Kegembiraan 150 penumpang yang menaiki perkhidmatan funikular (kereta kabel) di Bukit Bendera berdepan detik cemas selepas pengangkutan awam tersebut terkandas.
Pihak bomba menerima panggilan daripada salah seorang penumpang yang terkandas pada 3 Oktober 2020 (Sabtu) jam 2.33 petang. Sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati perkhidmatan funikular itu terkandas di stesen tengah di pusat peranginan tersebut.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHCC) dalam satu kenyataan di Facebooknya mengesahkan kejadian tersebut.
“Perkhidmatan funikular Bukit Bendera sedang mengalami gangguan buat sementara waktu. Pasukan kami sedang berusaha menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami dan mengucapkan terima kasih di atas kesabaran dan pemahaman anda,”
Tidak lama kemudian, satu lagi kenyataan dimuatnaik di Facebook rasmi PHCC:
Salam hormat dari Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP)!
Untuk makluman para pengunjung yang dihormati, pasukan operasi kami telah menyelesaikan keralatan yang berlaku dan perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada sekitar jam 3.55pm selepas mengalami gangguan selama 2 jam.
Penjualan tiket kini dibuka semula pada 4.10 petang.
Pihak PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung, penduduk dan pihak perniaga atas sokongan dan kesabaran anda.
Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami dan kami mengalu-alukan kedatangan anda ke Bukit Bendera.
Sekian,
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang.