Sektor pelancongan eko ialah antara segmentasi pelancongan yang paling menerima sambutan di Negeri Selangor kerana keunikan alam semulajadi di Negeri ini. Dengan pelbagai aktiviti pelancongan eko yang menarik dan cukup mengujakan di Negeri ini, apa kata anda luangkan masa senggang anda kelak dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar di cadangan lokasi seperti berikut:
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang.
Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar.
Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki. Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
Untuk maklumat lanjut, layari www.selangor.travel atau hubungi 03-55132000.
Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih.
Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai.
Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju. Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30.
Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam.
Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia. Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun.
Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta.
Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor.
Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara. Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Negeri Selangor mempunyai banyak tempat pelancongan eko yang menarik bagi penggemar alam semulajadi. Namun, kunjungan ke lokasi-lokasi yang dinyatakan, serta lokasi alam semulajadi yang lain perlu diterapkan dengan nilai tanggungjawab terhadap faktor kebersihan.
Selain itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar para pelancong sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan supaya rantaian jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.