Lupakan pulau mahupun pantai yang menjanjikan anda pasir putih dan pelbagai aktiviti sukan air yang menyeronokkan. Lokasi-lokasi seperti itu sudah terlalu biasa. Jadi buat anda yang tercari-cari lokasi lain dari yang lain, Libur mengajak anda menikmati suasana baru yang pastinya meninggalkan sejuta kenangan dan membuatkan kita berkata ‘ada berani?’
Yunessun Spa Resort, Jepun
Bersedialah untuk basah dan ‘gila-gila’ di taman air Yunessun Spa Resort ini. Menariknya, basah yang dialami bukan sekadar mandi biasa tetapi anda boleh mandi bersama air minuman kegemaran. Ya, air minuman. Anda boleh mandi dengan air teh hijau, kopi, anggur atau apa saja. Apabila berada di sana, ingatkan pada bukan ‘dont drink and drive’ tapi ‘please drink and dive!”
Bubblegum Alley, California
Meskipun sejarah dinding ini tidak diketahui, namun gula-gula getah tersebut mula ada sejak tahun 70an. Ramai penduduk mahu pihak berkuasa membersihkan dinding tersebut kerana memberi bau yang kurang selesa dan kelihatan kotor. Namun pelancong seluruh dunia tetap tertarik akan dinding yang melekit dan berwarna-warni gula getah ini. Jadi tunggu apa lagi? Kita juga berpeluang menampal gula-gula getah di dinding sepanjang 21 meter ini.
Inveraray Jail, Scotland
Mahu meluangkan masa di penjara tanpa melakukan kesalahan? Inilah tempatnya. Dengan bantuan pakaian berkarakter, anda boleh merasai sendiri realiti kehidupan banduan di dalam penjara. Anda juga berpeluang melihat peralatan-peralatan dan teknik-teknik yang pernah digunakan oleh pengawal dan banduan ketika itu.
Isla de Las Munecas, Mexico
Lokasi yang menyeramkan ini mungkin akan membuatkan anda berjalan sambil menundukkan kepala. Las Munecas atau lebih dikenali sebagai pulau yang penuh dengan patung putus anggota badan ini digantung di atas pokok dengan rupa yang menakutkan. Menurut cerita 50 tahun yang lepas, penghuni pulau tersebut menemui seorang budak kecil lemas di dalam sungai. Terganggu dengan tragedi ini, mereka mula menggantung patung-patung kononnya untuk menggembirakan kanak-kanak tersebut.
Karni Mata Temple, India
Mana-mana tempat seluruh dunia sekalipun, tikus dianggap binatang yang kotor dan boleh mendatangkan penyakit. Tetapi tidak di India. Jika anda mempunyai tahap keyakinan tinggi dan mahu ‘bermanja’ dengan tikus, lokasi ini mungkin boleh memberi pengalaman berharga. Jangan terkejut kerana hampir 200,000 tikus hidup jinak, dipelihara, dihormati dan dianggap suci di sini.
Battle of The Orange, Italy
Tidak mungkin anda berani lakukan pertarungan makanan di negara sendiri melainkan di Italy. Jika selama ini anda merasakan membaling buah oren terhadap orang yang tidak dikenali adalah menyeronokkan, tempahlah tiket setiap hujung bulan Februari ke Carnevale. Inilah masanya anda bermandi dengan kesegaran sitrus!
Bran Castle, Romania
Populariti filem ‘Vampire Diaries’ dan ‘Twilight,’ menjadikan destinasi vampire sangat popular terutamanya tatkala sambutan Halloween. Castle Bran di Romania, atau dikenali sebagai ‘Castle Dracula’ adalah istana Eropah kuno yang telah dibina sekian lamanya. Menurut laman web Muzium Istana Bran, Dracula merupakan hasil gabungan daripada legenda dan sejarah pemerintahan ‘Vlad the Impaler’s’ bersama watak fiksyen Bram Stoker iaitu Dracula pada tahun 1897. Kisah sebenar di antara legenda Dracula dan Vlad masih tidak jelas, tetapi pelancong dan penduduk tempatan terus menghidupkan cerita itu sehingga kini.