Pergilah bercuti ke mana sahaja, selalunya pasti kita akan membeli sedikit buah tangan istimewa untuk diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan sebagai tanda kita telah berkunjung ke lokasi tersebut.
Jika anda bercuti ke Port Dickson, apakah ole-ole yang terfikir untuk di bawa pulang? Jika tiada idea, ini mungkin boleh membantu. Tahukah anda bahawa di Port Dickson terdapat sebuah kampung yang menghasilkan produk kraf untuk dijadikan sebagai cenderahati untuk anda bawa pulang?
Kraf anyaman rotan dan batik ikat celup merupakan tarikan istimewa buat pelancong di Kampung Telok Pelanduk. Terletak kira-kira 50 meter dari pantai Telok Pelanduk dan jeti nelayan, kawasan kampung ini yang dikelilingi hutan kecil mampu menggamit pelancong untuk tinggal di inap desa bagi menyaksikan panorama alam.
Malah, pelancong juga boleh meneroka keindahan pantai Tanjung Biru yang terletak hanya kira-kira 4.8 kilometer dari kampung berkenaan.
Penglibatan komuniti di Kampung Telok Pelanduk dalam penghasilan batik dan anyaman rotan menjadi antara tarikan pelancong bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan tetapi juga pelancong luar negara ke negeri ini.
Kampung ini juga dijadikan sebagai tempat mempamer dan mempelajari proses pengeluaran produk batik menggunakan teknik ikat dan celup seperti selendang dan kemeja-T selain pelbagai jenis anyaman bakul yang diperbuat daripada rotan.
Pelancong boleh membeli pelbagai produk yang dihasilkan komuniti di kampung berkenaan dan jika bernasib baik dan ada kelapangan mereka juga turut diajar teknik asas menghasilkan produk batik dan kraf berasaskan rotan.
Malah, jika tidak berkesempatan untuk ke kampung ini, pengunjung masih boleh mendapatkan produk kraf daripada komuniti di Port Dickson ini dengan membeli secara dalam talian menerusi E-Kraf Bazar.
Sumber: Bernama