4 Percutian Dingin & Nyaman Ala Oversea Di Tanah Tinggi Pahang

Share

Untuk merasai pengalaman percutian berada di negara beriklim dingin seperti di luar negara pastinya memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk ke sana. Malaysia umumnya mengetahui mengalami cuaca beriklim khatulistiwa, namun itu tidak menjadi alasan untuk anda berpeluang merasai percutian bersuhu sejuk yang mendamaikan.

Tidak perlu mengeluarkan belanja besar, jom ke destinasi peranginan tanah tinggi yang bertempat di Pahang.

Genting Highland, Pahang

Genting Highland cukup dikenali tidak kira buat penduduk tempatan atau pelancong asing. Lokasinya yang terletak di atas bukit dengan suhu sejuk yang nyaman, pasti memberikan keseronakan berganda untuk anda dan keluarga berhibur lebih-lebih lagi dengan kewujudan taman temannya.

Peluang Petik Strawberi

Terletak berhampiran dengan Genting Highland, terdapat sebuah taman strawberi di Gohtong Jaya. Pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan buah strawberi yang segar dari ladang. Dengan suhu yang dingin dan nyaman, percutian ke sini pasti tidak lengkap tanpa menikmati secawan minuman panas dan merasai produk-produk makanan berasaskan strawberi. Selain dapat melihat taman strawberi yang bersaiz sederhana, pengunjung juga boleh memetik sendiri buah yang hendak dibeli.

Cameron Highland, Pahang

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Malaysia. Terletak di Pahang, ia mendapat nama setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron menjumpai kawasan ini pada tahun 1885. Cameron Highland berada pada ketinggian 1,829 meter dari aras laut dan suhunya sekitar 18 darjah Celsius hingga 25 darjah Celsius begitu kaya dengan khazanah hutan semulajadinya. Terdapat dua kawasan utama yang menjadi tumpuan jika bercuti di Cameron Highland iaitu Tanah Rata dan Brinchang. Pengunjung tidak perlu risau tentang penginapan di sini. Terdapat banyak resort dan hotel daripada status mewah hingga bajet yang boleh dipilih mengikut kemampuan. Walau bagaimanapun anda disarankan membuat tempahan lebih awal sekiranya berhajat ke sini pada musim cuti umum atau cuti sekolah. Jangan lupa juga untuk ke Lavendar Garden!

Minum Teh Panas

Tarikan utama Cameron Highland sudah tentulah ladang tehnya. Terdapat dua buah ladang teh yang terkenal untuk dikunjungi, iaitu Ladang Teh Boh dan Ladang Teh Bharat. Bawa keluarga anda memetik sendiri daun teh sambil merakam gambar kenang-kenangan disekitar ladang menghijau itu. Jika ingin menikmati teh panas dan segar singgahlah di Hentian Teh Bharat sambil melihat keindahan panorama ladang teh yang terbentang luas dan cukup menakjubkan.

Bukit Tinggi, Pahang

Jika impikan destinasi percutian ala-ala di sebuah perkampungan berkonsepkan Perancis, apa kata ke Colmar Tropicale di Bukit Tinggi, Pahang. Perjalanan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu jam perjalanan sahaja menggunakan Lebuhraya Pantai Timur. Suasana dingin pasti menyapa anda tatkala tiba di puncak dan memasuki kawasan Berjaya Hills Resort yang terletak pada ketinggian 823 meter atas paras laut.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran untuk beriadah sekitar bandar mini ini sambil menghirup udara yang nyaman. Bagi yang menginap di sini, bayaran masuk ke sini akan dipulangkan kembali ketika daftar masuk hotel di sini.

Pengalaman Indah

Pengunjung pasti teruja apabila melintasi kolam yang dipenuhi angsa dengan melalui di atas sebuah jambatan yang mempunyai reka bentuk unik sebelum masuk ke kota seakan berada di Negara Perancis. Bangunan dalam kawasan ini terdiri daripada hotel, restoran, kedai cenderamata, spa dan pusat hiburan, sesuai dikunjungi oleh mereka yang berbulan madu mahu pun bekeluarga. Berhampiran ini juga terdapat banyak tarikan seperti taman Jepun, kawasan sukan ekstrem dan taman haiwan.

Jangan lupa rakam gambar kenang-kenangan di sini!

Bukit Fraser, Pahang

Bukit Fraser terletak di atas Banjaran Titiwangsa, dengan suhu sejuknya sekitar 17 darjah Celsius hingga 24 darjah Celsius. Selain bersiar-siar sambil menghirup udara yang dingin dan menghayati pemandangn, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti bermain golf, melihat burung ataupun menunggang kuda.

Menakjubkan di Bukit Fraser ini juga terdapat sebuah tasik yang begitu menarik pemandangannya. Pengunjung boleh menyewa kayak atau sampan untuk mengelilingi tasik ini sambil melihat keindahan sekitarnya.

Oleh
Husna