Seronok penduduk Pahang, masih berpeluang berjalan-jalan bersama keluarga ke lokasi percutian menarik yang ada di negeri mereka dek tidak termasuk dalam negeri PKPB. Cakap sahaja hendak ke mana, negeri Pahang ada segalanya.
Pasti ketika ini ramai penduduk di Pahang yang memilih untuk bercuti dan bersantai bersama keluarga atau teman-teman di beberapa resort penginapan berhampiran yang selesa. Rata-rata akan mula scroll aplikasi penginapan yang menawarkan harga yang menarik dan lokasi yang menyeronokkan. Salah satu elemen penting dan bonus untuk anda jika terjumpa destinasi penginapan yang mempunyai fasiliti kolam renang. Apa-apa pun pesan LIBUR, jaga SOP ya!
Janda Baik di Bentong Pahang sering menjadi destinasi pilihan percutian jangka pendek hujung minggu. Tarikan alam semula jadi menjadikan ia pilihan terbaik bagi mereka yang mahu lari seketika daripada urusan harian yang sibuk dan memenatkan.
Ini pilihan penginapan menarik yang ada disekitar Janda Baik yang mempunyai kemudahan kolam renang. Memang best bawa anak-anak!
Saufiville Boutique Resort terletak di disebuah kawasan bukit tinggi di Janda baik. Pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke kawasan ini. Paling menarik resort ini menawarkan kemudahan kolam renang infiniti dengan pemandangan bukit bukau yang menghijau. Walaupun berada pada suhu sekitar yang agak sejuk, sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kolam renang ini anda akan dapat rasakan suhu di dalam kolam renang ini sangat suam dan begitu selesa. Terdapat beberapa buah bilik yang ditawarkan mengikut bajet anda. Resort ini juga menerima tempahan daripada tetamu luar yang datang semata-mata untuk menjamu selera sahaja tanpa perlu menginap.
Danau Daun Chalets dibina di atas sebidang tanah yang penuh dengan rawa, pokok dan biodiversiti tropika. Di resort ini terdapat beberapa jenis penginapan yang ditawarkan iaitu Teratak Air (lengkap dengan kolam renang peribadi di kaki bukit), Hillside Cottage, Danau Daun I & II (terletak di tepi kolam ikan) dan Danau Daun III (memiliki kolam peribadi dan terletak di sebalik kafe).
Villa Embun menampilkan reka bentuk ala Bali. Elemen kayu, ruang dan privasi menjadi keutamaan dengan setiap vila mempunyai ruang legar luas, siling tinggi serta dipisahkan dengan tembok tinggi. Antara kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah rumah kelab, ruang mesyuarat dan seminar, gimnasium, restoran, barbeku serta pakej-pakej istimewa seperti majlis perkahwinan, percutian berbulan madu dan percutian keluarga. Untuk ke vila, pengunjung dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri hingga ke kawasan khas sebelum dibawa ke kawasan vila di puncak bukit menggunakan kenderaan buggy. Selain memudahkan pengunjung ke vila, cara itu adalah antara polisi Embun untuk mengelak gangguan bunyi, pencemaran asap, kesesakan trafik serta menjaga privasi pengunjung.
D’Villa Janda Baik salah satu penginapan hujung minggu pilihan ramai. Berjalan di sekitar D’Villa, pengunjung pasti akan terpesona dengan susunan landskap yang mengenengahkan elemen tumbuhan. Dikelilingi alam hijau, setiap bilik di sini mempunyai konsep tertentu iaitu Rainforest Rooms, European Premier Room, Modern Premier Room, Modern Family Room dan yang paling istimewa sekali adalah Balinese Executive Room. Paling menarik pastinya tumpuan akan diberikan kepada kolam renang yang disediakan khas untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Aman Rimba Private Estate mampu memberikan kedamaian kepada tetamunya yang ingin lari jauh dari kesibukkan kota. Berkonsep reka bentuk kampung Melayu tradisional, vila ini terletak di tepi Sungai Benus yang mengalirkan air jernih. Setiap villa di Aman Rimba Private Estate menjanjikan ‘feel’ yang berbeza dari sudut rekaan iaitu bercirikan rumah tradisional Melayu sehinggalah moden kotemporari. Sementara lanskap pula bercirikan tropikal dan ala Bali. Kemudahan kolam renang yang disediakan memberikan anda peluang bersantai sambil menghayati alam sekitar.
image via google