Tip dari Tourism Selangor kali ini, apa kata sekali sekala luangkan masa rehatkan minda bercuti ke tempat-tempat yang mempunyai persekitaran yang tenang dan jauh dari kawasan bandar yang sesak.
Bagi anda yang menginginkan sebuah percutian dengan persekitaran yang menenangkan serta jauh dari kawasan orang ramai, ini 7 destinasi santai dan tenang boleh dilawati di Negeri Selangor.
Ramai yang tidak tahu terdapat ladang teh lemon Myrtle yang cantik di Sekinchan. Ladang teh myrtle selalunya terdapat di negara Australia, tetapi kini juga ia ada di Malaysia. Jika membuat lawatan ke sini, anda dapat menikmati pemandangan ladang yang kehijauan malah sesuai untuk bergambar kenangan. Ladang teh myrtle ini terletak bersebelahan dengan kawasan sawah padi yang menghijau, maka anda juga boleh bergambar berlatar-belakangkan pemandangan yang cantik.
Selain itu, terdapat beberapa buah buaian yang merupakan tempat santai untuk pengunjung berehat di situ. Anda juga dapat membeli produk keluaran ladang teh Mrytle ini di gerai jualan yang disediakan seperti sabun tangan, sabun mandi, teh Myrtle, air teh lemon segar dan banyak lagi. Bayaran sebanyak RM3 akan dikenakan untuk pengunjung dewasa dan RM1 bagi 7 tahun ke bawah. Ladang teh ini hanya dibuka pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Alamat: Lot 16281, Jalan Tali Air 6 Sekinchan,Selangor Darul Ehsan
Daerah Sabak Bernam terkenal dengan kawasan sawah padi yang luas dan cantik. Oleh itu, jika anda ingin pergi ke tempat dengan suasana yang tenang dan nyaman, Pekan Sekichan Sabak Bernam merupakan tempat yang tepat untuk anda luangkan masa bersama orang tersayang.
Terdapat banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini seperti bersiar-siar dan bergambar di sekitar kawasan sawah padi, melawat ke kedai Ah Ma House yang menjual makanan tradisi masyarakat Cina seperti keropok, makanan ringan, kuih tradisional seperti tart nenas dan kuih bangkit (tapioca cookies), dan sebagainya. Selain itu, anda juga boleh melawat ke Galeri Padi untuk mempelajari cara penanaman dan penuaian padi serta proses penghasilan beras.
Alamat: Kawasan Sawah Padi, Pekan Sekinchan Sabak Bernam, Selangor
Taman Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan. Taman ini mempunyai tarikan yang menarik khas buat pengunjung, iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang terkenal di mana pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh namun rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun 2021.
Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus, buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk adalah RM3 (12-54 tahun) RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55 tahun keatas) dan percuma untuk golongan OKU. Waktu operasi dibuka Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang).
Alamat: Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam, Selangor
Jika berkelapangan, anda boleh singgah ke empangan Sungai Selangor kerana tempat ini merupakan salah satu destinasi tarikan lebih-lebih lagi bagi penggemar alam semula jadi dan jurugambar di mana anda dapat menikmati suasana yang segar dan berpeluang mengambil gambar pemandangan bukit-bukau yang cantik.
Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti memancing dan berbasikal sepanjang laluan ke sini. Jika anda singgah pada waktu malam, anda boleh menikmati aktiviti stargazing sambil bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Alamat: Lookout Point Sungai Selangor Dam, 55, 44000 Kuala Kubu Baru, Selangor
Paya Indah Discovery Wetlands ini merupakan tempat yang sangat sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan sambal menikmati persekitaran alam semula jadi. Landskap sekitar kawasan ini sangat cantik kerana dipenuhi dengan pokok-pokok, ruang padang yang luas serta gabungan tumbuhan semula jadi bunga teratai. Tempat ini juga telah menjadi kawasan habitat lebih daripada 300 jenis spesis binatang dan bagi penggemar burung, anda juga dapat meninjau aktiviti burung (bird watching). Bukan itu sahaja, anda juga dapat melakukan aktiviti seperti memberi makanan kepada badak air, buaya dan ikan, dapat memancing, berbasikal, berkayak, merentasi hutan dan banyak lagi.
Aktiviti-aktiviti tersebut dibuka berbeza mengikut hari-hari tertentu dan perlu membuat tempahan awal. Antara tarikan lain yang terdapat di sini adalah pakej “Safari Insta-Tour” yang membawa pengunjung ke tiga lokasi dengan pemandangan menarik; Ladang Buluh, Rumah Melayu dan Tasik Sendayan dengan menaiki sebuah trak. Bayaran untuk pakej ini adalah RM 35 pada hari biasa dan RM 45 pada hari minggu, manakala pemegang MyCard akan beroleh diskaun sebanyak 20%. Paya Indah Discovery Wetlands dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor
Selangor Fruit Valley merupakan taman buah-buahan yang menarik untuk dikunjungi di mana anda akan dibawa ke ladang buah-buahan tempatan seperti tanaman buah rambutan, betik, belimbing, jambu dan banyak lagi serta dapat menikmati buah-buahan tersebut secara percuma. Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti petting zoo mini, ladang rusa, pusat kajian agrokultur, rumah tradisional, ternakan madu kelulut, aktiviti berkayak, dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga kemudahan trem untuk membawa anda ke sekitar kawasan taman ini sambil menghirup udara segar. Anda juga boleh singgah ke gerai jualan yang terdapat di sana untuk beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa yang segar. Waktu operasi adalah setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang) dan bayaran dikenakan RM 15 (dewasa), RM 10 (60 tahun keatas), RM 10 (OKU dan kanak-kanak 4 -12 tahun), percuma (4 tahun ke bawah).
Alamat: Selangor Fruits Valley SFV, Rawang, Berjuntai Bestari, Selangor, Malaysia
Pulau Ketam yang terletak di Klang merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi yang mana pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan di sini sambil menikmati suasana pantai yang nyaman dan mendamaikan. Untuk sampai ke Pulau Ketam, anda perlu menaiki feri (RM14 dua hala) seorang atau bot laju (RM20 dua hala) seorang.
Kawasan ini merupakan perkampungan nelayan yang didiami oleh masyakarat Cina. Di sini juga terkenal dengan restoran yang menghidangkan menu makanan laut yang menyelerakan. Selain itu, aktiviti dan tarikan yang boleh dilakukan di sini adalah seperti menyewa basikal dan mengayuh sekitar kampung, bergambar di kawasan mural dan kuil Cina, melihat dan merasai kehidupan suasana perkampungan nelayan, dan banyak lagi.
Alamat: Jalan Foreshore, Kawasan 20, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor
Jom cuti-cuti di Selangor. Jangan lupa agar sentiasa mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan dan menjaga penjarakan sosial sepanjang kunjungan anda bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada terus menular.
Foto & Sumber: Tourism Selangor