Minggu ini ada beberapa siri gempa bumi yang dilaporkan berlaku di dunia. Kejadian berlaku hanya selang beberapa hari antara lokasi-lokasi yang dilaporkan.
Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan gegaran gempa bumi pada kejadian Isnin tengah malam.
Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter dilaporkan berlaku di perairan Kota Marudu, Sabah tengah malam 9 Mac 2020. Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada pukul 12.48 malam, pada kedalaman 10km, kira-kira 22km Timur Laut, Kota Marudu. Gegaran mungkin dirasai di persekitaran kawasan gempa itu.
Pada 10 Mac 2020, gempa bumi sederhana kuat bermagnitud 5.0 pada skala Richter mengegarkan kawasan Bogor, Jawa Barat, yang terletak kira-kira 83 kilometer dari Kota Jakarta. Menurut Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa itu berlaku pada 5.18 petang waktu Indonesia barat, berpusat di 38km barat daya kota Bogor-Jabar, di kedalaman 10km.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan BMKG. Berdasarkan komen-komen netizen di laman Twitter BMKG, gegaran gempa itu turut dirasakan di kawasan Bogor, Depok (kota berhampiran Jakarta), kawasan kota Sukabumi di Jawa Barat serta beberapa kawasan di Jakarta Pusat. Setakat ini belum terdapat laporan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.
Wilayah Autonomi Tibet, China pada Selasa dilanda tiga kali gempa bumi, satu daripadanya berkekuatan 5.0 pada skala Richter, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Gempa bermagnitud 5.0 itu dengan pusat gempa bumi pada 32.84 darjah utara dan 85.52 darjah timur, menggegar daerah Gerze di wilayah Ali pada pukul 2:12 pagi Selasa, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China. Dua lagi gegaran berkekuatan 3.7 dan 3.4 pada skala Richter.
Siasatan awal mendapati tiada kecederaan dan kerosakan dilaporkan setakat 10 pagi 10 Mac 2020. Pusat gempa itu terletak di sekitar kampung di Gerze. Kebanyakan penduduk sedang tidur ketika kejadian. Gerze adalah daerah terbesar di wilayah Ali, dikenali sebagai pusat industri peternakan.
Gempa bumi dengan kekuatan 5.47 pada skala Richter menggegarkan kawasan yang terletak empat kilometer berhampiran bandar Alberto Oviedo Mota, Mexico kira-kira jam 3.52 pagi 7 Mac 2020, lapor agensi berita Xinhua. Memetik Pusat Geologi Amerika Syarikat, pusat gempa adalah pada kedalaman 32.29 kilometer. Gempa 5.47 pada skala Richter gegar bandar Alberto Oviedo Mota, Mexico