Setiap kali anda ingin pergi bercuti, lebih-lebih lagi ke luar negara, Libur sangat galakkan anda untuk mengambil insurans perlindungan atau takaful perlindungan kepada diri dan harta benda anda. Sebabnya adalah, kita tak tahu apa yang akan terjadi sepanjang masa kita bercuti, lebih-lebih ke luar negara kerana berada jauh daripada kenalan.
Sekiranya ada apa-apa yang berlaku, insurans yang diambil boleh memberikan bantuan segera kepada anda. Pandang sebelah mata tentang jumlah yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan insurans tetapi pandang dengan lebih serius apakah kita mempunyai cukup simpanan dan bantuan lain sekiranya ada apa-apa kecelakaan berlaku terhadap diri kita? Sekiranya tidak, maka ambillah perlindungan insurans. Sediakan payung sebelum hujan.
Jadi, dalam perlindungan insurans perjalanan atau takaful perjalanan, apakah perkara-perkara utama yang berada di bawah perlindungan mereka? Sekiranya anda semak ke semua laman web yang menyediakan insurans atau takaful perjalanan, anda akan dapati terlalu banyak kelebihan atau benefit yang bakal anda nikmati sekiranya sesuatu terjadi terhadap diri anda.
Tetapi dalam kesemua perkara tersebut, kita nak rumuskan bahawa ada beberapa perkara penting yang perlu anda ambil kira sebelum mendapatkan perlindungan insurans atau takaful perjalanan. Ada lima benda yang perlu anda semak terlebih dahulu sama ada insurans atau takaful tersebut memberikan perlindungan terhadap lima perkara ini.
Ini perkara yang paling utama lebih-lebih lagi kepada anda yang sedang dalam perjalanan yang jauh. Dapatkan insurans atau takaful perjalanan yang melindungi anda daripada status perjalanan yang dibatalkan seperti pembatalan penerbangan dan sebagainya. Ada pelbagai sebab sesuatu perjalanan boleh dibatalkan sama ada di pihak anda atau di pihak pemberi perkhidmatan sebagai contoh masalah kesihatan, kecederaan atau kematian diri sendiri, keluarga atau teman seperjalanan. Selain daripad itu, kejadian bencana alam juga boleh menyebabkan sesuatu perjalanan atau penerbangan dibatalkan dan anda boleh membuat tuntutan insurans atau takaful sekiranya perkara itu terjadi.
Semak dengan teliti polisi insurans atau takaful yang anda ambil, tapi pastikan polisi pembatalan perjalanan ini termasuk dalam perjanjian insurans atau takaful.
Ini benda penting yang selalu dilepas pandang dan tak diteliti dengan baik. Ramai orang beranggapan bahawa semua polisi insurans atau takaful peribadi memberikan bantuan kecemasan perubatan semasa anda berada di luar negara. Dalam negara, ya, insurans atau takaful peribadi memberikan bantuan perubatan kecemasan kepada anda, tetapi tidak semasa anda berada di luar negara. Sebab itu, anda perlu mendapatkan insurans atau takaful perjalanan untuk hal tersebut. Jadi pastikan anda dapatkan insurans atau takaful perjalanan yang memberikan polisi bantuan kecemasan perubatan semasa anda berada di luar negara.
Selain daripada itu, sekiranya anda bercuti di tengah laut menaiki kapal juga mempengaruhi sesuatu polisi insurans atau takaful yang anda ambil. Jadi pastikan anda membuat semakkan yang teliti.
Polisi ini membolehkan anda dipindahkan dari hospital di luar negara ke hospital dalam negara tanpa perlu menanggung kos perpindahan yang amat tinggi. Ini kerana, prosedur perpindahan membabitkan pesakit yang cedera dan dalam keadaan cemas ini melibatkan perpindahan melalui udara dan ubat-ubatan, lebih-lebih lagi dari luar negara ke dalam negara. Kos ambulance, penerbangan, pengangkutan ke hospital, staf perubatan dan ubat-ubatan boleh mencecah lebih ratusan ribu ringgit.
Polisi ini nampak macam remeh tetapi amat membantu sekiranya ianya terjadi. Ada polisi yang akan memberikan anda pampasan sekiranya bagasi anda hilang daripada pesawat. Selain daripada hilang, ada sesetengah polisi yang memberikan perlindungan sekiranya bagasi anda dicuri atau dirosakkan. Ada juga polisi yang akan memberikan pampasan sekiranya bagasi anda terlewat tiba dari masa yang ditetapkan atau penerbangan anda terlewat dan sebagainya. Pampasan yang diberikan tidak bernilai penuh dengan apa yang ada dalam bagasi anda, tetapi pampasan yang diberikan membolehkan anda mencari pakaian ganti sementara menunggu bagasi anda tiba dengan selamat.
Bagi polisi untuk kelewatan penerbangan pula, pampasan yang layak anda terima adalah membabitkan tempat penginapan untuk menunggu penerbangan seterusnya dan juga makan anda selama anda berada di lokasi yang terkandas.
Polisi ini sangat membantu kerana mereka menyediakan staf yang akan memberikan bantuan kepada anda 24-jam di mana-mana sahaja lokasi anda di dunia sekiranya anda memerlukan apa-apa bantuan daripada mereka. Sama ada anda terlibat dalam kecemasan, kemalangan, kehilangan, kelewatan dan sebagainya, anda boleh hubungi mereka untuk tahu apa tindakan seterusnya dan apa yang perlu anda lakukan di situ dan di ketika itu.
Bantuan panggilan 24 jam ini tidak kurang pentingnya juga kerana anda boleh dapatkan lokasi hospital yang berdekatan dengan lokasi anda, membuat tuntutan pampasan, memohon bantuan kewangan dan sebagainya. Selain daripada perkara yang membabitkan nyawa, perkara-perkara lain seperti kelewatan bagasi, kehilangan visa atau pasport juga boleh menggunakan talian bantuan 24 jam ini.
Selain daripada lima polisi yang wajib ada dalam perlindungan insurans atau takaful anda, ada beberapa polisi tambahan lain yang boleh anda tambah untuk memberikan perlindungan maksimum seperti insurans nyawa, insurans lokasi merbahaya atau aktiviti merbahaya, insurans kemalangan kenderaan sewa, dan insurang kecurian dan kehilangan harta benda.
Pastikan anda semak dengan teliti apakan polisi yang ada dalam insurans atau takaful anda dan, pastikan anda dilindungi sebelum pergi bercuti terutamanya keluar negara.