Travel

5 Lokasi Hiking Untuk Pemula, Trek Sesuai Ikut Tahap Kemampuan Pendaki

Share

Ramai yang suka mendaki untuk hilangkan stress dan pulihkan emosi, dan anda patut tahu okasi hiking yang berbaloi pergi untuk menikmati pemandangan dari atas puncak.

Buat pencinta alam semula jadi yang ingin mencari pengalaman mendaki dengan pemandangan menakjubkan, berikut lima lokasi wajib anda kunjungi dengan trek yang sesuai mengikut tahap kemampuan pendaki.

1. Bukit Guling Ayam

Bagi yang baru nak mencuba (beginner), Bukit Guling Ayam di Gombak, Selangor, adalah pilihan terbaik dengan pendakian yang mudah dan pemandangan memukau di puncaknya.

Pendakian ke puncak hanya mengambil masa 30 minit dengan jarak satu kilometer (pergi dan balik).

Lokasi ini sangat popular, jadi anda mungkin akan bertemu ramai pendaki lain semasa meneroka.

Pendakian bermula dari laluan simen sehingga ke Ecolife Hilltop Café, sebelum anda memasuki kawasan hutan.

Namun, penting untuk diingatkan bahawa Bukit Guling Ayam adalah bukit yang tidak stabil, terdiri daripada lapisan tanah pasir longgar dan batu kuarza retak.

Pendaki perlu berhati-hati terutamanya di bahagian utara bukit, kerana tanah runtuh boleh berlaku selepas hujan lebat.

Di puncak, terdapat bendera Malaysia dan pemandangan 360 darjah yang menakjubkan.

Anda juga boleh menyaksikan matahari terbit atau terbenam dari puncak, tetapi perlu diingat, tiada tempat berteduh, jadi ia boleh menjadi sangat panas pada waktu siang.

2. Gunung Alai

Bagi yang ingin mencuba mendaki gunung pertama, Gunung Alai berhampiran Gerik, Perak, adalah pilihan menarik dengan pemandangan awan karpet yang memukau.

Pendaki perlu mengharungi laluan sejauh 5.5 km (pergi dan balik) yang mengambil masa purata 2 jam 54 minit untuk selesai.

Gunung Alai terkenal dengan pemandangan matahari terbit dan landskap panorama.

Bagi yang memulakan pendakian awal pagi, anda berpeluang menyaksikan awan karpet yang terbentang luas.

Nota penting: Pemula digalakkan mengambil pakej pendakian dengan guide berpengalaman serta mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan untuk keselamatan.

3. Rawang Bypass

 

Rawang Bypass bukan sekadar lebuhraya, ia juga menawarkan pengalaman mendaki yang singkat tetapi menakjubkan.

Dengan ketinggian 500 meter, pendakian ini hanya mengambil masa satu jam (naik dan turun).

Sesuai untuk pemula, tetapi berhati-hatilah ketika memanjat dinding curam kerana ia agak mencabar dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Menariknya, laluan ini menawarkan pemandangan jambatan tertinggi di Malaysia dan pokok Merawan Kanching yang menyerupai brokoli, spesies yang kini terancam.

Fakta menarik: Lebuhraya Rawang Bypass sepanjang 10km ini dibina untuk mengurangkan kesesakan laluan Persekutuan 1 dan mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan, dengan kos sebanyak RM628 juta.

4. Gunung Rajah

Bagi pendaki berpengalaman yang inginkan cabaran, Gunung Rajah di Pahang adalah destinasi yang patut dicuba.

Dengan ketinggian 1,680m, laluan sejauh 25.6km (pergi dan balik) berhampiran Bentong menawarkan pengalaman mendaki yang mencabar tetapi amat berbaloi.

Untuk pengetahuan anda, laluan sepanjang trek ke puncak gunung ini popular untuk aktiviti seperti backpacking, berkhemah dan mendaki.

Menariknya, bahagian terakhir laluan ke puncak memerlukan pendaki menggunakan tali, memanjat tangga, serta merentasi kawasan berlumpur di hutan lumut (mossy forest).

Pastikan anda membawa windbreaker atau emergency blanket, kerana suhu di puncak sejuk dengan angin kencang.

5. Bukit Pau

Bukit Pau, Kemensah di Selangor sesuai bagi pendaki yang mencari pengalaman santai sambil menikmati sarapan pagi di tengah-tengah keindahan alam.

Dengan ketinggian 272 meter, pendakian mengambil masa kira-kira 25-30 minit saja.

Tarikan utama adalah Dusun Tok Lee Meranti, yang hanya dibuka pada hujung minggu dan cuti umum.

Pendaki dapat menikmati air kelapa dan nasi lemak sambil disajikan pemandangan indah.

Nota: Hati-hati dengan anjing yang berkeliaran di kawasan ini. Pastikan makanan anda ditutup dengan rapat.

Untuk pengetahuan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menutup sementara Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri susulan Monsun Timur Laut yang telah bermula.

Justeru, sebelum pergi, pastikan anda menyemak terlebih dahulu tempat yang ingin dikunjungi atau untuk merancang pada tahun akan datang.

Pilih destinasi yang sesuai dengan tahap pengalaman anda dan nikmati keindahan alam semula jadi Malaysia.

Nak join hiking, jangan lupa membawa air secukupnya, pelindung matahari, dan pakaian yang sesuai untuk mendaki.

Oleh
Nadia