Port Dickson menjadi destinasi pelancongan paling popular bagi yang mahu menghabiskan percutian di tepi pantai.
Selain pantainya yang jadi tarikan, ada beberapa lagi tempat menarik di kawasan sekitar boleh kira lawati seperti Kota Lukut, Ostrich Farm dan juga Rumah Api Tanjung Tuan.
Jadi bagi mereka yang merancang bercuti ke sana, disenaraikan beberapa penginapan yang best sekitar Port Dickson.
1. VILLA 969
Villa 969 yang berkeluasan 12,000 kaki persegi ini dilengkapi dengan 5 bilik tidur serta laman hijau yang luas adalah lokasi yang sangat santai untuk sanak-saudara dan rakan-rakan berkumpul bersama. Boleh memuatkan sekitar 13 ke 20 orang termasuk kanak-kanak! Ada kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak dan juga dewasa.
Dengan segala fasiliti asas serta kemudahan tambahan seperti set BBQ, Wifi, permainan outdoor – mini volleyball, badminton, takraw, permainan indoor – pingpong, karom dan catur, tentunya anda takkan berasa bosan berada di Villa 969 ini.
Villa ini juga terletak dalam kawasan kejiranan yang berpagar dan dilengkapi dengan kawalan keselamatan 24 jam memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung terjamin sepenuhnya.
Lokasi: No. 11, Jalan PDV 3, PD Villa Country Resort, 71050, Teluk Kemang, Port Dickson
2. HOMESTAY POOL KONTENA PORT DICKSON
Di Homestay Pool Kontena Port Dickson, anda boleh rasai pengalaman menginap di dalam kontena yang diubahsuai menjadi bilik tidur. Harga penginapan di sini juga sangat berpatutan.
Bagi yang suka bercuti style backpacker, di sini terdapat penginapan kabin dengan katil double decker yang jauh lebih murah harganya. Ada juga homestay kontena yang dilengkapi dengan katil king bagi yang datang bercuti dengan keluarga. Bagi yang suka berenang, tempat ini cukup sesuai buat anda kerana swimming poolnya yang sangat luas.
3. VILLA LOT 1638
Lot 1638 pasti akan memberi anda sebuah pengalaman yang unik sepanjang percutian di Port Dickson. Direkabentuk dan dimiliki oleh seorang arkitek, tak hairanlah senibinanya amat memukau!
Ads
Bangunan villa ini ibarat sebuah arca yang mengagumkan dengan dekorasi dalaman yang cantik, moden dan cukup segar. Seolah-olah menginap di hotel, tapi anda mendapat lebih privasi di Villa Lot 1638 ini kerana kurangnya kepadatan.
Terletak 1km dari bandar Port Dickson, Villa Lot 1638 ini menyediakan 13 unit penginapan; di mana 9 daripadanya adalah villa 2 bilik dan 4 lagi unit adalah suite. Setiapnya direka khas dengan kapasiti berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Lokasi: Lot 1638, Jalan Esso, Batu 1, Jalan Pantai, 71000, Port Dickson
4. HOMESTAY 133 VILLA
Banglo yang terletak 1.5km dari Teluk Kemang ini juga tak kurang menariknya. Terdapat sebuah banglo dan sebuah chalet yang boleh anda pilih bergantung kepada keselesaan bilangan pengunjung. Banglo dilengkapi dengan 4 buah bilik tidur manakala chalet pula dilengkapi dengan 2 buah bilik.
Dengan laman yang luas dan fasiliti yang lengkap, anda boleh berkaraoke, BBQ, atau bermandi-manda di kolam renang yang besar dan selesa. Indoor games pun banyak disediakan seperti snooker, dart board, dan foosball. Mesti takkan bosan punya bila luangkan masa di sini!
Lokasi: 13, Jalan PDV 3, PD Villa Country Resort, Telok Kemang, Port Dickson
Ads
5. THE COTTAGE HOME PD
Homestay ini pasti mengingatkan anda dengan suasana di overseas. Senibina homestay di sini cukup unik berkonsepkan cottage berwarna pastel. Ada juga pengunjung yang menyamakan pemandangan di sini dengan Amsterdam! Swimming poolnya juga cukup luas untuk anda dan anak-anak berenang. Di sini terdapat dua jenis penginapan iaitu banglo untuk penginapan 5 ke 6 orang dan studio unit untuk penginapan 2 orang. Kalau dah sampai sini, memang rugi kalau tak bergambar banyak-banyak!
Lokasi : NO1A & 1B Lot 3731, Kg.Sawah Sunggala Port Dickson, Negeri Sembilan
6. WIDAD VILLA
Untuk anda yang inginkan sebuah rumah percutian yang betul-betul berhadapan dengan pantai, Widad Villa pasti akan membuat anda tersenyum. Bayangkan, anda hanya perlu berjalan beberapa langkah saja untuk bermandi-manda di pantai dan menyertai sukan pantai.
Bukan sahaja dekat dengan pantai, lokasinya juga cukup strategik dan berhampiran dengan pelbagai tarikan menarik seperti Hibiscus Walk, Extreme park (aktiviti paintball, ATV), Hutan Rekreasi Tanjung Tuan dan Blue Lagoon.
Dengan laman yang luas, bayu laut, dan pemandangan pantai yang mengagumkan, anda tetap memiliki ruang privasi yang selamat dan selesa. Villa yang boleh menempatkan sehingga 50 0rang dalam satu masa ini cukup sesuai untuk dijadikan lokasi buat yang merancang untuk adakan Family Day dengan keluarga besar!
Ads
Lokasi: Lot 2672 Jalan Pantai Batu 12, Pasir Panjang
7. SERENITY @ PD
Senibina ala kolonial dengan beranda yang luas, siling yang tinggi, serta ruang bilik yang cerah dan berangin pasti akan memberikan anda sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Jauh dari bandar, lokasinya yang dikelilingi kehijauan menyajikan ketenangan dan kedamaian daripada hiruk-pikuk kota.
Dengan laluan yang melalui hutan kecil dan terus ke pantai, anda boleh melakukan aktiviti seperti memancing dan bermain pasir di pantai. Selebihnya, biar gambar berbicara!
Lokasi: Bt 12 1/2, Jalan Pantai, Kg Teluk Pelanduk, Port Dickson
Cuti hujung minggu sangat bagus dimanfaatkan dengan bersantai bersama keluarga. Percutian yang dirancang dengan baik, dapat memberikan pengalaman indah buat anda dan insan tersayang. Hotels.com memberikan lima destinasi terbaik untuk anda bercuti kerana di lokasi tersebut mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri.
1.Pulau Langkawi
Terdapat empat hotel di sini yang mendapat anugerah pantai terbaik iaitu The Datai, The Danna, Casa Del Mar dan Ambong Ambong. Bercuti di sini membolehkan anda menikmati nikmat percutian sebenar. Anda boleh mencuba aktiviti pantai lasak atau sekadar duduk berehat sambil menikmati panorama pantai. Bacalah buku kegemaran anda sambil mendengar bunyi deburan ombak. Apatah lagi di sini terdapat lokasi beli-belah tanpa cukai.
2.Sabah
Sabah terkenal dengan pasar minggu Gaya Street yang menjual pelbagai barangan antik dan cenderamata. Hotel Shangri-La Rasa Ria Resort & Spa di Tuaran mempunyai bilik di Ocean Wing yang menampilkan tab mandi di luar dan katil serta sofa yang menghadap ke pantai. Anda boleh menikmati panorama Gunung Kinabalu yang indah dari rumah kelab di hotel anda.
3.Cameron Highlands
Destinasi ini adalah pilihan terbaik untuk keluar dari hiruk-pikuk kota. Di sini udaranya bersih, buah-buahannya segar dan panorama begitu indah. Jika anda menginap di The Lakehouse, anda boleh merasai pengalaman seperti kerabat diraja British. Sarapan dihidangkan dalam suasana restoran yang elegan dengan hidangan Inggeris dan minum teh panas. Skone yang enak dimakan panas-panas dengan jem strawberi. Rumah kolonial ini terletak berhampiran ladang Cameron Bharat Tea.
4.Pulau Pinang
Pulau Pinang adalah destinasi terbaik percutian yang memberi fokus kepada makanan. Di sini boleh dikatakan sebagai syurga makanan dengan nasi kandar, asam laksa dan masakan peranakan. Hotel Seven Terraces adalah hotel butik mewah yang diubah suai daripada deretan teres Anglo-Cina. Mempunyai 18 suite budaya peranakan yang membuatkan anda berasa seperti dibawa kembali ke era berbeza.
5.Kuala Lumpur
Untuk menjimatkan petrol dan masa, tidak perlu keluar dari Kuala Lumpur untuk bercuti. Hotel Traders Kuala Lumpur memberikan pengalaman percutian mewah dengan melawat Skybar. Berkumpul dengan rakan-rakan anda di aras 33 hotel, anda boleh menikmati panorama menakjubkan Kuala Lumpur dari tingkat ini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pattaya destinasi untuk liburan dan bersantai di pesisiran pantai yang popular di Thailand. Terletak 147 kilometer dari tenggara Bangkok, lokasi pusat peranginan ini menjadi destinasi percutian cukup mengujakan yang perlu dijengah jika ke Thailand. Bagi pengunjung yang berkeluarga, bawa anak-anak berkunjung ke Teddy Island (Teddy Bear Museum Pattaya) yang menempat sebuah muzium patung beruang yang begitu mengujakan.
Dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 10 malam, muzium yang menjadi salah satu daya tarikan Pattaya ini mempamerkan lebih 2000 pelbagai koleksi patung beruang.
Muzium ini terbahagi kepada 12 bahagian mengikut konsep dan tema tersendiri, iaitu ruang yang mempamerkan bermacam-macam Teddy Bear dengan berbagai-bagai gaya bersesuaian dengan tema pada setiap bahagian. Antaranya Zon Zaman Dinosor, Zon Afrika, Zon Musim Sejuk, Zon Bawah Laut, Zon Eropah, Zon Seni, Zon Jenaka dan lain-lain lagi.
Muzium ini sesuai dikunjungi oleh semua golongan dan pencinta Teddy Bear. Bagi yang bukan pengumpul patung, muzium ini tetap menjanjikan keseronokan kerana dapat bergambar bersama patung-patung yang comel ini. Jangan lepaskan peluang bergambar pada setiap sudut tau!
Pengunjung yang datang ke muzium ini diingatkan supaya tidak lupa untuk mencuba semua aktiviti interaktif yang terdapat di setiap sudut muzium. Tidak terhad kepada kanak-kanak sahaja, orang dewasa juga boleh mencuba dan berseronok di sini.
Teddy Bear merupakan patung yang menjadi kesukaan ramai lebih dari 100 tahun lalu. Ia dinamakan Teddy Bear sempena kisah perjalanan Presiden ke-26 Amerika Syarikat, Theodore “Teddy” Rosevelt yang pergi memburu beruang. Pada masa itu, presiden pergi berburu dengan beberapa orang pengawalnya. Sehingga hampir tamat perjalanan, Rosevelt tidak berjaya menembak walau seekorpun beruang. Lalu salah seorang pengawalnya menangkap seekor beruang dan mengikatnya di sebatang pokok serta mempersilakan presiden untuk menembaknya. Namun demikian, Rosevelt tidak mahu menembaknya kerana perbuatan itu bertentangan dengan prinsipnya sebagai seorang pemburu.
Cerita ini tersebar luas dan memberikan idea kepada Morris Michtom dan Margarete Steiff untuk menghasilkan patung Teddy Bear buat pertama kalinya di bawah syarikat The Steiff Co. Di muzium ini, pengunjung akan melihat beberapa koleksi dari syarikat penghasilan patung yang paling terkenal dan berjaya dalam mencipta dan memasarkan patung beruang tersebut. Jadi apa lagi, jangan ketinggalan untuk menjengah Muzium Teddy Bear di Pattaya ini.
Andai ditanya kepada penduduk Jepun tentang akses mudah untuk ‘lari’ daripada suasana metropolitan Tokyo, tentunya Chiba bakal menjadi sebutan dek kerana lokasinya yang terletak hanya bersebelahan dengan bandar Tokyo. Sungguh, bandar empat musim ini punyai banyak tarikan menarik yang tidak mampu dilepaskan!
Bercerita mengenai Chiba, kebanyakan aktiviti pelancongan tentu hanya tertumpu pada Tokyo Disneyland. Sebenarnya, lebih banyak perkara yang pembaca perlu tahu mengenai Chiba. Destinasi ini merupakan sebuah bandar yang kaya dengan alam semula jadi, makanan laut segar, taman-taman tema, destinasi bersejarah, budaya tradisional serta tempat membeli-belah.
Chiba sarat dengan keseronokan yang tidak diketahui di mana ia akan membuat lawatan anda ke Jepun lebih mengujakan. Berada di Gunung Nokogiriyama dengan menaiki kereta kabel misalnya bakal memperlihatkan anda gambaran penuh keindahan bandar Chiba yang berwarna-warni. Apa yang menarik, anda boleh mengintai dari jauh beberapa ikon negara Jepun iaitu Gunung Fuji, Tokyo Skytree dan keseluruhan Tokyo Bay dari atas puncak Chiba ini.
Chiba
Bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi di kawasan pergunungan, Yoro-keikoku Valley adalah destinasi yang harus anda pergi. Anda bukan sahaja boleh melakukan aktiviti outdoor seperti memancing atau mendaki, bahkan melihat lukisan alam yang mempunyai ungkapan yang berbeza pada setiap musim. Paling mencuri tumpuan, warna-warna dedaunan pada musim luruh adalah sangat menakjubkan.
Chiba turut terkenal dengan sistem transitnya. Salah satunya ialah Chiba Urban Monorail yang menerima pengiktirafan Guinness Book of World Records sebagai sistem monorail bersepadu terpanjang di dunia. Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pula memberi akses segera kepada tarikan pelancongan sekitar bandar Narita seperti Shisui Premium Outlets, Naratisan Omotesando Road dan Naratisan Shinshoji Temple.
Hadabijin No Yu
Tiada sebab buat anda untuk tidak menjengah ke kolam-kolam air panas sekitar Chiba. Buat mereka yang mahu menikmati suasana mendamaikan sambil melakukan terapi “Hadabijin no yu” (mandi untuk kecantikan kulit),” Jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman ini di Katsuura Hot Springs, Tateyama Hot Springs, Kamogawa Hot Springs dan Shirahama Hot Springs. Apa yang menariknya, kesemua hot springs ini mengadap laut!
Tokyo Disney Resort
Tokyo Disney Resort terletak di Bay Area, rumah kepada bandar dalam taman yang terindah dihiasi sungai dan tasik. Dibuka seawal jam lapan pagi sehingga 10 malam, teman tema ini beroperasi tujuh hari seminggu. Bagaikan mimpi menjadi nyata, pengunjung boleh bersuka ria, menginap, makan, membeli-belah dan melakukan banyak perkara lagi di sini. Air merupakan elemen utama yang menjadi tarikan aktiviti dan keindahan di Bay Area.
Chiba Zoological Park
Dengan tema ‘Persaudaraan Bersama Haiwan Dan Tumbuh- Tumbuhan’, zoo ini menjadi tempat perlindungan kepada ratusan spesies haiwan tidak kira kecil dan besar. Lesser panda yang juga dikenali dengan nama red panda merupakan haiwan paling popular di zoo ini. Zoo ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Isnin . Akses mudah untuk ke sini adalah dengan menaiki Urban Chiba Monorail dan turun di Stesen DobutsuKoen.
Funabashi Andersen Park
Taman indah ini pasti menjadi tumpuan ibu bapa dan anak-anak dengan Kincir Angin Denmark sebagai ikon utama yang ada di sini. Menampilkan permainan outdoor yang menguji keberanian dan kelincahan kanak-kanak, mereka boleh mencuba beberapa permainan menarik seperti zip lines dan tarzan ropes. Kanak-kanak yang lebih kecil juga boleh mengalami keseronokan bermain di kodomo bijutsukan (muzium kanak-kanak) yang menawarkan banyak permainan berunsur kinestetik. Ditutup pada hari Isnin.
Ohara Hadaka Matsuri
Matsuri dalam bahasa Jepun bermaksud ‘festival’. Justeru itu, Ohara Hadaka Matsuri merupakan festival terbesar yang diadakan selama dua hari menjelang berakhirnya bulan September, yakni pada musim luruh. Pada hari pertama, 18 ‘mikoshi’ (tempat suci mudah alih) yang mewakili tiga kawasan iaitu Ohara, Tokai dan Namihana akan dibawa berarak hingga ke pantai untuk dibersihkan. Pada hari kedua, acara ini diteruskan dengan ritual ‘O-Wakare Shiki’ di mana mereka akan berkumpul. beramai-ramai sebelum berakhirnya festival ini.
Inubosaki Lighthouse
Rumah Api Inubosaki terletak sebuah bandar perikanan terbesar di Jepun iaitu Choshi City. Seni reka rumah api ini diilhamkan dan dibina oleh seorang arkitek British pada tahun 1874. Dek kerana usianya, rumah api ini telah dipilih sebagai salah satu daripada 100 rumah api bersejarah yang terbaik di dunia dan 50 rumah api terbaik di Jepun. Harga tiket untuk memasuki rumah api ini adalah sebanyak 200 Yen. Untuk ke sini, hanya tujuh minit perjalanan diperlukan dengan hanya berjalan kaki dari Inubo Station of Choshi Line.
MESTI TAHU
Selain Ohara Hadaka Matsuri yang dijalankan pada musim luruh, Chiba mempunyai lebih daripada 12 festival besar yang diraikan pada sepanjang tahun di bandar empat musim ini. Bermula dari musim bunga, pengunjung boleh menyaksikan Sakura Tulip Fiesta pada bulan April. Musim panas – Narita Gion Festival, Grand Festival of Sawara, Makuhari Beach Fireworks Fiesta, musim luruh – Grand Festival of Sawara dan musim sejuk – Katsuura Big Hinamatsuri (Girl’s Day Festival).
INFO MENARIK
Jika ditanya mengenai cenderamata apakah yang wajar dibawa pulang dari Chiba, tentunya Boshu-Uchiwa (kipas tangan) menjadi item wajib. Boshu-Uchiwa Chiba dikatakan sabagai salah satu kipas buatan tangan yang paling terkenal selepas Kyo-Uchiwa Kyoto dan Marugame-Uchiwa Kagawa. Teknik kraf pembuatan kipas menggunakan buluh ini perlu menjalani 21 proses halus yang hanya menggunakan tangan sebelum siap sepenuhnya. Anda pasti dapat melihat karya seni tersendiri pada setiap kipas yang dihasilkan.
TIP
Jika anda melancong ke Chiba pada musim bunga, jangan lepaskan peluang untuk memetik bunga di Shiramazu Flower Fields. Dalam iklim musim bunga yang hangat di sini, bunga-bunga seperti field mustards, cherry blossoms dan ros mula mekar dari Mac sehingga bulan Mei sedia untuk dipetik.