Air Terjun Sungai Lepoh merupakan lokasi yang sesuai buat penggemar aktiviti luar. Ianya terletak di Daerah Hulu Langat dan berhampiran dengan Kampung Pangsoon. Juga dikenali sebagai Sungai Lopo ataupun Sungai Lepok, lokasi ini dikelilingi dengan pemandangan alam semula jadi yang sangat cantik. Selain itu, air terjun di Sungai Lepoh juga cukup indah dan mempunyai air yang jernih. Selain bermandi-manda, lokasi ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti pendakian, berkelah dan “bird watching”.
Sky Mirror di Daerah Kuala Selangor juga dikenali sebagai “Salar de Uyuni” Malaysia kerana menampilkan fenomena semula jadi seperti yang terdapat di negara Bolivia. Terletak di tengah-tengah Selat Laut Melaka, lokasi ini merupakan salah satu permata tersembunyi yang boleh dijumpai di Negeri Selangor namun tidak ramai yang tahu. Tarikan ini hanya mampu muncul pada tarikh dan waktu-waktu tertentu sahaja dalam bulan lunar iaitu semasa air surut dan air tenang dari pukulan ombak. Anda perlu menaiki bot laju dari Jeti Sky Mirror yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke lokasi ini. Jangan lupa untuk datang dengan pakaian berwarna-warna untuk gambar yang lebih menarik!
Ramai yang tidak tahu Empangan Sungai Selangor merupakan lokasi yang terbaik untuk aktiviti “stargazing”. Ianya mula beroperasi sejak tahun 2003 dan terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Kuala Kubu Bharu. Aktiviti “stargazing” ini sangat sesuai dijalankan di Empangan Sungai Selangor atas faktor kawasan empangan ini yang tidak terdedah kepada pencahayaan luar. Selain itu, persekitaran kawasan di sini juga sungguh menakjubkan dikelililingn dengan kehijauan alam semulajadi serta bukit-bukau dan tasik yang mempesona.
Pantai Kelanang yang terletak di Daerah Kuala Langat ini hanya mengambil kira-kira 20 minit dari Pekan Banting. Ianya menyajikan pemandangan indah serta dikelilingi pohon-pohon yang besar. Tidak ramai yang mengetahui tentang pantai ini mungkin kerana lokasinya yang agak jauh ke kawasan pedalaman. Lokasi ini tentunya menarik untuk mendapatkan ketenangan minda dengan diiringi angin sepoi-sepoi bahasa. Ianya juga sesuai dijadikan lokasi untuk berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menikmati pemandangan lautan yang mempersonakan sambil menikmati pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan.
Secret Garden yang terletak di tingkat teratas pusat beli-belah 1 Utama Shopping Centre ini mempunyai keluasan sebanyak 35 meter atau 30,000 kaki persegi. Mempamerkan kepada anda lebih daripada 500 spesis flora eksotik, setiap tanaman di sini ditanam dalam tanah bio-karbon dan dipelihara dengan teliti oleh pasukan ahli botani terkenal. Kemasukan ke Secret Garden adalah percuma dan hanya dibuka bermula jam 10am-10pm pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum sahaja.
Bukit Gasing merupakan lokasi hijau yang terletak di ibu kota. Berdekatan dengan Bandar Petaling Jaya, Bukit Gasing termasuk di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Gasing. Lokasi ini sesuai dijadikan lokasi untuk aktiviti riadah seperti aktiviti pendakian yang sering menjadi pilihan pendaki amatur. Kawasan hutan di sini merangkumi seluas kira-kira 52 hektar dengan ketinggian 164 meter. Menariknya, anda boleh menikmati pemandangan dan panorama indah bangunan pencakar langit yang terdapat di ibu kota selepas menjejakkan kaki di puncak bukit ini.
Pasti ada dari destinasi yang disenaraikan yang tidak anda ketahui kewujudannya sebelum ini di Negeri Selangor. Negeri ini tentunya memiliki keunikan tersendiri dengan keindahan alam semulajadi yang menenangkan. Adalah diingatkan, lawati destinasi yang tersenarai di atas hanya selepas tamat tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ambil inspirasi buat masa sekarang dan #ImagineNowExperienceSoon.
Di samping itu, setiap pengunjung haruslah sentiasa mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi kesejahteraan bersama.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.