Tahu atau tidak jumlah sebenar penduduk dunia ini ? Sebanyak 27 negara atau wilayah mengalami penurunan populasi penduduk sekurang-kurangnya satu peratus sejak 2010 ekoran kadar kesuburan yang rendah. Maka untuk terus menambah populasi bumi, seorang wanita semasa hayatnya dicadangkan perlu melahirkan secara purata dua orang bayi.
Walau bagaimanapun, populasi penduduk dunia dijangka meningkat sehingga 9.7 bilion orang menjelang tahun 2050 berbanding 7.7 bilion orang hari ini. Ia berdasarkan laporan ‘Prospek Populasi Dunia 2019’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jumlah tersebut boleh meningkat kepada 11 bilion orang menjelang tahun 2100. Laporan ini sekaligus menunjukkan jumlah penduduk dunia yang tertinggi dalam sejarah.
Menurut laporan itu, populasi penduduk di rantau sub-Sahara Afrika akan meningkat sebanyak dua kali ganda. Kajian berkenaan membayangkan gambaran masa hadapan di mana populasi penduduk di beberapa negara meningkat ekoran tempoh jangka hayat penduduknya yang semakin panjang meskipun pertumbuhan global berkembang dengan perlahan dan kadar kesuburan menurun.
Ramalan populasi penduduk Malaysia juga tidak kurang menariknya kerana dijangka mencapai kemuncak 42 juta penduduk menjelang tahun 2070 sebelum mula susut semula kerana masalah kesuburan.
Sumber: population| amanz