Artikel ini adalah perkongsian oleh Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
“Unless we are willing to encourage out children to reconnect with and appreciate the natural world, we can’t expect them to help protect and care for it” – David Suzuki
Dewasa ini, aktiviti mendaki bukit atau gunung kian diminati dan dipilih sebagai salah satu cara untuk beriadah. Kepelbagaian hutan hujan tropika negara kita yang kaya dengan keunikkan flora dan fauna, menjadikan kegiatan pendakian ini sesuai sebagai salah satu cara untuk melarikan diri seketika daripada kesibukan kota dan tekanan.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya aktiviti mendaki ini merupakan satu jenis sukan lasak yang boleh menyebabkan seseorang itu ‘ketagih’, kerana perasaan tenang yang wujud hasil daripada proses pendakian di dalam hutan itu sendiri. Bagi golongan pencinta alam pula, seringkalinya hutan dan gunung dianggap sebagai ‘rumah’ untuk mereka pulang setelah penah berhempas-pulas memenuhi tuntutan tugas hakiki.
Bagi ibu bapa atau pasangan yang memiliki hobi mendaki, pastinya sedikit sebanyak anak-anak akan turut terdedah dengan kegiatan fizikal ini. Sememangnya satu cabaran untuk membawa anak-anak bersama, namun ianya tidak mustahil, asalkan persiapan rapi dilakukan terlebih dahulu.
Kajian juga menyatakan bahawa banyak faedah yang akan diperolehi sekiranya kita mendedahkan anak-anak kepada alam semulajadi sedari usia muda. Antaranya adalah pembentukan sistem imun yang lebih kuat, melatih sifat empati dan sayangi alam sekitar serta membentuk jati diri yang lebih tahan lasak.
Berikut dikongsikan tip-tip yang boleh digunapakai apabila merancang aktiviti pendakian bersama anak-anak:
- Pemilihan bukit atau gunung yang sesuai mengikut usia dan tahap kecergasan anak. Seelok-eloknya dimulakan secara berperingkat dengan bukit-bukit yang rendah sahaja. Dalam hal ini, ibu atau bapa perlulah melakukan sedikit ulangkaji berkenaan bukit-bukit yang hendak dikunjungi. Jangan terlalu bergantung bergantung pada nama sahaja, kerana ada juga yang namanya bukit tetapi mempunyai taraf seperti gunung, dan ada pula yang namanya gunung tetapi sesuai diperkenalkan buat pertama kalinya bagi anak-anak. Jika di Pulau Pinang, antara trek yang sesuai untuk diperkenalkan kepada anak-anak adalah Bukit Jambul, Suling Hills, dan Ceruk Tok Kun. Jika di Kedah, boleh cuba memanjat Gunung Keriang.
- Baju dan seluar yang selesa untuk pendakian. Tidak terlaku ketat dan tidak terlalu longgar. Aspek pemakaian juga haruslah sesuai dengan cuaca atau persekitaran alam sekitar hutan tersebut. Bukit atau gunung yang terletak di tanah tinggi, suhunya lebih sejuk dan cenderung untuk berkabus. Maka, sebaiknya bawa jaket atau ‘windbreaker’ bersama. Pemakaian sarung tangan juga amat digalakkan dalam keadaan persekitaran yang dingin, di samping memudahkan anak-anak memegang akar-akar pokok tatkala memanjat apabila perlu.
- Kasut sukan dan stoking yang sesuai. bawa stoking lebih sekiranya diketahui trek dalam keadaan basah atau lecak. Tip ini juga berguna untuk mengelakkan anak-anak meragam sekiranya ada yang sensitif terhadap persekitaran yang basah.
- Pakaikan anak dengan topi sekiranya bercadang untuk berdiam lama di atas puncak. Ada sesetengah puncak yang kekurangan pokok, jadi pancaran matahari itu agak kuat terasa. Ada juga bukit yang kebanyakan treknya terdedah kepada sinaran matahari. Untuk mengurangkan risiko ‘sunburn’, eloklah pakai topi atau sebarang pelindung kepada sedari awal mendaki. Contoh bukit yang mempunyai sebahagian besar trek yang terdedah adalah Bukit Berekeh di Sungai Siput, Perak.
- Sediakan juga sehelai tuala kecil bagi setiap anak, bagi tujuan mengelap peluh.
- Bawa sepersalinan pakaian untuk dipakai selepas pendakian berakhir. Pakaian ini bolehlah disimpan di dalam kereta sahaja.
- Bawa bekalan air dan snek kudapan yang mencukupi. Antara snek pemberi tenaga segera yang terbaik adalah kurma, kekacang, coklat dan pisang. Sekiranya anak-anak gemar makan nasi, para ibu bolehlah bawa juga bekalan nasi. Asasnya, bawalah apa sahaja makanan atau snek kegemaran anak-anak (selagi boleh bawa).
- Sebelum mula mendaki, pastikan perut anak diisi terlebih dahulu. Pengambilan sarapan adalah penting untuk bekalan tenaga berterusan.
- Bawa bersama keperluan ubat-ubatan untuk hal-hal kecemasan. Peti kecemasan asas biasanya boleh sahaja dibeli di farmasi.
- Lekatkan patch penghalau nyamuk pada pakaian anak. Bawa juga semburan penghalau serangga/nyamuk. Sekiranya kawasan yang dituju terkenal dengan pacat, bolehlah bersedia dengan garam atau semburan anti-pacat.
- Pada malam sebelum pendakian dan pagi hari pendakian, sapulah betis dan kaki anak dengan sapuan magnesium oil. Sapuan ini bertujuan untuk mengurangkan risiko keletihan otot melampau yang seterusnya boleh membawa kepada kekejangan otot. Fungsi magnesium adalah untuk mengendurkan kembali otot yang tegang. Sentiasa bawa bersama magnesium oil ini sepanjang pendakian dan boleh digunakan apabila keadaan memerlukan.
- Sekiranya merancang pendakian yang bermula pada awal dinihari, pastikan anak-anak dibekalkan dengan lampu suluh setiap seorang. Ini akan melatih mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Di pasaran terdapat pelbagai jenis lampu suluh kecil yang sesuai dengan anak-anak. Pilihlah yang mempunyai suluhan yang jauh dan terang.
- Bawa plastik sampah dan berpesan pada anak, kesemua sampah daripada bungkusan makanan/minuman yang dibawa perlulah dibawa turun bersama.
Mendaki dengan anak-anak tidaklah sukar. Usah terkejut apabila tenaga mereka ini sebenarnya lebih banyak daripada kita yang dewasa. Bateri tenaga seolah-olah tiada penghujungnya. Walaubagaimanapun, sebagai ibubapa, kita perlulah sentiasa memantau keadaan dan pergerakan anak-anak, dan faham bahasa tubuh mereka, sama ada mereka perlu berehat sebentar atau sebaliknya. Semoga riadah di dalam hutan juga boleh menjadi satu alternatif aktiviti liburan sekeluarga.
Penulis:
Wan Nordini Hasnor Wan Ismail
Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi,
UiTM Caw Pulau Pinang (Kampus Bertam).
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI