Majoriti negara di seluruh dunia tidak bersedia dalam menghadapi ancaman biologi seperti wabak dan penyakit berjangkit lain sekiranya ia berlaku.
Menurut Economist Intelligence Unit, menerusi Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) yang diterbitkan pada Oktober 2019, purata skor yang dicatatkan 195 negara terbabit ialah pada sekitar 40.5 peratus. Laporan tersebut menjelaskan kesediaan antarabangsa untuk sebarang wabak atau penyakit masih berada di tahap lemah. Indeks ini mengukur keupayaan sesebuah negara meliputi pengesanan, pencegahan, tindakan, risiko serta komitmen untuk meningkatkan kapasiti nasional.
Setakat laporan tersebut dilaporkan pada Oktober 2019, hanya 13 negara sahaja yang berada pada kedudukan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi ancaman wabak termasuk Thailand dan Korea Selatan. Dalam indeks sama, Malaysia berada di kedudukan ke-18 dunia dengan skor 62.2 peratus pada kategori ‘lebih bersedia’.
Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) mengambil masa lebih dua tahun untuk dikeluarkan dengan pembabitan lebih 100 penyelidik dari seluruh dunia. Laporan ini juga menjadi indikator penting kepada pembuat dasar bagi menentukan keutamaan bagi memastikan keselamatan di negara masing-masing.
Sumber: AstroAwani