Selain Eropah, Amerika Latin juga merupakan rumah kepada destinasi pelancongan yang paling memukau di dunia. Selain menjanjikan pengembaraan yang pasti membawa anda ke suatu pengalaman yang belum pernah dikecapi. Keindahan alam semula jadi pasti menjadikan perjalanan anda ke sini sesuatu yang amat berbaloi untuk dilakukan sekali seumur hidup.
TORRES DEL PAINE, CHILE
Torres del Paine National Park adalah sebuah taman negara yang meliputi gunung, glasier, tasik, dan sungai-sungai di selatan Chile Patagonia. Ia adalah salah satu taman terbesar dan paling banyak dikunjungi di Chile. Purata lawatan sekitar 150,000 pengunjung setahun, di mana 60% adalah pelancong asing yang datang dari seluruh dunia. Destinasi mendaki terkenal ini merangkumi 11 kawasan perlindungan yang meliputi beberapa tasik yang terkenal seperti Grey, Pehoé, Nordenskiöld, dan Sarmiento.
EASTER ISLAND, CHILE
Easter Island adalah salah satu daripada pulau-pulau yang paling terpencil di dunia. Hingga hari ini, masih tidak diketahui sebab-sebab mengapa mereka mula mengukir patung-patung gergasi yang diperbuat menggunakan batu gunung berapi ini. Monumen yang dikenali sebagai “moai” adalah peninggalan kuno yang paling luar biasa pernah ditemui. Penduduk Penduduk di sini menggelar diri mereka Rapa Nui. Dari mana mereka datang dan mengapa mereka hilang merupakan antara persoalan yang menarik untuk dijejaki ketika bertandang ke sini.
MACHU PICCHU, PERU
Machu Picchu berdiri 2430 meter di atas paras laut di tengah-tengah hutan gunung tropika dalam suasana indah yang sungguh luar biasa. Ia mungkin penciptaan bandar purba yang paling menakjubkan pada zaman empayar Inca di zaman kemuncaknya. Kebanyakan ahli arkeologi percaya bahawa Machu Picchu dibina sebagai sebuah ladang untuk Maharaja Inca Pachacuti (1438-1472). Dinding gergasi, teres dan tanjakan yang menjadi landskap alam di sini kelihatan seolaholah mereka telah dipotong secara semula jadi. Machu Picchu telah diisytiharkan sebagai Peruvian Historical Sanctuary pada tahun 1981 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1983.
LAKE ATITLAN, GUATEMALA
Lake Atitlán sebuah destinasi yang menggabungkan pemandangan yang indah, suasana santai dalam keunikan budaya Mayan. Ia mudah diakses dengan infrastruktur pelancongan yang baik. Atitlan Lake terletak pada ketinggian 1,560 meter. Bahagian puncak Gunung Berapi Tolimán merupakan gunung berapi yang paling tinggi iaitu setinggi 3,158 meter. Terdapat beberapa pilihan inapan yang ada di sini seperti Casa Del Mundo, Lake Villa Guatemala, Lomas de Tzununá dan La Riviera de Atitlan. Santa Catarina Palopo adalah sebuah perkampungan Mayan yang wajib dikunjungi kerana masih mengekalkan ciri-ciri kebudayaan tradisional Kaqchikel yang unik.
Perito Moreno Glacier terletak di Los Glaciares National Park yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1981 oleh UNESCO. Ia terletak di bahagian barat daya wilayah Santa Cruz. Glasier ini merupakan pembentukan ais yang berukuran 250 kilometer persegi (97 batu persegi) sejauh 30 kilometer panjang. Dek kerana keindahannya, Perito Moreno Glacier adalah salah satu magnet pelancongan terbesar kepada rantau Patagoni. Perjalanan menuju ke glasier adalah sekitar dua jam dari El Calafate menggunakan bas. Aktiviti trekking pada musim sejuk adalah salah satu pengalaman paling menyeronokkan yang tidak mengeluarkan peluh dan sering dilakukan oleh para pelancong yang bertandang ke sini.