Bumi Kenyalang, negeri yang sangat menarik untuk diterokai kerana bukan sahaja memiliki sejarah yang unik malah kaya dengan alam semula jadi, budaya dan berbilang bangsa termasuk kaum peribumi.
Selain berkunjung ke ibu negeri Sarawak yang bertempat di Kuching, anda dicadangkan untuk teroka daerah Mukah.
- Jika anda tiba melalui penerbangan udara dari Sibu, sambung percutian ke pekan Mukah dengan menaiki bot ekspres yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam dan rasai keenakan mi udang galah di pekan Oya dan Dalat dengan harga yang sangat berpatutan.
- Tiba di Kampung Telian, seeloknya menginap di Lamin Dana Cultural Boutique Lodge untuk merasai pengalaman menarik tinggal di rumah tradisional kaum Melanau yang dipanggil Rumah Tinggi.
- Sudah sampai di Mukah, wajib ke Sungai Misan dengan sampan untuk melawat kebun sagu dan melihat bagaimana pohon sagu dikeluarkan dari hutan dan seterusnya ditolak ke dalam sungai, lalu di bawa ke tempat pemprosesan. Sagu adalah makanan ruji di kawasan itu dan selepas diproses ia menjadi tepung, bebola serta banyak lagi yang menjadi sumber pendapatan bagi penduduk.
- Dari Sungai Misan, selusuri pula Batang Mukah hingga sampai ke Pasar Ikan Mukah untuk membeli beberapa makanan kampung seperti pucuk paku, tepung sagu (untuk dibuat linut), umai (kerabu ikan mentah segar) dan ulat sagu.
- Disebabkan kedudukannya di muara sungai, Mukah juga kaya dengan hutan bakau seperti Taman Tanjung Pedada berhampiran jeti Mukah.
- Jangan lupa bergambar di Jambatan Batang Mukah berukuran 243 meter yang siap dibina pada 2006 merentasi Sungai Gigis.
- Tidak jauh dari situ, lawati juga Boulevard Setia Raja iaitu taman hijau dengan air pancut yang tersedia tempat untuk membeli-belah.
- Sebelum pulang, singgah di Kilang Memproses Kuih Asli Kampung Judan yang terkenal dengan pembuatan Kuih Sepit dan Kuih Gunting untuk rasai keenakannya selain boleh dibeli sebagai ole-ole.
Jom cuti-cuti Malaysia, terokai Bumi Kenyalang!
Foto: sarawaktourism.com | Sumber: HMOnline
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah A Famosa Yang Menjadi Saksi Bisu Tiga Kuasa Besar Dunia
Kota A Famosa bermaksud Yang Termasyhur dalam bahasa Portugis. Kota ini dibina Portugis selepas berjaya menawan Melaka pada 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan antara seni bina Eropah tertua yang masih wujud di Asia.
Sejarah A Famosa
Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar A Famosa, atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.
Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.
Kota A Famosa yang mempunyai empat menara, atau katelum (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.
A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.
Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh dan membantu Portugis menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.
Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran “Anno 1670”.
Kedatangan British tanpa bertempur
Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.
Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, atau membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Dengan sebab itu,William Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India.
Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera ‘sepoy’ dan pengecilan itu akan membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang. Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.
Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.
Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kakitangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.
Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota ‘A Famosa’ pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.
British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.
Penemuan arkeologi
Pada akhir November 2006, sebahagian struktur kota, dipercayai Kubu Middelsburgh dijumpai secara tidak sengaja semasa pembinaan menara berputar 110 meter di bandar Melaka. Pembinaan menara ditangguhkan selepas penemuan tersebut. Koperasi Muzium Melaka mensyaki struktur tersebut dibina oleh Belanda semasa pendudukan Belanda ke atas Melaka dari 1641 hingga 1824.
Lebih awal lagi pada Jun 2003, menara kawalan digelar Kubu Santiago dijumpai semasa pembinaan Dataran Pahlawan.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“The Most Beautiful Sunrise”, Wanita Kongsi Pengalaman Saksikan Matahari Terbit Di Puncak Gunung Fiji
Alam ciptaan Allah ini sememangnya indah. Ia berbeza dari satu negara ke satu negara mengikut bentuk muka buminya. Keindahan alam ini juga satu bukti kekuasaan Allah taala yang menjadikan langit dan bumi ini menurut aturanNya.
Dikongsikan dari fb Zunita Ramli yang juga rakyat Malaysia yang menetap di Jepun ini, owner dan founder produk Tokyo Organik HQ ini berkongsi keindahan menyaksikan matahari terbit ini ketika pendakiannya ke Puncak Gunung Fiji yang sangat terkenal serata dunia hingga menarik jutaan pelancong ke lokasi ini saban tahun.
Baca pengalaman Zunita Ramli yang mendaki Gunung Fuji.
Malam tu, tak dapat tidur.
Tidur di altitud tinggi tambahan lagi pakcik sebelah sana berdengkur punya kuat juga mencabar ye. Terkebil-kebil mata tak dapat tidur. Kepala mula berdenyut, tak pasti sebab altitude sickness atau cuma penat, aspirin ditelan 2 biji. Setel.
Pukul 1:30 pagi saya dah bangun siap-siapkan beg apa semua dan suhu masa tu pun agak sejuk juga, lebih kurang 5-6 darjah selsius. Oksigen makin nipis dan angin pun agak kuat. Jadi pakai pakaian bersesuaian sangat membantu.
Pukul 2 pagi, saya gerak. Gelapnya ampun, dengan angin kuatnya.. nasib ada lampu kepala (headlamp). Sangat-sangat membantu. Angin kuat menyapa muka seakan-akan meminta berhenti sebentar melihat keindahan alam yang amat jarang saya dapat lihat.
Saya lihat ke atas, bintang sangat bersinar, banyak jumlahnya dan sangattttttt cantik! Ibarat gugusan berlian bertaburan di langit hitam yang pekat. Awan lansung tak ada, langit cerah secerah-cerahnya! Bulan, pun nampak jelas. Ibarat mengiringi pendakian solo saya di awal pagi.
Nun di ufuk sana, nampak cahaya pekat malam disulam warna biru pekat dengan sedikit campuran oren. Di bawah pula, bandar Fujiyoshida yang disinari cahaya lampu jelas kelihatan. MashaAllah banyak sangat ciptaan Dia yang saya dapat tengok dengan jelas masa daki ni. Sangat cantik. Speechless.
“Jalan Jem menuju ke puncak”
Saya teruskan pendakian.
Sampai ke stesen kesembilan telahan saya tepat, jalan jem. Ye tentuan, nak daki pun boleh jem ye jalan. Nasib takde traffic light kalau tak mesti lagi jem . Siap ada “polis traffic” yang jaga jalan & bagi sorakan “ganbatte!”, “you can do it!”, disambut dengan gelak tawa pendaki lain. Seronok juga sebenarnya.
Kejap gerak, kejap berhenti. Macam tu lah sampai ke puncak.
Patut ambil masa 2 jam dari stesen 8 tapi sebab jem, jadi 2 jam 30min. Saya expect kalau daki Sabtu atau Ahad, lagi teruk kot jem nya. Memang ramai orang daki awal pagi sebab nak kejar sunrise. Alhamdulillah saya akhirnya sampai ke puncak dalam 4:30 pagi.
Dekat puncak, dah rasa perut macam tak selesa dan nak muntah, mungkin masa naik dari stesen 9 tu saya tak stop lansung sebab fikir nak cepat. Ini tanda-tanda altitude sickness juga. Tapi saya tak sesak nafas, cuma perut je lah rasa tak selesa.
Serba tak kena juga jadinya. Jadi hati-hati ya pada yang lain. Pastikan masa naik, terutamanya dari stesen ke 9, rehat secukupnya sebab oksigen makin menipis. Don’t rush, nanti menyesal macam saya. Huhu.
Kat atas tu ada kuil (as expected) dan kedai juga. Ada jual souvenir, makanan dan sebagainya lah. Saya beli keychain & ukir tarikh saya berjaya tawan puncak Fuji, iaitu 28 Ogos 2021. Kenangan kan. Harga ¥1000 (RM40) lah tapi hehe.
Kemudian, saya ambil spot untuk lihat sunrise. Tunggu punya tunggu, kelihatan bebola oren seperti “kapal” muncul keluar dari “lautan”. Sedikit demi sedikit “kapal” oren tu naik menampakkan bentuk bulat nya.
“Rasa Nak Menangis Saksikan Matahari terbit depan mata, sangat indah”
“Eh, matahari ke tu?,” getus hati saya.
Setelah lebih kurang 30% bebola oren tu naik, ya, “kapal” oren tu adalah matahari yang sedang naik, memancarkan cahayanya sedikit demi sedikit. MashaAllah memang sangat-sangat cantik.
Tanpa sedar, air mata saya menitis.
Tak tahu nak cakap.. Sedih, terharu semua ada. The most beautiful sunrise I’ve even seen in my entire life. Sungguh. Patut lah orang berebut nak tengok sunrise dari puncak Fuji, memang sangat cantik kejadiannya..
Ya, semua orang boleh daki Fuji.
Tapi tak semua direzekikan untuk lihat matahari terbit, dengan jelas dari puncak Fuji sebab banyak faktor, terutama faktor cuaca yang boleh berubah dengan drastik. Tapi saya, among the chosen ones by Allah, berpeluang untuk lihat kebesaran Allah ni. Allahu Allah. Nikmat apa lagi untuk saya dustakan?
Kemudian lepas tengok sunrise, saya jalan sekejap di sekitar puncak Fuji. Kawah gunung berapi Fuji boleh dilihat dengan jelas dekat sini. Kalau nak “tawaf” kawah tu pun boleh, ambil masa lebih kurang 1.5 jam untuk satu pusingan kawah tu tapi masa tu saya tak buat sebab perut sangat tak selesa. Vending machine kat puncak tu pun tak jumpa. Ye lah, vending machine paling tinggi dekat dunia tuuu tapi tak larat nak cari.
Fikir-fikir balik, menyesal daki tak stop dari stesen 9 tu. Kan dah rasa tak selesa. Tapi maksudnya, kena daki lagi la nanti kan? Hehe
Nonetheless,
If people asked me, would I hike Mt Fuji again?
Why not? Without a doubt.
.
#CatatanZunitaDiJepun
#SpecialEditionFuji
p/s: Dikesempatan ini saya nak ucapkan terima kasih pada semua yang doakan pendakian Fuji saya kali ni. Tanpa iringan doa kalian, mungkin tak dipermudahkan dan dapat pengalaman sedemikian rupa. Thank you very much. Really, I meant this . Sumber : Fb Zunita Ramli.
p/ss: Yang terlepas Part 1, boleh tengok sini:
https://www.facebook.com/100007661526074/posts/3067325093532845/?d=n
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lelaki Kongsi Trip Summer Ke Iceland, Dapat Tengok Fenomena Midnightsun & Capture Gambar Cantik. Epik Sangat!
Iceland antara destinasi yang sering menjadi bualan ramai kerana keunikan dan kecantikan negara itu sendiri.
Dapat berkunjung ke sana pastinya antara wish list para pengembara. Tambah pula bila berkunjung ketika musim panas yang mana waktu siangnya sangat panjang dan malamnya langsung tidak gelap.
Berpeluang berkunjung ke Iceland pada musim panas yang lalu memberikan peluang kepada Khairul Hafiz dan teman-teman untuk melihat sendiri fenomena Midnightsun yang cukup cantik.
Mengabadikan foto-foto cantik sepanjang percutian ke sana, Khairul Hafiz turut berkongsi info tentang Iceland untuk rujukan pengembara.
Sambil enjoy tengok gambar-gambar cantik yang dikongsikan, jangan lupa juga baca coretan Khairul tentang Iceland yang cukup menarik!
Trip Iceland Summer Midnight Sun
Dalam istilah geologi, Iceland adalah sebuah negara yang masih muda dan masih dalam pembikinan. Jika bumi dikatakan berusia 4.5 billion tahun lamanya, batu yang tertua di Iceland hanya berusia sekitar 16 juta tahun lamanya.
Kedudukannya terletak di tengah rantaian gunung Atlantic, di mana plat tektonik Eurasian dan Amerika Utara dengan perlahan terpisah membuatkan Iceland terpecah kepada barat dan timur sekitar 2cm dalam jarak masa setahun.
Jika menjenguk di tingkap kapal terbang ketika penerbangan menghampiri Lapangan Terbang Kefkavik, kita dapat melihat rekahan lava mengarah pada satu arah yang sama, dan ia juga kelihatan seperti sebuah kek yang telah ditinggalkan terlalu lama di dalam oven.
Kesan daripada keadaan ini dapat dilihat pada landskap di Pingvellir National Park di mana lurah gaung dan dinding batu bersusun pada susunan tertentu yang sama.
Plat pada permukaan lautnya pula bergerak pada arah yang bertentangan, menyebabkan tekanan berlaku kepada kerak bumi, dan akhirnya ia melepaskan tekanan melalui kejadian gempa bumi dan erupsi gunung yang membentuk gugusan gunung berapi di tengah-tengah Lautan Atlantik.
Di bawah mukabumi Iceland terdapat gumpalan mantel tambahan dengan lebih banyak gunung berapi, menyebabkan pulau itu tertimbul tinggi dari lautan, dengan sebab kejadian itu ia digelar sebagai Land of Fire.
Sebagaimana namanya, Iceland juga digelar sebagai Land of Ice. (Walaupun ais yang ada di Iceland tidaklah sebanyak seperti yang ada di Greenland). Sekitar 10% daripada permukaan bumi Iceland ini diliputi oleh glacier. Ia berada di kedudukan Latitud yang tinggi, hanya sedikit terkeluar di bawah bulatan Artik.
Beberapa gunung berapi yang masih aktif di Iceland juga tertimbus di bawah glacier seperti Grimsvotn dan Katla.
Ada beberapa kekeliruan berlaku tentang Iceland. Pertama, ia sebuah negara yang sejuk, namun ia tidak sesejuk seperti di kawasan bulatan Artik yang lain. Di situ terdapat satu fenomena dinamakan Gulf Stream. Di mana, ada arus lautan yang membawa angin panas dari Teluk Mexico, ke Lautan Atlantik membuatkan suhu di Iceland lebih tinggi dari yang sepatutnya.
Ketika musim sejuk, purata suhu adalah sekitr 0 darjah C dan ketika musim panas purata suhu adalah sekitar 11 darjah C.
Ketika musim panas inilah, kami dapat menikmati suasana midnight sun. Satu fenomena di mana malamnya tidak gelap, masih terdapat cahaya matahari dan cahaya matahari pagi sangat cantik dapat dilihat seperti langit yang terbakar berwarna oren kemerahan, merah jambu serta ungu.
Waktu Maghrib juga hanya masuk pada sekitar pukul 11.30malam, dan Isyak pula pada pukul 12.30 malam, manakala waktu Subuh pula pada pukul 1.30 pagi.
Jika kita berpuasa, semasa kita berbuka puasa, belum sempat nak sendawa, kita dah terdengar azan subuh. Hihi!
Orang Iceland akan berkata,
“Jika anda tidak sukakan cuaca pada hari ni, tunggu lagi dalam lima minit.”
Ini kerana suhu di Iceland boleh berubah sekelip mata dalam masa 5minit. Sedang awan mendung hitam di atas, dan hujan turun rintik-rintik, dalam masa 5 minit, tiba-tiba awan hitam berarak pergi, dan cahaya matahari muncul dan memberi silauan cahaya matahari kepada pemandangan.
Dalam masa sehari, kita boleh merasa hujan, angin yang kuat, salji, hujan batu dan cahaya matahari dalam masa yang singkat.
Antara fakta yang kadang-kadang ramai orang tersalah adalah, Iceland adalah pulau yang kecil. Fakta sebenar adalah Iceland adalah sebuah pulau yang sangat besar sekitar 103,000 km persegi, lebih besar dari kebanyakan negara eropah seperti Hungary, Austria dan Portugal.
Oleh kerana penduduk di seluruh Iceland hanya sekitar 380,000 orang, kepadatan penduduknya sangat kurang. Jika kita memandu di Iceland, kadang-kadang dapat melihat hanya 2 atau 3 buah rumah, kemudian dalam selang jarak yang lama lagi baru kita dapat jumpa lagi beberapa buah rumah yang lain.
Orang Iceland sendiri mengatakan, kambing berbiri lebih ramai di Iceland sekitar 800,000 ekor berbanding jumlah manusia.
P/s: Saya kongsikan beberapa gambar yang saya ambil sendiri ketika lawatan ke Iceland pada Jun dan Julai yang lepas Trip Iceland Summer Midnightsun.
Land of Fire and Ice.
Catatan Nota Lensa Kembara,
Khairulđer Hafizsson
Kapten Lensa Kembara,
Reykjavik, Iceland
Sumber: Khairul Hafiz
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI