4 Masjid Ini Buat Ramai Jatuh Cinta & Nak ‘Stay Lama’ Untuk Beribadat & Bergambar

Share

Kalau diikutkan fungsi masjid sebenarnya lebih daripada ruang untuk mendirikan solat semata-mata. Namun hari ini, ada segelintir pengurusan masjid yang 'sangat menjaga' rumah ibadat umat Islam ini sehingga mewujudkan pelbagai undang-undang manusia yang ada kalanya tidak boleh diterima akal.

Ada yang melarang pengunjung untuk masuk sesuka hati dan berlegar-legar di kawasan masjid tanpa tujuan. Walau bagaimanapun, mungkin itu hanya segelintir sahaja pengurusan rumah ibadat bagi umat Islam yang menetapkan syarat sebegitu. Hari ini masjid menjadi lokasi penyatuan seluruh umat Islam untuk datang singgah. Namun, ketika pandemik ada beberapa syarat yang perlu dituruti pengunjung dan langsung tidak membebankan. Antaranya mendaftar diri melalui aplikasi yang disediakan, memakai pelitup hidung dan menjaga jarak sosial.

Ini antara masjid yang menjadi tumpuan ramai bukan sahaja untuk beribadah, malah membelek setiap sisi unik dan cantik yang ada pada masjid tersebut:

  • Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan



Sekali pandang, masjid ini macam masjid di luar negara. Tidak sangka pula masjid yang diwakafkan oleh seorang individu ternama ini berada di Malaysia. Itulah keunikan Masjid Sri Sendayan yang dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti Masjid Nabawi dan Taj Mahal. Bahkan menjadi ini telah menjadi tarikan terbaharu masyarakat Islam di Negeri Sembilan dan pelancong. Masjid Sri Sendayan terletak di Bandar Sri Sendayan tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Islam, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.




Sesiapa sahaja yang singgah di masjid ini pasti mengabadikan gambar kenang-kenangan sebagai simpanan peribadi. Disebabkan keunikan seni bina masjid itu sendiri, ia tidak henti-henti menerima kunjungan orang ramai termasuk dari luar sejak dari awal masjid ini memulakan operasi secara rasmi. Tidak salah jika ramai ingin bandingkan rupa masjid ini dengan Taj Mahal, India kerana pemandangan masjid unik yang mempunyai bangunan keseluruhan berwarna putih seakan sama dengan bangunan ikonik terkenal itu.

  • Masjid Lapan Kubah, Terengganu



Jika anda ke Jerteh, Terengganu pasti terpesona dengan sebuah masjid seni binanya seakan-akan St. Basil Cathedral yang merupakan binaan ikon terkenal wajib melawat jika ke Moscow, Rusia. Jangan tidak tahu, masjid ini telah berjaya menarik perhatian orang ramai. Terletak di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Terengganu, Masjid Lapan Kubah atau mendapat jolokan sebagai 'Masjid Russia' menarik perhatian orang ramai erdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu. Masjid ini menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.


Masjid Lapan Kubah kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk di dalam dan luar negeri. Keunikan seni bina masjid ini dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun 2017 tidak putus-putus dikunjungi. Ada yang sanggup datang dari jauh bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid. Dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.

  • Masjid Tanjung Bunga Pulau Pinang



Pulau Pinang destinasi pelancongan terkenal dan dikunjungi ramai. Namun ramai pengunjung luar yang tidak mengetahui tentang kewujudan sebuah masjid terapung di Tanjung Bungah. Kedudukannya yang strategik iaitu dalam perjalanan menuju ke Batu Feringghi menjadikan masjid berkenaan sebagai tempat persinggahan di kalangan pengujung bukan sahaja untuk solat malah bagi merehatkan badan sambil bersantai.


Keadaannya yang terapung atas permukaan air laut cukup unik dan indah dipandang oleh sesiapa sahaja. Reka bentuknya yang unik sememangnya mengagumkan manakala kubah pula berbentuk aerodinamik, sesuai dengan persekitaran lautan. Keunikan masjid terapung diperkukuhkan lagi dengan menara azan setinggi tujuh tingkat yang dihiasi dengan ukiran kayu jati dan seni khat kaligrafi dari Indonesia.

  • Masjid Sultan Iskandar, Johor



Masjid Sultan Iskandar, terletak di Bandar Dato’ Onn, Johor menjadi masjid pertama di negara ini yang diisytihar sebagai masjid pelancongan. Selain tempat beribadat untuk umat Islam, Masjid Sultan Iskandar juga berperanan sebagai medium bagi menyampaikan keindahan dan kefahaman syiar Islam dengan lebih mendalam khususnya kepada masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Bersempena dengan pengiktirafan masjid pelancongan ini juga, Masjid Sultan Iskandar turut menyediakan fasiliti Galeri An-Nur yang mempamerkan bahan mengenai agama Islam selain sebuah bilik teater bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjung-pengunjung untuk mendalami konsep-konsep Islamiah.


Bagi memantapkan lagi tadbir urus masjid secara profesional pula, pengurusan masjid ini mengambil inisiatif dengan membariskan petugas-petugas masjid selaku pemandu pelancong bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung dan pelancong yang hadir sebagai platform interaksi dua hala seperti sesi soal jawab, demonstrasi dan sebagainya.

image via google

Oleh
Husna