Nampak istimewa Kekunang Tering Chalet bila ada tree house macam ini, sesuai untuk anda yang cintakan pemandangan semula jadi yang indah.
Dan jika pantai menjadi pilihan untuk beriadah, apa kata terokai destinasi tepi pantai di Pahang Darul Makmur.
Kekunang Tering Chalet ini terletak antara bandar Pekan dan Rompin, boleh dikatakan penginapan wow kerana kedudukan di tepi laut dan reka bentuk bilik berkonsepkan rastic.
Paling rare ada tree house di sini dan ia sesuatu yang jarang-jarang ditemui di mana-mana resort atau chalet di negara ini terutama di tepi pantai.
Pasti jatuh cinta dengan lokasi ini dengan pasir pantainya yang putih bersih dan angin sepoi-sepoi menyapa pipi tidak syak lagi ia pilihan tepat – destinasi yang mendamaikan seolah-olah berada di private island!
Tipnya, jangan lupa bawa kamera untuk merakamkan saat-saat indah alam semula jadi jauh dari kota, terutama pengalaman menakjubkan apabila berpeluang melihat saat matahari terbit, aduh memang sukar digambarkan!
Ketika air surut pada waktu malam pula, apa lagi boleh saja berjalan ke tengah laut sehingga kira-kira 100 meter dari pantai sambil melihat karangan dan tapak sulaiman. Bayangkan jika kunjungan ada ketika bulan purnama, suasana itu tentu dikenang dalam lipatan memori anda selamanya.
Berikut 10 keistimewaan Kekunang Tering Chalet yang pasti menggamit kehadiran sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi.
1) Berkonsepkan eco-chalet unik – lokasinya di tepi pantai persendirian jauh dari kesibukan kerana tidak berada di zon pelancongan di mana hanya chalet itu sahaja yang berada di pinggiran pantai kawasan Tanjung Batu di Nenasi.
2) Panorama alam yang memukau – kelebihannya kerana dapat menyaksikan keindahan matahari terbit yang jarang terdapat di tempat lain kerana kedudukannya tepat aras matahari terbit.
3) Lokasi sesuai untuk pasangan pengantin tak kiralah yang baru atau lama kerana tentunya dapat meluangkan masa bersama, juga keluarga yang mahu menginap di The Loft atau camping di tepi pantai.
4) Caretaker 24 jam – Dikenali sebagai Pak Nan, beliau sentiasa bersedia membantu dan menjaga keselamatan penyewa, orangnya ramah dan berpengalaman luas dengan keadaan persekitaran untuk menyampaikan maklumat kepada pelanggan.
5) Pantai bersih, cetek dan tidak tercemar – sesuai bagi aktiviti pantai dan memancing. Jika penggemar aktiviti memancing laut dalam, boleh menyewa bot di kawasan di sekitar Nenasi untuk memancing di tengah laut yang dipenuhi ikan kelas A seperti layaran, haruan tasik, kerapu, merah dan tenggiri.
6) Lokasi tumpuan penunggang motosikal berkuasa tinggi – dari dalam dan luar negara, peminat aktiviti ini melalui jalan pesisir pantai. Kebetulan lokasi ini berada di jalan utama Semenanjung Malaysia antara Kelantan ke Johor Bahru.
7) Berdaftar dengan warmshowers.org iaitu organisasi bagi komuniti pengembara berbasikal dunia dan chalet ini menjadi hub persinggahan utama di jalan terpencil antara Pekan ke Rompin sejauh 87 kilometer.
8) Ombak besar – Lokasi tumpuan penggemar panorama yang begitu mengasyikkan, bukan untuk surfing atau meluncur air tetapi sekadar memerhati keindahan alam ketika air pasang terutama semasa musim tengkujuh yang ombaknya boleh mencecah lebih tiga meter.
9) Harga mampu milik – pelbagai pilihan penginapan dengan harga berpatutan untuk semua golongan sama ada Tree House, dan Tube Cabin yang berkongsi bilik air dan tandas, atau The Loft yang lengkap dengan kemudahan itu. Malah ia juga menjadi tumpuan peminat aktiviti camping dengan bayaran minimum.
10) Weekand escape zone – sunyi dan tenang dengan persekitaran kawasan chalet seolah-olah berada di pulau asing, hanya ditemani deruan ombak dan kicauan burung. Ya benar tiada gangguan!
Hah, kalau sampai Rompin, boleh lah anda terus ke sini ya! Baru puas hati dapat tengok view pantai yang cantik dan bermalam di tempat rare.