10 Lokasi Terbaik Untuk Anda Yang Nak Bercuti Ke Padang, Indonesia

Share

Selalunya orang Malaysia yang minat dengan Buya Hamka kalau travel ke Padang, akan cuba curi masa dan peluang untuk pergi ke rumah kelahiran tokoh terkenal kelahiran Indonesia itu di Tanjung Raya.

Walaupun jaraknya mengambil masa lebih kurang 3-4 jam perjalanan, tapi ramai yang sanggup menempuh jarak perjalanan tersebut kerana waktu itu adalah peluang keemasan untuk menelusuri perjalanan hidup Buya Hamka.

Selain itu, boleh juga berjalan-jalan sekitar Tasik Maninjau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang tiada tolok bandingnya di tempat-tempat lain.

Tapi ada tak tempat menarik yang lain di Indonesia Barat itu? Jawapan dia sudah tentu ada! Ada banyak tempat menarik yang anda boleh buat apabila travel ke Padang.

Libur senaraikan 10 tempat menarik yang ada di sana. Nanti bolehlah anda susun atur itinerari anda untuk ke sana. Jadi, apa senarainya? Ini dia:

1. Pantai Padang

Anda boleh berkunjung ke Panti Padang atau lebih dikenali di kalangan orang tempatan sebagai TapLau (Tapi Lauik). Menurut info dari sana, Pantai Padang itu kini tidak lagi seperti dulu. Sekarang dah banyak pembangunan yang diusahakan oleh pentadbiran Padang untuk memajukan kawasan pelancongan tersebut. Jadi kawasan itu kini sudah selesa dan cantik. Sesuai la kalau anda nak datang jalan-jalan makan angin cuci mata di sana. Ada banyak bunga-bungaan yang kini menghiasi Pantai Padang itu. Lokasi ini juga berdekatan dengan Ramayana Plaza Andalas, shopping complex Padang dan Jambatan Siti Nurbaya. Di persisir pantai itu, ada banyak gerai jalanan untuk anda menikmati makanan tempatan di sana, daripada makanan ringan hingga makanan laut.

PRO TIP
Nego dulu harga makanan di sana kerana mereka kebiasaannya akan menawarkan harga yang tinggi kepada pelancong asing. Menjadi satu kelebihan sekiranya anda boleh berbahasa minang jika berkunjung ke sana

2. Jambatan Siti Nurbaya

Tak lengkap gambar Instagram anda jika tidak singgah untuk berswafoto di sini. Lokasi ini adalah lokasi penarik yang ada di Padang kerana keindahan dan kecantikan lampu-lampu pada waktu malam yang ada di Jambatan Siti Nurbaya ini. Pada waktu malam, jambatan ini dihiasi dengan gemerlipan lampu-lampu dan sepanjang jambatan ini, anda boleh menikmati anuke juadah makanan tempatan yang ringan-ringan. Untuk anda ada dalam itinerari untuk ke sini, lokasi jambatan ini berdekatan dengan Pantai Padang dan Ramayana Plaza Andalas.

PRO TIP
Dicadangkan untuk anda mencuba roti bakar yang dijual di sini. Highly recommended oleh orang tempatan di sana

3. Pantai Pasir Jambak

Satu lagi lokasi pantai di Padang. Pantainya yang memutih, landai dan dipenuhi pokok-pokok kelapa menambahkan rasa nyaman untuk anda bercuti melepaskan tekanan dan berhibur di sini. Jangan khuatir untuk berkunjung ke sini, fasilitis yang disediakan cukup lengkap untuk aktiviti seharian anda. Ada dataran untuk melepak, kedai makan, pondok-pondok kecil. Malah ada homestay untuk anda bermalam di sini dan anda boleh menyewa perahu/kayak untuk bermain bersiar-siar sekitar pantai. Pada waktu petang, anda boleh berjemur di bawah cahaya matahari sambil menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat, berenang, santai-santai bersama partner in crime dan sebagainya.

4. Pantai Nirwana

Tak suka dengan cadangan awal yang Libur berikan tadi? Okay jangan risau, ada satu lagi pantai yang mungkin akan membuatkan anda tertarik untuk pergi iaitu Pantai Nirwana. Tempat ini, Libur cadangkan untuk anda yang sudah berkeluarga dan bercuti bersama isteri dan anak-anak kerana ombak di sini tidak terlalu besar untuk anak-anak anda mandi manda dengan seronok dan riang ria. Pantainya yang luas juga memberikan kepuasan berganda untuk mereka berlari-lari berkeliaran ke sana sini dengan bebas. Di waktu petang, ada peniaga yang akan menjual bakso dan mee ayam yang akan datang menghampiri anda untuk menjual makanan mereka. Kena cuba tau kerana rasanya sangat enak untuk dilepaskan begitu sahaja.

5. Pantai Air Manis Batu Malin Kundang

Pernah tengok cerita Si Tanggang atau Malin Kundang? Pada yang tidak tahu, cerita lagenda itu diadaptasikan dari kisah rakyat yang diceritakan turun temurun sebagai peringatan untuk kita menghormati ibu bapa kia walau apa pun yang terjadi. Satu pengajaran yang sangat penting Libur rasa. Jadi, untuk anda yang kebetulan ke Padang tu, boleh datang ke sini untuk melihat sendiri kawasan yang menjadi cerita lagenda tersebut. Lokasinya berdekatan dengan Pelabuhan Teluk Bayur dan mudah untuk anda ke sini kerana tanda arah diletakkan sepanjang jalan untuk memastikan anda tidak sesat ke mana-mana. Lokasi ini juga popular untuk mengambil gambar, jadi sediakan ruang simpanan yang besar dalam telefon bimbit anda ya. Turut terdapat di sini adalah penjaja cenderahati sekiranya anda ingin membawa buah tangan pulang ke tanah air.

6. Musium Adityawarman

Sayang rasanya kalau kita berkunjug ke suatu tempat semata-mata untuk berhibur dan bersuka ria saja kan? Jadi ini lokasi yang Libur cadangkan untuk anda singgah bagi mengenal serba sedikit mengenai sejarah Minang yang ada di Padang iaitu Muzium Adityawarman. Muzium ini tempat di mana mereka menyimpan dan memelihara khazanah, seni dan budaya Minangkabau, Mentawai dan Nusantara.

? TRIVIA
Nama Adityawarman diambil bersempena nama seorang Raja yang pernah berkuasa di Minangkabau semasa zaman Majapahit dan Patih Gajah Mada

7. Sitinjau Lauik

Nak buat aktiviti malam di Padang? Anda boleh datang ke Sitinjau Lauik untuk menyaksikan keindahan panorama matahari terbenam di ufuk barat. Selain itu, lokasi ini juga menjadi tempat di mana anda boleh menikmati keindahan malam Kota Padang dari atas bukit. Ada juga penjaja yang berniaga di sini dan anda boleh menikmati keasyikkan di sana sambil memesan secangkir kopi dan semangkuk mee rebus.

8. Pandai Sikek

Lokasi ini dikenali sebagai pusat ukiran kraftangan dan tenunan songket Indonesia yang terletak di kaki bukit Gunung Singgalang, Tanah Datar. Di sini, anda boleh melihat kehidupan masyarakat pertanian tradisional masyarakat Padang. Kalau anda nak ke sini, siapkan duit dalam secekak dua untuk anda shopping cenderahati sebagai tanda mata ke Padang.

9. Lembah Anai

Untuk menuju ke sini, anda kena travel keluar sedikit dari Padang menuju ke Bukit Tinggi kerana lokasinya adalah menghala ke sana. Lembah Anai ini lebih kurang macam Air Terjun Lata Iskandar kalau anda nak ke Cameron Highland. Air terjunnya berada di pertengahan perjalanan dan menjadi tempat kunjungan pelancong untuk bergambar. Di samping itu, gambar yang diambil di samping lintasan kereta api turut menjadi faktor mengapa tempat ini popular untuk bergambar.

10. Taman Gunung Padang

Tempat ini terletak bersebelahan dengan Jambatan Siti Nurbaya. Sekiranya anda berkunjung ke Jambatan Siti Nurbaya, taman ini terletak di sebelah barat. Pemandangan sekitar tempat ini seakan-akan bukit yang ada dalam filem animasi Doraemon tempat Nobita selalu melarikan diri jika dia berasa kecewa dengan sesuatu dan jangan terkejut kalau bukit ini turut mendapat jolokan Bukit Nobita! Di bukit ini, ada sebuah gua dan di dalamnya terdapat satu pusara lama dan masyarakat setempat mempercayai itu adalah makam Siti Nurbaya yang terkenal dalam hikayat masyarakat Minang.

? TRIVIA
Disebabkan bukit ini mirip cerita Doraemon, bukit ini mendapat jolokan Bukit Nobita!

Oleh
Epul