14 Destinasi Percutian Yang Awesome Di Wilayah Persekutuan Labuan!

Share

Hanya ada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kedua-dua wilayah seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya sering dikunjungi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi bagaimana pula dengan Labuan?

Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Labuan sebelum ini? Atau tahukah anda apa tempat-tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di sana?

Sekiranya kita bertanyakan kepada orang ramai lebih-lebih lagi yang berasal dari semenanjung, Labuan sinonim sebagai lokasi tempat carigali minyak dan pengkalan tentera.

Pemandangan Labuan Marina yang dipenuhi dengan kapal-kapal.

Tidak dinafikan fakta itu ada benarnya kerana sekiranya anda berkunjung ke Labuan, memang banyak kapal-kapal minyak yang berlabuh di persisir laut dan kadang-kala kelihatan beberapa pesawat tentera berlegar di ruang udara Labuan.

Namun, di sebalik itu semua, Labuan juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang cukup menarik untuk anda lawati. Jadi di sini, kami senaraikan destinasi-destinasi percutian yang menarik untuk anda cuba di Wilayah Persekutuan Labuan!

Kampung Air Patau-Patau II

Bot adalah pengangkutan utama di Kampung Air Patau-Patau II.

Perkampungan atas air ini adalah perkampungan nelayan yang didirikan sekitar tahun 1930-an dan majoriti penduduk yang tinggal di perkampungan atas air ini adalah daripada suku Kadayan-Brunei.

Tidak hairanlah konsep seni bina perkampungan atas air dan juga amalan budaya kehidupan seharian masyarakat serta makanan di sini seakan-akan orang di Brunei kerana susur galur jatidiri mereka berkait rapat dengan nenek moyang Kadayan yang berasal dari Brunei.

Kampung Air Patau-Patau II yang menempatkan lebih kurang 60 rumah air dan kira-kira 700 orang penduduk ini pernah musnah satu masa dahulu semasa Perang Dunia Ke-2 akibat dibom oleh tentera Jepun dan telah didirikan kembali selepas perang tamat. Sejak daripada tragedi perang tersebut, perkampungan ini terus kekal di atas permukaan air sehingga ke hari ini.

Pemandangan sekitar Kampung Air Patau-Patau II.

Bagaimana perkampungan ini boleh berdiri kukuh sehingga puluhan tahun? Jawapannya adalah kerana rahsia penggunaan kayu belian dalam pembinaan rumah di perkampungan tersebut. Kayu belian yang menjadi asas tiang rumah mempunyai struktur yang kuat dan kukuh bagi menampung perkampungan ini dalam jangkamasa yang lama.

Sekalipun perkampunan ini terletak di atas air, Kampung Air Patau-Patau II ini dilengkapi dengan saluran air bersih dan elektrik, talian telefon, lampu jalan, jeti teksi air, kedai runcit, kedai kraftangan, klinik, sekolah, surau dan rumah inap untuk anda meluangkan masa bercuti di sini.

Ada 13 rumah inap di perkampungan atas air ini dengan harga daripada RM70 ke RM80 semalam. Anda risau dengan keadaan cuaca panas di pulau? Jangan khuatir, kerana perkhidmatan rumah inap di sini turut menyediakan kemudahan bilik berpenghawa dingin untuk keselesaan pengunjung yang datang.

Laluan utama dalam kawasan Kampung Air Patau-Patau II.

Apa yang lebih menarik adalah penginapan anda di perkampungan ini juga boleh ditambah dengan perkhidmatan makanan dengan harga lebih kurang RM10 seorang untuk juadah makan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam – disediakan sendiri oleh tuan empunya rumah inap.

Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti di perkampungan air ini juga boleh direncanakan bersama pengusaha rumah inap bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian anda.

Kampung Bebuloh Laut

Dayang Manah Binti Gadun telah berkerja mengasingkan ikan bilis sejak empat tahun yang lalu.

Kampung Bebuloh Laut ini juga adalah kampung atas air, sama seperti Kampung Air Patau-Patau II tetapi Kampung Bebuloh Laut ini lebih dikenali sebagai lokasi untuk membeli produk IKS berasaskan ikan bilis yang berkualiti pada harga yang murah.

Tidak lengkap kunjungan anda ke sini sekiranya tidak membawa pulang barang satu atau dua produk ikan bilis yang dijual di sini. Untuk pengetahuan anda, nelayan di sini menangkap ikan terutamanya ikan bilis menggunakan teknik bagang. Bagang ini kelihatan seakan-akan kelong yang digunakan nelayan di tengah laut.

Ikan bilis akan diasingkan mengikut gred yang telah ditetapkan secara manual.
Antara hasil ikan bilis yang telah diasingkan dan akan dibungkus.
Pemandangan sekitar Kampung Bebuloh Laut.
Nelayan di Kampung Bebuloh Laut baru sahaja pulang dari laut membawa hasil tangkapan ke darat.
Bagang yang digunakan untuk menangkap ikan – kelihatan sama seperti kelong.

Setiap hari, pengusaha ikan bilis yang ada di Kampung Bebuloh Laut ini mampu menghasilkan 10 hingga 20 bakul besar ikan bilis. Anggaran lebih kurang 50kg ke 100kg ikan bilis setiap hari. Antara ikan bilis yang sering mendapat permintaan adalah Ikan Bilis Putih dengan harga lebih kurang RM40 ke RM60 sekilogram.

Monumen COBSEA

Tugu yang berada di Pantai Pagar.

Tahukah anda bahawa pantai ini adalah pantai yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pantai paling bersih dan menjadi contoh pengurusan pantai yang terbaik pada 20 September 2008?

Pantai ini dikenali sebagai Labuan United Nation 2008 Beach yang merangkumi 6 pantai yang berada di persisir Pulau Labuan iaitu Pantai Batu Manikar, Pantai Pancur Hitam, Pantai Layang-Layangan, Pantai Sungai Labu, Pantai Sungai Pagar dan Pantai Sungai Miri.

Pemandangan petang sekitar Pantai Pagar.

Kawasan pantai ini berada berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan juga Kelab Golf Antarabangsa Labuan, menjadikan kawasan persisir pantai ini antara kawasan yang kerap dikunjungi oleh orang ramai dan juga mahasiswa yang berada di sana.

Peace Park and Surrender Point

Dikenali sebagai Taman Damai Labuan, destinasi ini menyimpan 1001 sejarah yang amat berharga tentang apa yang berlaku di tanah air kita satu masa dahulu. Nama Taman Damai itu sendiri diinspirasikan oleh kejadian perang yang pernah berlaku pada masa dahulu sewaktu Perang Dunia Ke-2 diantara tentera Jepun dan tentera Bersekutu di Labuan.

Di Taman Damai ini, ada satu memorial peringatan yang didirikan oleh kerajaan Jepun sebagai memperingati korban Perang Dunia Ke-2 dan juga sebagai simbolik persahabatan yang terjalin selepas perang antara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Jepun.

Tugu peringatan yang didirikan oleh Jepun di Labuan.
Tugu peringatan ini adalah untuk memperingati mangsa perang yang terkorban semasa Perang Dunia Ke-2.

Selain daripada itu, di Taman Damai ini juga boleh didapati beberapa tanda peringatan yang diletakkan sempena beberapa kejadian yang berlaku seperti penyerahan kalah tanpa syarat tentera Jepun selepas perang kepada tentera Bersekutu diketuai Australia.

Sekitar kawasan Taman Damai ini mempunyai lanskap air yang tenang di bawah jambatan melengkung dan di sekitarnya mempunyai gazebo untuk berteduh teduh, menjadikan kawasan ini antara tarikan penduduk Labuan untuk beriadah pada waktu petang di tepi pantai.

Labuan Marina

Pemandangan sekitar Labuan Marina.
Labuan Marina sentiasa dipenuhi kapal-kapal dan bot-bot yang berlabuh.

Lokasi ini adalah tempat kapal-kapal dan bot-bot penumpang berlabuh untuk menaikkan atau menurunkan penumpang dan juga barangan. Di marina ini juga adalah tempat yang perlu anda datang sekiranya ingin merasai dan mengalami sendiri keseronokkan aktiviti air yang terdapat di Labuan di Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.

Di sekitar marina ini anda akan kelihatan banyak kapal-kapal besar yang ada di sekitar kawasan tersebut. Untuk pengetahuan anda, kapal-kapal besar itu adalah kapal-kapal yang digunakan dalam aktiviti mencari dan menggali minyak di pelantar minyak di tengah laut. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Labuan sememangnya sinonim sebagai kawasan mencari dan menggali minyak.

Taman Laut Labuan, Pulau Rusukan Besar

Di jeti Pulau Rusukan Besar, Taman Laut Labuan.

Taman Laut Labuan ini adalah destinasi wajib yang perlu anda kunjungi sekiranya berada di Labuan kerana di sini terletaknya ‘mutiara Labuan’. Hidupan airnya seperti terumbu karang dan ikan begitu mengasyikkan sesiapa yang berenang dan menyelam di perairan sekitarnya.

Sepanjang persisir pantai Pulau Rusukan Besar ini mempunyai terumbu karang yang sangat cantik dan besar, langsung menjadi ‘rumah’ kepada banyak habitat air seperti ikan nemo untuk menghuni di sini.

Papan tanda selamat datang ke Pulau Rusukan Besar.

Ini kerana sekitar kawasan Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman telah digazetkan sebagai Taman Marin dan segala aktiviti menangkap ikan dan sebagainya adalah tidak dibenarkan – menjadikan kawasan ini terpelihara dari sebarang kegiatan aktiviti manusia.

Keunikkan lain yang terdapat di sini adalah beting pasir sejauh 500 meter di Pulau Rusukan Kecil yang tidak akan tenggelam dek air laut biarpun arus pasang ataupun surut.

Pemandangan dari jauh beting pasir di Pulau Rusukan Kecil.

Ship Wreck Skuba Terbaik Asia

Salah satu tukun kapal yang berada di Taman Laut Labuan.

Tarikan utama di Taman Marin Labuan ini adalah tukun kapal yang tenggelam dan menjadi destinasi skuba yang popular di kalangan penyelam-penyelam skuba. Ada empat buah kapal yang menjadi tukun kepada hidupan laut di sini terdiri daripada 3 kapal kargo dan 1 kapal perang iaitu Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck.

Untuk ke Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil ini, anda boleh menaiki bot di Labuan Marina dengan masa perjalanan selama 30 minit sahaja dan di kawasan pulau ini terutamanya di Pulau Rusukan Besar, terdapat pengusaha chelet yang mengusahakan perkhidmatan rumah inap kepada setiap pengunjung yang datang.

Tukun kapal ini menjadi ‘rumah’ kepada habitat air yang berada di Taman Laut Labuan.

Kawasan chelet ini juga berdekatan dengan pejabat Jabatan Taman Laut Labuan yang terletak di Pulau Rusukan Besar, jadi mudah untuk anda mendapatkan informasi mengenaik tarikan air yang terdapat di sekitar kawasan ini.

Chelet yang disediakan di Pulau Rusukan Besar.
Pemandangan jeti di Pulau Rusukan Besar.
Keindahan yang terdapat di Pulau Rusukan Besar ini mendapat jolokan ‘The Wonderland of Malaysia’.
Segala Fasiliti yang terdapat di sini pasti memudahkan setiap pengunjung yang datang ke Pulau Rusukan Besar.
Suasana dalaman ruang chalet yang disediakan kepada pengunjung. Setiap bilik berhawa dingin.
Pemandangan hadapan chelat di Pulau Rusukan Besar, bersebelahan dengan pejabat Taman Laut Labuan.

Muzium Labuan

Pintu masuk Muzium Labuan. Masuk adalah percuma dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.

Muzium Labuan ini terletak berhadapan dengan Dataran Labuan dan di sini adalah tempat yang paling strategik sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut fakta dan sejarah mengenai Labuan sejak daripada zaman Kesultanan Brunei, zaman penjajahan dan sehinggalah Labuan kini terdiri sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Di sini juga tersimpannya satu bahan pameran sejarah berupa kerusi serta meja yang mana ia pernah digunakan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (masa itu Datuk Seri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Mohd. Salleh menandatangani dokumen “Perjanjian Labuan” yang menukarkan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Antara bahan pameran sejarah yang dipamerkan seperti bahan letupan anti kapal selam yang digunakan semasa Perang Dunia Ke-2 di Labuan.
Pokok di hadapan Muzium Labuan yang menjadi simbolik kepada perpaduan kaum di sana.
Terdapat empat pokok keseluruhannya dan menjangkaui usia merdeka negara kita.
Penolong Kurator Muzium Labuan menunjuk lokasi sebenar pelancong di atas glob yang dilukiskan di lantai muzium.

Berhadapan dengan muzium ini diantara muzium dan Dataran Labuan, terdapat empat pokok yang besar telah di tanam dan dijaga dalam keadaan baik. Mengikut sejarah, pokok-pokok tersebut telah ditanam sebelum zaman merdeka 1957 dan menjadi simbolik kepada perpaduan antara kaum-kaum utama yang terdapat di Labuan.

Sehingga kini, pokok tersebut masih lagi hidup dan boleh dilawati oleh setiap pengunjung yang datang ke Labuan.

Dataran Labuan

Pemandangan Dataran Labuan yang sering menjadi lokasi utama acara besar di Labuan.

Sebelum mendapat nama sebagai Labuan, tempat ini terkenal dengan nama jolokan Bandar Victoria. Namun, selepas diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, namanya telah ditukarkan kepada Labuan dan dataran ini adalah pusat kepada segala aktiviti yang terdapat di sana.

Segala acara gadang kebiasaannya akan diadakan di sini. Di sekeliling dataran ini terdapat Panji-panji Pulau Labuan dan negeri-negeri Malaysia berkibar dalam satu barisan dan di penghujung dataran ini terdapat sebuah replika Chimney – mercu tanda yang paling terkenal Labuan.

Ujana Kewangan Labuan (Financial Park Labuan)

Pusat membeli-belah di Labuan.

Ujana Kewangan atau turut dikenali sebagai Financial Park ini adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Pulau Labuan. Di bangunan inilah segala jenis kemudahan akan anda dapati dengan mudah seperti mesin ATM, kedai makanan segera, kedai membeli-belah dan kedai barangan bebas cukai.

Labuan tidaklah sebesar kawasan-kawasan tumpuan yang lain di mana pusat pengumpulan aktiviti penduduk setempat akan berpecah-pecah kepada banyak tempat. Di Ujana Kewangan ini, anda akan dapati suasananya begitu meriah dengan aktiviti masyarakat kerana di sinilah tempat utama untuk penduduk Labuan membeli barangan keperluan.

Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan

Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Kompleks ini terletak di kawasan pantai Jalan Tanjung Purun dan berada berhampiran dengan pusat bandar Labuan. Objektif pembinaan kompleks sukan air antarabangsa ini adalah untuk menjadi sebuah pusat sukan air bertaraf dunia dan membangunkan lagi tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Labuan.

Aktiviti menarik yang boleh dicadangakan kepada anda selain daripada bersiar-siar menikmati pemandangan matahari terbenam disebalik kapal-kapal besar yang berlabuh di kawasan perairan pantai adalah menaiki perahu larai atau perahu layar.

Muzium Marin Labuan, Jabatan Muzium Malaysia.
Perahu larai ini antara tarikan yang istimewa kepada pelancong yang datang ke sini.

Mengikut daripada istilah bahasa, perahu adalah pengankutan yang kita gunakan untuk bergerak di atas air manakala larai adalah perkataan daripada Brunei yang bermaksud layar.

Pada zaman dahulu, nelayan menggunakan perahu larai atau perahu layar ini untuk ke laut dan dipanggil sebagai berlarai atau berlayar. Dek kerana sejarah masyarakat di Labuan ini dekat dengan masyarakat di Brunei, maka perahu ini tetap dipanggil sebagai perahu larai oleh masyarakat di sana.

Muzium Chimney

Muzium Chimney ini adalah lokasi wajib untuk pelancong di Labuan.

Muzium ini adalah destinasi wajib untuk anda yang datang ke Labuan satu masa nanti. Di muzium ini terletaknya satu binaan tinggi yang berusia lebih 100 tahun namun sehingga kini, para pengkaji sejarah masih lagi mencari jawapan sama ada binaan ini dibina sebagai serombong asap ataupun sebagai rumah api untuk isyarat kapal.

Binaan Chimney ini adalah mercu tanda bersejarah terkenal di Labuan setinggi 106 kaki dan di jangka dibina sekitar tahun 1847 menggunakan lebih kurang 23 ribu batu bata merah yang diimport daripada England.

Gambar kenang-kenangan rakan-rakan media bersama Tourism Malaysia di Labuan baru-baru ini.
Pelancong bergambar berlatarbelakangkan menara Chimney yang terkenal di Labuan.

Chimney merupakan monumen penting di Labuan sebagai bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah berusia lebih seabad dan dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Punil’.

Gedung Ubat & Chimney Trail

Gedung Ubat ini terletak berhampiran dengan Muzium Chimney. Untuk ke Gedung Ubat ini, anda perlu berjalan di laluan sepanjang lebih kurang 800 meter dari muzium dan dinasihatkan supaya anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki bukit-bukit manja yang terdapat disepanjang laluan ini.

Ada dua pilihan yang boleh anda pilih untuk meneroka laluan ke Gedung Ubat ini sama ada menggunakan laluan yang pendek dengan jarak 800 meter atau menggunakan laluan yang lebih panjang dan mencabar sekitar 1.8 kilometer.

Pemandangan di sini seakan Bukit Broga kerana dipenuhi dengan tumbuhan merumput di sepanjang perjalanan Chimney Trail.

Tapi jangan salah sangka dengan jaraknya yang jauh. Anda pasti akan terpersona dengan keindahan yang disajikan saat tiba sahaja di Gedung Ubat ini. Pemandangan dari tebing bukit terus ke lautan luas yang terbentang di hadapan mata pasti akan membuatkan segala penat lelah anda berjalan dan mendaki ke sini hilang tiba-tiba.

Di Gedung Ubat ini mempunyai satu tinggalan bangunan lama yang dahulunya digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan letupan dan peluru oleh tentera Jepun semasa menakluk Pulau Labuan.

Kenapa pemilihan tempatnya jauh dan terselindung? Ini adalah kerana faktor strategik tempat ini yang sukar untuk dimasuki oleh manusia tanpa disedari oleh pengawal yang menjaga tempat simpanan peluru ini satu masa dahulu.

Gedung Ubat.

Taman Burung Labuan

Antara spesis burung yang terdapat di Taman Burung Labuan.

Taman Burung Labuan ini lokasi yang sangat bersesuaian sekiranya anda berkunjung ke Labuan bersama keluarga dan anak-anak. Selain daripada bersama keluarga, buat penggemar burung dan suka untuk mengambil gambar-gambar burung juga boleh datang ke Taman Burung Labuan ini untuk mendapatkan hasil tangkapan gambar spesis-spesis burung yang mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Tempat ini menarik untuk aktiviti yang disebut di atas adalah kerana taman burung ini berkeluasan 6.9 hektar dan menjadi rumah kepada lebih kurang 600 spesis burung. Jadi dengan keluasan yang sebegitu, pasti memberikan kepuasan kepada ‘memburu’ gambar haiwan kegilaan anda itu.

Terdapat 600 spesis burung yang tinggal di sini.

Selain daripada itu, spesis burung yang ditempatkan di dalam sangkar taman ini juga terdiri daripada spesis-spesis terancam dan spesis yang menjadi jolokan kepada sejarah tempatan seperti burung Enggang yang sinonim dengan negeri Sarawak. Oleh itu, anda tidak perlu pergi jauh ke dalam kawasan pendalaman hutan untuk melihat haiwan ini secara lebih dekat, hanya perlu berkunjung ke Taman Burung Labuan sahaja.

Oleh
Admin