Malaysia sangat bertuah kerana memiliki destinasi alam semula jadi yang menarik. Seperti di Selangor terdapat banyak lubuk lokasi pelancongan alam semulajadi seperti destinasi air terjun yang menakjubkan.
Antara yang menjadi pilihan pengunjung seperti:
1) Sungai Tekala
Salah satu air terjun menakjubkan di Selangor ialah Sungai Tekala yang terletak kira-kira 14km dari Semenyih di daerah Hulu Langat. Jarak Sungai Tekala dari Kuala Lumpur pula adalah kira-kira 50km. Pada tahun 1982, orang ramai akhirnya dapat menikmati keindahan Sungai Tekala setelah Taman Reaksi dibuka secara rasmi. Ia adalah tempat yang ideal untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan kerana anda hanya memerlukan 10 minit untuk sampai ke air terjun dari pintu masuk utama. Dengan caj masuk serendah RM 2 bagi orang dewasa dan RM 1 bagi kanak-kanak, lokasi air terjun ini dilengkapi dengan deretan gerai makan, surau, aksara dan tandas awam. Bagi yang ingin bermalam, perkidmatan menyewa chalet juga disediakan, atau anda boleh menyewa tapak untuk mendirikan khemah untuk lebih penjimatan.
2) Air Terjun Kanching
Hutan hujan Kanching yang juga dikenali sebagai Hutan Lipur Kanching terletak di antara Bandar Rawang dan Kuala Lumpur. Pada hujung minggu, hutan ini sangat terkenal sebagai lokasi untuk berkhemah, berkelah, berenang dan meredah hutan kerana lokasinya yang strategik dan dekat dengan pusat bandar. Laluan atau trek di hutan ini adalah agak mudah bagi yang mula ingin berjinak-jinak untuk meredah hutan dan ia juga dipenuhi oleh pelbagai spesis tumbuhan yang jarang dapat dilihat di tempat lain. Hutan ini diuruskan oleh pihak Tourism Selangor, dan mempunyai 7 lapisan air terjun yang indah dan menakjubkan. Tambahan lagi, adalah suatu pemandangan biasa jika anda terlihat sekumpulan monyet bergayutan dari pokok ke pokok dalam habitat asli mereka. Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM 1 seorang dan RM 2 untuk caj parkir bagi sebuah kereta.
3) Lata Medang
Terdapat satu lagi air terjun mencabar yang terletak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu. Air terjun ini berhampiran dengan kampung Orang Asli yang menjadi penduduk tetap di Kampung Pertak. Jika anda ingin ke air terjun Lata Medang, anda perlu bersiap sedia untuk mendaki ke lokasi diingini. Laluan trek adalah agak mudah bagi yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian. Di sepanjang jalan ke air terjun Lata Medang, anda akan dapat menyaksikan pelbagai jenis tumbuhan dan pepohon, disertai permandangan yang indah. Anda akan dikenakan caj masuk sebanyak RM1 seorang untuk tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan lokasi air terjun tersebut.
4) Sungai Pisang
Air terjun ini terletak di pinggir Lebuhraya Karak. Untuk sampai ke air terjun ini, anda perlu memulakan aktiviti meredah hutan dari lokasi yang dinamakan sebagai Jungle Lodge (terletak di sepanjang Jalan Gombak lama ke Genting Highland). Perjalanan ke sana akan mengambil masa selama satu jam. Anda akan menyeberangi sungai beberapa kali, melalui terowong yang terletak di bawah Lebuhraya Karak dan mendaki melalui hutan berusia 100 tahun. Anda boleh melewati terowong dengan mengharungi laluan yang mempunyai air atau berjalan di bahagian tebing. Apa yang lebih menarik, anda boleh menikmati sensasi ala spa dengan air sungai yang menempatkan ikan-ikan kecil menggigit manja kulit-kulit mati yang terdapat di tapak kaki anda,
5) Sungai Chiling
Sungai Chiling adalah salah satu daripada air terjun yang menakjubkan dan luar biasa yang terdapat di Negeri Selangor. Perjalanan ke air terjun ini memakan masa kira-kira satu jam melibatkan aktiviti berjalan dan meredah hutan, Jadi anda perlu bersiap siaga untuk sebuah penggembaraan dengan keberangkalian pakaian menjadi basah seusai sampai ke lokasi. Air terjun dan sungai ini merupakan salah satu dari tapak Perlindungan Ikan Mahseer yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor. Air terjun Chiling mempunyai 3 paras air terjun tetapi anda hanya dibenarkan untuk menerokai hingga ke paras yang pertama manakala 2 paras selebihnya tidak dibuka kepada orang awam.
Sumber: Tourism Selangor