5 Jenis Scam Yang Selalu Pelancong Kena Di Luar Negara, Anda Perlu Berhati-Hati!

Share

Ketika anda nak keluar bercuti, mesti ada beberapa langkah keselamatan yang anda amalkan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan atau jenayah sesetengah pihak kan?

Walaupun begitu, kita tetap terkena dengan penipuan yang licik oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan ini.

Jadi, untuk menjadikan anda lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku sewaktu anda bercuti lebih-lebih lagi diluar negara, ini lima taktik penipuan yang sering berlaku dan anda akan lebih peka dengan keadaan sekeliling selepas membaca artikel ini.

Penipuan tukaran wang

Selalunya, penipuan semasa anda menukar matawang boleh berlaku jika anda tidak mengira wang yang diterima atau lebih teruk, anda mungkin diberi wang palsu oleh pengurup wang yang tidak bertauliah.

Tolak dan ragut

Taktik ini paling kerap berlaku di luar negara terutama jika anda berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai seperti menaiki pengangkutan awam. Ketika itulah penyeluk saku atau peragut akan menolak anda dan mencuri dompet dari dalam beg.

Didekati OKU

Sebenarnya, tak semua Orang Kurang Upaya (OKU) yang meminta derma benar-benar cacat. Hal ini kerana ada penipu yang menyamar menjadi OKU dan meminta derma daripada anda atau memaksa anda memberi wang kepada mereka.

Menyamar jadi polis

Jangan mudah terpedaya dengan si pencuri yang menyamar jadi polis! Jangan panik jika anda tiba-tiba ditahan dan diarahkan menunjukkan dokumen pengenalan atau memeriksa barangan kerana kemungkinan besar mereka akan meletakkan barang larangan seperti dadah dalam barangan anda dan kemudian mendakwa anda telah melanggar peraturan serta terpaksa membayar denda jika mahu dilepaskan.

Teksi tak guna meter

Taktik penipuan ini sangat popular di seluruh dunia termasuklah negara kita. Jadi, anda harus berwaspada dengan meter teksi semasa melancong di luar negara untuk memastikan anda tidak ditipu.

Biasanya pemandu teksi akan memberitahu bahawa meter rosak dan terus mengenakan harga tetap yang tinggi kepada anda.

Ada juga pemandu yang akan menggunakan jalan jauh semata-mata untuk mengenakan caj mahal walaupun menggunakan meter. Pertahankan hak anda sebagai penumpang jika berlaku insiden seperti ini.

Oleh
Epul