14 Hari Rentas 6 Negara Di Benua Eropah

Share

TEKS & FOTO: AZWA RAHMAN 

Rancangan ke Eropah bermula sejak awal tahun 2017 lagi. Sering mengembara ke negara di benua Asia membuatkan kami terfikir, apa kata kita pergi nikmati musim sejuk di Eropah?

Tidak sangka rakan kembara saya ketika itu bersetuju dengan cadangan ini. Sering mengikuti laman backpackers di Facebook, membuatkan kami kaji sedalamnya apakah negara yang akan dikunjungi serta laluannya.

Akhirnya kami memilih laluan UK-Perancis-Belgium-Belanda-Jerman-Switzerland. Tiket penerbangan kami beli beberapa bulan awal daripada tarikh yang dirancang.

Setelah meneliti beberapa penerbangan, akhirnya kami memilih Oman Air untuk ke London dan pulang ke Kuala Lumpur dari Zurich, Switzerland. Pertama kali ke Eropah membuatkan kami cukup teruja untuk menikmati musim sejuk di negara orang serta keindahan alam ciptaan Tuhan.

Kata teman-teman, mengembara pada musim sejuk ini mahal. Benar, kami perlu membeli segala kelengkapan barangan musim sejuk bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Maklumlah, pertama kali ke negara musim sejuk. Sebulan sebelum tarikh penerbangan iaitu pada 7 Disember 2017, persiapan selesai hampir 80 peratus termasuk menukar wang.

Seminggu sebelum berlepas, kami mencari beberapa keperluan makanan seperti sambal ikan bilis segera, mi segera, ubat-ubatan dan sebagainya.

LONDON

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Oman mengambil masa selama 6 jam 30 minit. Tiba di Oman pada jam 2 pagi, kami berlari untuk mencari penerbangan ke London memandangkan masa transit hanya 1 jam setengah sahaja.

Kami meneruskan perjalanan ke London untuk 7 jam lagi. Tiba di lapangan terbang Heathrow seawal jam 6 pagi, suhu menunjukkan -1 darjah Celsius.

Kami memulakan hari pertama di London dengan pergi ke Universiti Oxford. Cuaca di London cukup sejuk dengan hujan salji.

Melihat tempat-tempat penggambaran filem Harry Potter di Universiti Oxford begitu mempesonakan. Kemudian kami ke Bicester Village, ia umpana JPO jika di Malaysia.

Jualan murah Krismas sedang berlangsung dan ramai orang ke sana untuk membeli barangan berjenama mewah pada harga berpatutan. Kemudian kami terus ke Hotel Mercure, London.

Malamnya kami menikmati makan malam di restoran Nando’s yang menyediakan sajian halal buat Muslim. Keesokan paginya, kami bergerak ke Buckingham Palace, London City Hall, Tower Brigde, Westminster Abbey, Trafalgar Square dan Big Ben.

Hampir setengah hari, kami ke London Central Mosque untuk menikmati makanan halal yang disediakan di restoran dalam masjid. Petang kami terus ke Oxford Street untuk membeli-belah.

Tujuan utama, Primark! Dua jam kami habiskan masa membeli-belah. Malam pula kami ke restoran Mr. Fish untuk menikmati fish & chip.

PARIS

Jam 5 pagi kami bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Paris. Dari London, kami menaiki bas ke pelabuhan Dover menyeberangi selat Inggeris ke Paris dengan kapal persiaran.

Untuk tiba di pelabuhan Calais di Paris, perjalanan mengambil masa 2 jam 30 minit. Perasaan teruja bertambah apabila melihat papan tanda jalan semuanya dalam Bahasa Perancis.

Dari Calais ke Paris, ia mengambil masa selama 4 jam. Kami hanya tidur di dalam bas sehingga tiba di Paris.

Destinasi pertama apabila tiba di Paris ialah Galaries Lafayette. Cuaca di Paris mendung dengan suhu lebih sejuk berbanding London.

Berkesempatan masuk ke dalam gedung barangan mewah, Sephora, Zara dan sebagainya. Kami sempat membeli-belah barangan Zara kerana harganya jauh lebih murah.

 

Petang baru kami bergerak ke hotel di Campanile de Porte. Keesokannya kami meneruskan perjalanan ke mercu utama Paris seperti Notre-Dame Cathedral, Muzium Lourve, Les Invalides, Palais Garnier, Arc de Triomphe, Grand Mosque, Place De La Concorde, Avenue des Champs-Elysees dan semestinya Eiffel Tower.

Memandangkan angin kencang dan cuaca mendung, kami tidak dibenarkan ketingkat atas Eiffel Tower. Hanya ke tingkat dua sahaja.

Namun pemandangan seluruh Paris dari tingkat dua itu sahaja sudah membuatkan kami ternganga seketika. Cantiknya!

BRUSSEL

Dari Paris ke Brussels, kami bergerak menaiki bas dan mengambil masa selama 4 jam. Kami disambut dengan salji memutih setibanya di Brussels, ibu negeri Belgium.

Bandar kecil Brussels cukup cantik dengan struktur bangunan dan seni bina. Kami singgah ke Atonium, sebuah mercu tanda Brussels.

Seterusnya bergerak ke bandar Brussels. Di sana, kami sempat menikmati wafel Belgium dan coklat halus buatan Belgium yang cukup terkenal.

Kami menghabiskan masa di Grand Palace, Mannekan Pis serta Hard Rock Brussels. Kami tidak menginap di Belgium dan meneruskan perjalanan ke Amsterdam.

AMSTERDAM

Perjalanan ke Amsterdam dari Brussels mengambil masa selama 3 jam menaiki bas. Kami menginap di Rotterdam.

Esoknya, kami menjelajah ke Zaanse Schans, sebuah kawasan kampung yang mengetengahkan barangan pelancongan Belanda seperti kasut clog dan keju.

Pemandangan indah kincir angin dan kawasan kampung ini memberikan pengalaman baru buat kami. Perjalanan diteruskan ke bandar Amsterdam untuk aktiviti canal cruise.

Kapal ini membawa kami menelusuri bandar Amsterdam menerusi sungai di sekitarnya. Ternyata Amsterdam sangat cantik dan romantis.

Malamnya kami meneruskan aktiviti membeli-belah dan makan malam di Kalverstraat.

JERMAN

Esoknya kami memulakan perjalanan ke Colonge yang mengambil masa selama 3 jam. Tiba di Colonge, kami melawat Colonge Cathderal yang tersergam indah serta bersiar-siar di bandar Colonge.

Seterusnya kami ke bandar Frankfurt, 2 jam dari Colonge. Malamnya kami menginap di Holiday Villa Frankfurt dan berjalan di kawasan sekitar.

Esoknya sebelum memulakan perjalanan ke Switzerland, kami singgah di Romerberg, sebuah pekan kecil di Frankfurt yang cukup unik dan ke Tasik Titisee.

Tasik Titisee merupakan tasik semulajadi yang sangat cantik, terletak di atas pergunungan. Dari Titisee, kami bergerak memasuki Switzerland yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

SWITZERLAND

Dari sempadan Jerman-Switzerland, kami perlu berhenti di pejabat imigresen untuk pengesahan pasport dan barangan yang dibeli bagi tujuan VAT.

Kami bergegas meneruskan perjalanan ke Rhinefalls, air terjun terbesar di Eropah memandangkan pukul 4 petang cuaca sudah mulai malam.

Berpeluang melihat air terjun tersebut dari jarak beberapa kaki sangat menarik dan dapat melihat perkampungan kecil ditepi air terjun tersebut begitu menenangkan. Hampir malam, kami menikmati makan malam di sebuah restoran India halal dan terus checkin di Ibis Adliswil, Zurich.

Pagi esoknya kami ke bandar Luzern, 1 jam dari Zurich. Kebetulan ada pasar pagi di bandar tersebut dan kami turut berjalan-jalan melihat barangan yang dijual.

Kami menelusuri Chapel Brigde, jambatan yang menghubungi dua kawasan di Luzern, Lion Monument dan membeli-belah coklat Swiss di Bucherer dan Casa Grande.

Kemudian kami bergerak ke Mount Titlis untuk aktiviti kereta kabel dan bermain salji. Sejam mendaki gunung dengan bas, kiri dan kanan hampir semuanya dilitupi salji tebal dan sampai sahaja di atas pemandangannya sangat indah dan mempesonakan.

Kami menaiki kereta kabel merentasi pergunungan Titlis dan di sini ramai orang bermain ski tidak kira peringkat amatur ataupun profesional. Tiba di atas puncak bukit, suhu -14 darjah Celsius dan salji tebal sedikit menghalang pergerakan kami untuk bermain salji namun tetap puas.

3 jam kami habiskan masa di atas dan menikmati kopi panas, kami mula turun ke Engelberg dan makan malam di sebuah restoran Pakistan di situ. Keesokannya merupakan hari kami ke Kuala Lumpur.

Selesai check-out jam 11 pagi dari Zurich, kami bersiar-siar di bandar moden Zurich. Kami sempat melawat Zurich Opera House, The Stadthaus, Quai Bridge dan berakhir di pasar Krismas di Bahnhofstrasse.

Petang kami segera bergerak ke Lapangan Terbang Zurich untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 9 malam. Biarpun meninggalkan negara sejuk ini, kami berazam untuk mengumpul duit dan kembali lagi ke sini untuk menikmati musim panas.

Selamat tinggal Switzerland, terima kasih untuk semua memori indah ini dan kami pasti akan kembali.

Oleh
Epul