7 Lokasi Tanah Tinggi Popular Di Semenanjung Untuk Anda Bercuti Ketika ‘Musim Panas’

Share

Tengah musim panas sekarang ni di Malaysia, paling seronok dapat berjalan tempat sejuk.

Cewah! Musim panas kau.. Bukan musim panas tau, Malaysia sekarang tengah mengalami perubahan monsun. Oleh itu, cuaca sekeliling agak kering dan bahang daripada kebiasaan. Cuaca panas macam sekarang ni ada baiknya kalau kita pergi bercuti ke kawasan tanah tinggi. Ada juga terasa sejuknya berbanding di kawasan tanah rendah kan?

Kawasan tanah tinggi ni disukai ramai orang bukan sekadar suhu atau cuacanya yang sejuk dan nyaman, tapi produk pelancongan yang ada di sana turut menjadi kegilaan pelancong seperti sayur-sayuran tanah tinggi yang segar, pokok bunganya yang mengembang mekar seperti bunga kaktus atau bunga orkid, sentiasa menjadi kegilaan kaum hawa.

  • Cameron Highland



Tidak perlu diperkenalkan, Little England Malaysia ini adalah pusat peranginan tanah tinggi terbesar dan paling popular di Malaysia. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah lawatan ke taman rama-rama, ladang strawberi, ladang lebah madu dan ladang teh yang luas. Cameron Highland berada pada ketinggian 1,829 meter dari aras laut dan suhunya sekitar 18 darjah Celsius hingga 27 darjah Celsius begitu kaya dengan khazanah hutan semulajadinya. Terdapat dua kawasan utama yang menjadi tumpuan jika bercuti di Cameron Highland iaitu Tanah Rata dan Brinchang. Pengunjung tidak perlu risau tentang penginapan di sini. Terdapat banyak resort dan hotel daripada status mewah hingga bajet yang boleh dipilih mengikut kemampuan. Walau bagaimanapun anda disarankan membuat tempahan lebih awal sekiranya berhajat ke sini pada musim cuti umum atau cuti sekolah.

  • Genting Highland



Genting Highland cukup dikenali tidak kira buat penduduk tempatan atau pelancong asing. Lokasinya yang terletak di atas bukit dengan suhu sejuk yang nyaman, pasti memberikan keseronakan berganda untuk anda dan keluarga berhibur lebih-lebih lagi dengan kewujudan taman temannya. Jika anda berada berhampiran destinasi ini tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan buah strawberi yang segar dari ladang. Dengan suhu yang dingin dan nyaman, percutian ke sini pasti tidak lengkap tanpa menikmati secawan minuman panas dan merasai produk-produk makanan berasaskan strawberi di Ladang Strawberi Gohtong Jaya

  • Bukit Tinggi



Tiga tarikan utama di sini adalah Colmar Tropicale yang dibina berdasarkan seni bina bangunan di Colmar, Perancis, Japanese Tea House & Botanical Garden dan Animal Park. Pengunjung pasti teruja apabila melintasi kolam yang dipenuhi angsa dengan melalui di atas sebuah jambatan yang mempunyai reka bentuk unik sebelum masuk ke kota seakan berada di Negara Perancis. Bangunan dalam kawasan ini terdiri daripada hotel, restoran, kedai cenderamata, spa dan pusat hiburan, sesuai dikunjungi oleh mereka yang berbulan madu mahu pun bekeluarga. Berhampiran ini juga terdapat banyak tarikan seperti taman Jepun, kawasan sukan ekstrem dan taman haiwan.

  • Bukit Fraser



Bukit Fraser terletak di atas Banjaran Titiwangsa, dengan suhu sejuknya sekitar 17 darjah Celsius hingga 24 darjah Celsius. Selain bersiar-siar sambil menghirup udara yang dingin dan menghayati pemandangn, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti bermain golf, melihat burung ataupun menunggang kuda. Di sini juga terdapat sebuah tasik yang begitu menarik pemandangannya. Pengunjung boleh menyewa kayak atau sampan untuk mengelilingi tasik ini sambil melihat keindahan sekitarnya. Air Terjun Jeriau juga antara yang menjadi tarikan di sini.

  • Bukit Larut



Terletak di Taiping, Perak lokasi ini juga dikenali sebagai Bukit Maxwell, bersempena nama penolong Residen British Pertama di Perak dari British pada tahun 1884, William Edward Maxwell. Untuk yang meminati aktiviti lasak, anda boleh melakukan aktiviti jungle tracking di sini sambil menikmati kehijauan alam. Ambil peluang untuk bersiar-siar sambil melihat pemandangan indah bandar Taiping hingga ke laut Selat Melaka dari ketinggian 1250 meter dari paras laut. Pemandangan di waktu malam dari atas Bukit Larut tidak sama dengan pemandangan di waktu siang. Pada waktu malam cahaya lampu rumah, kilang, jalan raya dan kedai menerangi bandar Taiping. Jika di waktu siang suhunya di antara 15 hingga 25 darjah celsius berbeza pula di waktu malam, kedinginan semakin terasa dan suhunya boleh mencecah sehingga 10 darjah celsius ditambah pula dengan fenomena hujan bukit yang hampir setiap hari berlaku.

  • Bukit Bendera



Satu lagi destinasi percutian yang mempunyai panorama menarik terdapat di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Bukit Bendera terletak di seberang pulau dan boleh dikunjungi dengan menggunakan keretapi Bukit Bendera. Dari puncak Bukit Bendera, anda akan dapat melihat seluruh negeri ini serta bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar. Bukit Bendera, destinasi tumpuan pelancong untuk menikmati pemandangan yang indah dari atas bukit. Bukit Bendera atau dikenali sebagai Penang Hill adalah bukit peranginan yang paling tua di Malaysia. Terbaru, tular di media sosial sebuah kafe unik buat penggemar kopi di Bukit Bendera iaitu Kopi Hutan. Untuk ke sini, pelanggan boleh menaiki buggy atau kereta yang berada di Dataran Bukit Bendera secara percuma untuk ke kafe ini. Kewujudan Kopi Hutan sangat menarik kerana terletak di atas bukit yang tinggi dan dikelilingi dengan alam semulajadi pasti buat anda rasa tenang. Kiranya lokasi yang 'perfect' untuk bersantai sambil minum kopi Arabica atau teh.

  • Gunung Jerai



Mempunyai keistimewaan suhu sejuk, ia adalah kawasan tarikan pelancong terutama mereka yang ingin bersantai dan menikmati udara daripada kawasan tanah tinggi. Gunung tertinggi di Kedah ini juga menyediakan kemudahan penginapan dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni. Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.

Jom cuti-cuti Malaysia


image via Google

Oleh
Admin