
Kegembiraan 150 penumpang yang menaiki perkhidmatan funikular (kereta kabel) di Bukit Bendera berdepan detik cemas selepas pengangkutan awam tersebut terkandas.
Pihak bomba menerima panggilan daripada salah seorang penumpang yang terkandas pada 3 Oktober 2020 (Sabtu) jam 2.33 petang. Sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati perkhidmatan funikular itu terkandas di stesen tengah di pusat peranginan tersebut.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHCC) dalam satu kenyataan di Facebooknya mengesahkan kejadian tersebut.
“Perkhidmatan funikular Bukit Bendera sedang mengalami gangguan buat sementara waktu. Pasukan kami sedang berusaha menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Kami memohon maaf di atas kesulitan yang dialami dan mengucapkan terima kasih di atas kesabaran dan pemahaman anda,”
Salam hormat dari Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) Perkhidmatan funikular Bukit Bendera sedang mengalami…
Posted by Penang Hill on Saturday, October 3, 2020
Tidak lama kemudian, satu lagi kenyataan dimuatnaik di Facebook rasmi PHCC:
Salam hormat dari Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP)!
Untuk makluman para pengunjung yang dihormati, pasukan operasi kami telah menyelesaikan keralatan yang berlaku dan perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada sekitar jam 3.55pm selepas mengalami gangguan selama 2 jam.
Penjualan tiket kini dibuka semula pada 4.10 petang.
Pihak PBBPP ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung, penduduk dan pihak perniaga atas sokongan dan kesabaran anda.
Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami dan kami mengalu-alukan kedatangan anda ke Bukit Bendera.
Sekian,
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang.
image via FB Info Roadblock JPJ/POLIS
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kompetensi Wanita Di Batang Lupar

Indah panorama loka tatkala menyusuri bumi penuh khazanah ini. Batang Lupar, Sarawak bukan sekadar menyimpan misteri Bujang Senang yang digeruni malah menyingkap sejuta keindahan, pesat pembangunan juga manis kemesraan masyarakatnya.
Mana bisa penulis lupa pada momen-momen bersama 40 pengamal media tempatan tatkala menyertai Kembara Batang Lupar 2017. Acara yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah melepaskan peserta Kembara Batang Lupar 2017 di majlis perasmian Kembara Batang Lupar 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Pullman Kuching.
Antara tempat menarik yang dilawati peserta ialah perusahaan memproses obor-obor di Kampung Sampat, Sebuyau, Taman Negara Maludam, perusahaan madu kelulut di Kampung Beladin dan tempat-tempat lain. Bagi memberi pengalaman sebenar cara hidup di rumah panjang, para peserta turut bermalam di Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi.
Bersama Maskulin kami berikan lima bukti kepimpinan seorang wanita dalam mengubah kondisi kawasan di bawah naungannya sehingga menjadi satu tarikan yang tidak mungkin mampu dilupakan.
KERANCAKAN INFRASTRUKTUR MEMACU EKONOMI SETEMPAT
Pembangunan ekonomi menjadi tunjang utama mengapa kami ke sini, melihat penduduk di sini rata-rata menjadikan sumber alam sebagai punca pencarian utama mereka. Jadi tidak hairan betapa tingginya nilai cinta mereka pada anugerah tuhan ini.
Melihat sendiri bagaimana mereka mencari udang di selut sungai tanpa menghiraukan kehadiran pemangsa ganas buaya sangat membuatkan penulis kagum. Berani dan inilah cara mereka meneruskan hidup di sini.
Walaupun begitu, pembangunan turut direncana rapi agar seimbang dengan kemajuan dunia. Ikoniknya di sini, laluan air telah menjadi laluan utama masyarakat setempat sejak sekian lama, ia dilihat sedikit merencatkan perkembangan pembangunan.
Atas inisiatif ahli Parlimennya, kerancakan ekonomi akan diteruskan dengan adanya Projek Jambatan Batang Lupar dijangka akan mula dibina pada 2018. Jambatan ini akan menjadi jambatan terpanjang di Sarawak iaitu antara 4.5 kilometer hingga 5 kilometer.
Mengikut perancangan jambatan baharu ini akan dibina pada 2018 dan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Kami cukup bertuah kerana laluan air yang kami lalui akan berubah wajah suatu hari nanti, pengangkutan feri yang disediakan akan ini menjadi nostalgia dan daya tarikan tersendiri akan datang.
Jambatan merentasi Batang Lupar ini akan menghubungkan Sebuyau ke Meludam dilihat sebagai rantaian terbaik dalam ekosistem pembangunan ekonomi penduduk setempat.
LESTARI PEMBANGUNAN SAHSIAH MASYARAKAT
Walaupun lesu dengan pengisian aktiviti yang diberikan, kami masih sempat meluangkan masa dan tersenyum melihat aktiviti juga agenda pembangunan sahsiah masyarakat di sini. Dari golongan anak kecil, ibu tunggal hinggalah orang tua, semuanya mendapat bantuan dan perhatian istimewa daripada ahli Parlimen Datuk Seri RohaniAbdul Karim.
Ketibaan kami di setiap Pusat Khidmat Masyarakat disambut meriah. Salah satunya adalah di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.
Menyediakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu juga ia dilihat sebagai menjadi sebuah program sokongan sosial dan pengintegrasian warga emas bersama keluarga ia juga menjadi pusat pertemuan golongan berumur 60 tahun ke atas bagi menjalani aktiviti serta mengelak rasa sunyi.
Setakat ini terdapat 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara dan 14 di negeri Sarawak. Akan datang Datuk Seri Rohani turut ingin mewujudkan lebih banyak lagi PAWE atas kesedaran kepentingan warga emas dalam pembangunan negara.
Selain memartabatkan warga emas, ibu tunggal juga dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat yang tidak wajar dipinggirkan. Disebabkan itu, kehadiran Teratak Anugerah yang dibangunkan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak di Beladin, ini diwujudkan demi membela nasib golongan berkenaan di kawasan itu.
Teratak tersebut dibangunkan sejak 2007 dan menjadi pusat membangunkan dan mengembangkan pendapatan golongan ibu tunggal di sini. Bukan itu sahaja bagi ibu tunggal dan mereka yang kurang pendapatan juga boleh mempelajari seni jahitan di Baladin Fashion Centre (BFC) .
Di sini penuntut akan diajar teknik asas melukis sehingga menjahit pakaian. Kelas jahitan ini adalah satuinisiatif positif yang wajar diberikan pujian!
BANTUAN BUAT PENGUSAHA KECIL
Memegang dan merasai sendiri menu yang dihasilkan daripada hidupan laut seperti ubor-ubor adalah suatu yang baru buat penulis. Ada tikanya terasa geli untuk mencuba, tetapi selepas merasainya, hmm tidaklah seteruk yang disangka.
Kami singgah seketika di Kampung Sampat, Sebuyau untuk melihat bagaimana ubor-ubor diproses dan menjadi sumber ekonomi terpenting di kawasan tersebut dan hebatnya ia mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Pemiliknya Lee Na Moh, 34, merupakan generasi keempat dari keluarganya yang melakukan perniagaan ini mengakui persaingan terhadap produk ini kurang persaingannya dan ia membuka jalan rezeki buatnya di situ. Di kilangnya terdapat 12 ibu tunggal bekerja dan melakukan aktiviti memerap dan membersihkan ubor-ubor.
Sementara itu, di Kampong Tambak yang terletak di daerah Pusa, kami bertemu dengan Abang Manaf Mahmud yang mengendalikan perusahaan memproses gula nipah secara kecil-kecilan. Air nira nipah dimasak lebih enam jam sebelum menjadi likat untuk menjadikannya gula nipah atau juga dikenali sebagai gula apong dalamkalangan penduduk setempat.
Lihatlah bagaimana mereka menghargai sumber alam dan menggunakan ia dengan sebaiknya. Bantuan turut disalurkan daripada ahli Parlimen kepada pengusaha-pengusaha kecil ini untuk memasarkan produk mereka.
PEMULIHARAAN EKSOTIKA ALAM
Pengamal media turut dibawa menyusuri tarikan paling menggerunkan di Kampung Maludam iaitu Taman Negara Maludam yang berkeluasan 43,147 hektar yang terletak dari kawasan Maludam sehingga ke Triso. Airnya yang deras dan berwarna gelap cukup membuatkan kami gusar dengan keselamatan juga haiwan ganas yang sudah lama bertapa di situ.
Keluasan Taman Negara Maludam merangkumi kawasan Batang Saribas ke Batang Layar dan terus ke Batang Lupar. Di taman negara ini terdapat kawasan Hutan Simpan Maludam yang berkeluasan 16, 592 hektar.
Mengikut Kajian, Maludam mempunyai muka bumi berpaya yang terbesar di Utara Borneo. Justeru itu, ia kaya dengan pelbagai jenis habitat yang terlindung dan hampir pupus di Asia.
Antaranya ialah kera merah, kera belanda, burung raya dan sekurang-kurangnya empat spesies burung enggang. Selain itu juga terdapat lebih empat jenis spesies burung Kenyalang, bangau dan kera Proboscis.
Flora dan faunanya masih terpelihara biarpun kawasan ini pernah diancam oleh kegiatan pembalakan haram.
HARGAI PESONA BUDAYA
Tidak sah rasanya apabila panorama kami terhenti sekadar itu, kami turut disajikan dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang sangat menyanjung tinggi ketibaan tetamu. Kunjungan ke rumah panjang kaum Iban di Kampung Belimbing Besi yang didiami 10 keluarga ini memberikan ceritera tersendiri.
Menyaksikan persembahan tarian Ngajat yang begitu sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak dan silat Kuntau sangat mengujakan. Mempunyai latar agama berbeza, penduduk di rumah panjang ini dilihat lebih moden dan menerima infrastruktur yang sangat baik dari pihak kerajaan.
Jika selama ini kami fikir kehidupan mereka daif di sana, ia meleset kerana kehidupan mereka lebih baik malah dilihat selesa. Kalau mahu merungut pun, mungkin hanya kerana talian telefon untuk berkomunikasi sedikit sukardi sini, namun itu ada baiknya untuk kami semua menghargai kemesraan juga kebaikan orang di rumah panjang itu yang hidup saling menghormati dan bermasyarakat.
Adunan pembangunan, kemajuan dan pemuliharaan alam sekitar serta budaya dilihat menjadi tunggak utama. Sangat lestari dan mempunyai matlamat tersendiri bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.Bahkan semua ini bukan mudah untuk membangunkan dan diterima baik semua, bagi kami, apa yang dilakukan kini biarlah berterusan agar segenap masyarakat mampu merasai manisnya.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Logo Finalis ‘Visit Malaysia Year 2020’ Didedahkan Kepada Warganet. Ramai Yang Suka Logo Terakhir

Pelancaran logo kempen Melawat Malaysia 2020 telah pun dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bulan lalu. Logo itu merupakan usaha pemasaran dan promosi kempen dengan menampilkan ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia.Secara keseluruhannya, logo berkenaan menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.
Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu telah berjaya mengenetepikan beratus-ratus logo yang diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini.
Walaupun pemenang telah pun dipilih dan promosi menggunakan logo baru giat dijalankan, sehingga hari ini cakap-cakap mengenai logo baru itu masih diperkatakan.
Minggu lalu tular dibeberapa akaun media sosial popular, foto-foto logo finalis yang turut sama dalam pemilihan terakhir. Masing-masing memberikan maklum balas yang pelbagai.
(1)
(4)
(6)
(9)
Dalam beberapa keping foto finalis yang didedahkan termasuk pemenang yang sudah dipilih bulan lalu, logo finalis Visit Malaysia 2020 yang terakhir ini menjadi pilihan ramai warganet. Rata-rata memberi komen yang positif dan ada yang ‘jatuh cinta’ dengan logo ini.
Walau bagaimanapun diharap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta mencapai RM100 bilion perbelajaan pelancong. Jom melancong dalam Malaysia.
Sumber: FB Rizal Hakimm
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak ‘Jahanam’ Dah Permainan Di Taman Tasik Titiwangsa. Come On La Rakyat Malaysia Nak Masuk 2020 Dah!

Taman Tasik Titiwangsa yang kembali dibuka sejak 15 Disember lalu bagi membolehkan orang ramai beriadah telah disalahguna oleh sesetengah individu. Namun, baru beberapa hari dibuka ada beberapa gambar tidak enak telah tular. Taman itu kini menjadi sasaran vandalisme individu yang tidak bertanggungjawab.
Melalui status bertarikh 19 Disember lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memuatnaik status di laman rasmi facebooknya menasihatkan orang awam supaya tidak mengabaikan anak-anak ketika menggunakan kemudahan di Taman Tasik Titiwangsa.
Ia merujuk kepada gambar tular permainan buaian 'pendulum' yang digunakan secara salah dan membahayakan penggunanya. Unit Media DBKL turut berkongsi terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu notis tatacara penggunaan yang ditampal pada buaian tersebut.
- Buaian direka untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun sahaja, hanya dua kanak-kanak sahaja boleh duduk di buaian pada satu masa dan risiko penggunaan adalah di bawah tanggungjawab sendiri.
- Jangan bermain kasar, gunakan dengan berhemah, pakai kasut yang sesuai dan perlu pengawasan ibu-bapa atau penjaga pada setiap masa.
- Ibu bapa atau penjaga turut digesa agar lebih memantau aktiviti yang dilakukan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Hai rakyat Malaysia sekalian, dan mungkin rakyat asing gunakanlah kemudahan yang telah disediakan dengan baik. Hampir masuk ke tahun 2020, cuba ubah diri ke arah lebih positif dan bertangunggjawab.
Ini antara komen yang ditinggalkan orang ramai di facebook rasmi DBKL
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI