terdapat banyak haiwan liar berkeliaran di kawasan itu terutama pada sebelah malam. Tapak perkhemahan turut dilengkapi kemudahan asas seperti bilik air, dapur untuk memasak dan kawasannya diterangi dengan lampu malap.
  • Namun, jika membawa anak kecil atau mementingkan keselesaan, anda boleh memilih untuk menginap di Mutiara Resort. Terdapat puluhan resort atau chalet yang menarik hati untuk dihuni.
  • Ambil masa mengunjungi Lata Simpon untuk mandi-manda. Jangan risau meredah denai di sini kerana hutan dijaga dengan baik dan setiap denai disediakan pelantar pejalan kaki.
  • Jangan lupa juga singgah di titian kanopi terpanjang di dunia iaitu sepanjang 550 meter pada ketinggian 45 meter dari tanah. Hanya seorang dibenarkan menaiki titian kanopi ini pada satu-satu masa untuk menghayati flora dan fauna yang berusia ratusan tahun.
  • Waktu malam, ambil peluang untuk ke 'Bumbun' iaitu sebuah rumah kayu ala menara tinjau untuk menjenguk perilaku haiwan liar seperti rusa, tapir, landak menjilat garam galian di jenut. Di Taman Negara ini terdapat beberapa bumbun antaranya Bumbun Tahan, Bumbun Tabing, Bumbun Cagar Anjing, Bumbun Blau, Bumbun Yong dan Bumbun Kumbang.
  • Luangkan masa ke Lata Berkoh dengan menaiki bot panjang. Pengunjung akan dibawa singgah ke santuari kelah di Lubuk Tenor untuk memberi ikan makan selain melihat pokok tualang terbesar yang direkodkan di Taman Negara.






Oleh
Admin