Setiap daripada kita mesti mengimpikan satu pengembaraan yang epik ke negara luar lebih-lebih lagi pengembaraan secara solo – penuh dengan cabaran, pengalaman dan perkara baharu dalam kehidupan.
Tapi pengembaraan seumpama itu mesti mempunyai pelbagai rintangan dan rintangan pertama yang perlu kita hadapi adalah berdepan dengan keluarga atau lebih tepatnya, mak ayah kita.
Manakan tidak, mak ayah mana yang tidak risaukan anaknya yang nak berjalan ke luar negara lebih-lebih lagi seorang diri. Sudah tentu kerisauan mereka membuak-buak, tambah lagi kalau anda seorang perempuan.
Jadi macam mana nak ‘menang’ dalam ‘mahkamah’ mak ayah ni? Di sini saya nak kongsikan kepada anda beberapa tip yang mungkin boleh membantu anda dapat sikit kelebihan dalam ‘perbicaraan’ tersebut.
Mak ayah nak tahu lebih tepat kenapa anak kesayangan intan ayung mereka tu nak sangat travel solo dan sekiranya jawapan anda meyakinkan, mereka mungkin akan lebih terbuka untuk menyokong hasrat anda itu. Lebih tepat lagi, ceritakan kepada mereka soal-soal keselamatan kerana itu yang menjadi keutamaan kepada mak ayah untuk pastikan anda kekal selamat sebenarnya.
Kalau anda jenis yang baru pertama kali nak travel secara solo, mungkin penjelasan mengenai aspek keselamatan tidak dapat diterangkan dengan lebih terperinci tetapi penjelasan lain seperti travel untuk merasai pengalaman dan budaya baharu di tempat orang disamping melihat keindahan tempat orang mungkin akan memberikan satu gambaran kepada mak ayah mengapa mereka perlu membenarkan anda pergi.
Anda perlu terangkan kepada mereka butir-butir perjalanan anda dari satu tempat ke satu tempat supaya mereka tahu di mana anda berada ketika itu dan apa aktiviti yang anda sedang dan akan lakukan.
Beritahu secara terperinci mengenai penginapan anda, tiket penerbangan, pengangkutan, dan kalau boleh lokasi-lokasi penting kepada mereka seperti pejabat kedutaan, balai polis, hospital supaya amak ayah berasa yakin yang anda tahu apa yang anda sedang lakukan.
Maklumkan juga kepada mereka di mana dan bila mereka boleh cari anda sekiranya tidak dapat dihubungi dan jangan lupa juga untuk kemaskini kepada mereka lokasi terakhir anda untuk hari tersebut.
Anda perlu kerap berhubung dengan mereka tak kisah melalui WhatsApp atau apa sahaja cara perhubungan yang dirasakan mudah ketika di luar negara.
Ketepikan perasaan yang ‘aku nak travel, nak lari dari semua orang, nak release tension bla..blaa.bla..’ ketika travel solo sebab kerisauan mak ayah yang anda buat dengan tidak berhubung dengan mereka akan memberikan lebih tekanan apabila balik ke rumah nanti dengan bebelan ibarat dihempas ombak laut tsunami.
Anda tidak perlu bergayut dengan mak ayah sentiasa sepanjang perjalanan tetapi sekurang-kurangnya update kepada mereka mengenai status terkini anda dengan kerap. Jangan sampai mereka dapat update mengenai anda di Instagram pula, kecil hati mak ayah.
Selfie satu kali dengan kawan baharu atau orang-orang baharu yang anda temui sepanjang perjalanan anda. Selain daripada simpan kenangan bersama orang-orang baharu tersebut, anda juga dapat maklumkan kepada mak ayah anda bahawa anda berada selamat dengan mereka di sana dan tiada apa yang perlu dirisaukan.
Selalu berkawan rapat dengan rakan-rakan traveller yang lain tak kisah dari negara mana sekalipun kerana pengalaman mereka mungkin dapat membantu anda untuk mendapatkan sedikit informasi yang berharga.
Beri keyakinan kepada mak ayah anda bahawa anda tahu untuk jaga diri sendiri, barulah mereka akan lepaskan anda pergi travel solo lagi di masa-masa akan datang, kan?
Itu sekian tip yang saya nak kongsikan kepada anda. Bukan bermaksud untuk saya ajar anda cara kurang ajar dengan mak ayah ya, tidak sama sekali. Sekiranya mereka berkeras untuk tidak membenarkan anda pergi juga, akurlah kepada mereka sebab keberkatan hidup kita ada pada kedua orang tua.
Apalah gunanya mengembara satu dunia sekalipun kalau tiada berkat dan restu dari mak ayah kan? Apa-apa pun, saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda!