10 Tip Do’s & Don’t Sebelum Mula Kembali Melancong

Share

Kita masih lagi sukar untuk melancong. Sama ada di dalam atau luar negeri oleh kerana penularan pandemik Covid-19 masih lagi belum reda ke tahap selamat.

Namun tidak bermakna kita tidak dapat merancang untuk makan angin di masa akan datang. Mungkin ramai sudah lupa bagaimananya persiapan dan apa perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas melancong.

Ikuti 10 tip dari LIBUR di bawah!

1. Jangan menginap di kawasan terpencil yang jauh dari bandar

Tinggal di hotel yang terletak di pinggir bandar mungkin lebih memudahkan dan menjimatkan kos. Tetapi sistem pengangkutan di luar bandar adalah kurang jadi anda mungkin terpaksa membelanjakan banyak wang untuk membayar pengangkutan. Sebaiknya, tempah hotel di kawasan pusat bandar yang dikelilingi dengan banyak kemudahan selain berhampiran dengan tempat-tempat menarik. Dengan ini, anda berpeluang untuk mengunjungi pelbagai lokasi dan tidak perlu mengambil banyak masa untuk pulang semua ke hotel.

2. Sentiasa membaca ulasan daripada pelanggan lain

Setiap kali anda hendak mengunjungi mana-mana lokasi seperti hotel dan restoran, pastikan anda membaca dahulu semua ulasan daripada pelanggan terdahulu. Hal ini akan membantu mengelakkan anda daripada mengalami pengalaman yang tidak menyeronokkan.

Antara laman sesawang dan aplikasi yang boleh anda lihat adalah:

  • Tripadvisor – Anda boleh mencari ulasan tentang apa-apa sahaja sama ada restoran kecil mahupun kawasan yang terkenal dan bertaraf tinggi.
  • Yelp – Yelp berfungsi lebih kurang sama dengan Foursquare tetapi ia lebih mengkhusus kepada restoran dan juga kafe.

3. Bawa ubat-ubatan

Ketika bercuti, anda perlu sentiasa membawa bekalan ubat-ubatan asas seperti ubat demam, selesema, minyak angin, pembalut luka dan sebagainya yang dirasakan sesuai. Dengan cara ini, anda boleh merawat diri sendiri sekiranya berlaku kecemasan dan tidak perlu membazir wang untuk mendapatkan rawatan di klinik.

4. Pastikan anda membawa makanan ringan

Perkara ini mungkin agak melecehkan tetapi sangat membantu sekiranya anda sukar untuk mendapatkan makanan halal di luar negara. Antara makanan yang boleh anda bawa adalah seperti biskut, buah, mi segera dan paket minuman segera.

Anda juga dapat menjimatkan wang dan menggunakan wang lebihan untuk membeli buah tangan buat keluarga di Malaysia.

5. Jangan membawa terlalu banyak barang

Sewaktu mengemas bagasi, kita sentiasa merasakan kita tidak membawa barangan yang mencukupi. Jadi, kita akan terus menyumbatkan segala barangan yang tidak penting sehingga akhirnya beg kita menjadi kembung dan berat! Pastikan anda hanya membawa barangan yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi.

Sebagai contoh, bawa selendang yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai tudung tetapi juga boleh dijadikan sebagai selimut, kain lapik semasa berkelah dan menggantikan baju sejuk anda.

6. Melantik seorang rakan sebagai ketua

Ketua yang dimaksudkan adalah individu yang boleh diharapkan untuk mengetuai sesuatu perjalanan. Biasanya, ketua dalam pengembaraan ini adalah seorang yang terperinci dan peka dengan keadaan sekeliling.

Dengan adanya seseorang untuk boleh mengambil tanggungjawab ini, perjalanan akan menjadi lebih selamat dan menyeronokkan terutamanya ketika bercuti di luar negara.

7. Jangan takut untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan

Semasa mengembara ke luar negara, anda harus menjadi ringan mulut dan mesra dengan penduduk tempatan. Sebaiknya, berkawanlah dengan mereka dan juga para pelancong lain supaya memudahkan anda untuk meminta pertolongan seperti cadangan tempat penginapan yang selamat atau lokasi restoran yang menyajikan makanan enak.

8. Beli tiket secara atas talian

Jika anda mahu pergi ke tempat yang terkenal seperti Louvre, anda harus membuat tempahan tiket lebih awal secara atas talian. Dengan cara ini, anda tidak perlu menunggu terlalu lama dan berbaris di barisan yang panjang.

9. Membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan

Ada individu selalu membeli cenderamata yang tidak cantik dan ada juga yang akan menyesal di kemudian hari kerana tidak membeli apa-apa cenderamata sebelum pulang ke negara asal.

Kami cadangkan supaya anda mengunjungi kedai-kedai cenderamata atau pasar lambak bagi mendapatkan pelbagai cenderamata istimewa dengan harga yang murah! Kebanyakan barangan yang dijual adalah hasil buatan penduduk tempatan sekali gus menjadikannya perkara wajib yang harus dibawa pulang!

10. Jangan takut untuk mencuba makanan tempatan

Kita semua mempunyai citarasa tersendiri dan segelintir daripada kita tidak suka atau takut untuk mencuba makanan baharu. Jika anda seperti ini, anda sememangnya manusia yang rugi!

Bukankah lebih bagus jika anda dapat merasai makanan-makanan unik yang menjadi pilihan penduduk tempatan. Pengalaman ini pastinya dapat memberikan sejuta kemanisan dalam kenangan pengembaraan anda.

Jangan takut untuk mencuba!

 

Oleh
mohd farizul Ibrahim