10 Info Menarik Buat Kaki Travel Bercadang Bercuti Ke Oxford

Share

Perkongsian info percutian ke Oxford ini dikongsiakan oleh saudara Mohamad Idham Md Razak (Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin)

Peluang bercuti ke luar negara bersama sahabat baik merupakan impian setiap kaki kembara. Rezeki penulis mendapat peluang untuk membentangkan kertas penyelidikan bersama sahabat baik Dr. Hj. Abdul Rahim Ridzuan di Oxford, United Kingdom merupakan peluang keemasan yang sukar dilepaskan. Kenalan baik kami, Profesor Madya Dr. Mohammed Hariri Bakri yang menetap di St. Clement banyak membantu di sepanjang tempoh kami berada di sana. Beliau merupakan Fellow di Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford. Kami juga berpeluang melihat fasiliti tempat beliau bertugas, peluang yang jarang-jarang diperolehi.

Berikut penulis kongsikan 10 info menarik buat kaki travel di Oxford:

1. Fakta Sejarah. Oxford ialah bandar raya dan bandar di Oxfordshire, England Tenggara. Mengambil masa sekitar 2 jam dari Lapangan Terbang Heathrow dengan menaiki bas. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk sekitar 165,000 orang, dengan 151,000 orang tinggal di dalam sempadan daerah di mana Sungai Cherwell dan Sungai Thames mengalir merentasi Oxford dan bertemu di sebelah selatan pusat bandar raya. Bangunan di sekitar Oxford memiliki ciri seni bina British sejak ketibaan orang Saxon, termasuk bangunan Radcliffe Camera di pertengahan abad ke-18 yang ikonik.

2. University of Oxford. Terdapat 39 kolej di University of Oxford. Seperti kata teman penulis, Oxford adalah bandar dalam Universiti. Sepanjang berada di Oxford, kami berkesempatan untuk melakukan kembara ringkas di beberapa buah kolej yang popular di University of Oxford seperti All Souls, Magdalen, St. Cross, St. Edmun Hall. Sebagai peringatan untuk bakal pengunjung, kebanyakan masa lawatan yang dibuka kepada umum adalah pada jam 2.00 petang. Penulis juga berkesempatan melawat ke Said Business School, University of Oxford. Penulis berasa teruja kerana ini merupakan lawatan kali kedua penulis di sini.

3. Tarikan pelancong. Terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati di sekitar Oxford. Di antara tempat – tempat menarik dan unik yang dicadangkan oleh penulis seperti University Church of St. Mary the Virgin, Christ Church Cathedral, Blackwell’s Bookshop, Bodleian Library dan Oxford Botanic Garden. Keindahan senibina dan lanskap pasti membuatkan gambar yang bakal dimuat naik di laman sosial kelihatan mengagumkan.

4. Makanan Halal. Buat bakal pengunjung, usah risau makan halal mudah didapati di sekitar Oxford kerana terdapat banyak restoran Timur Tengah di sini. Sekiranya anda berhajat untuk menikmati makanan segera, Restoran KFC dan Nandos di Cowley Road adalah Halal untuk dinikmati. Bagi penulis, bluberry muffin dan buah-buahan segar yang terdapat di stor Marks and Spencer cukup kena dengan selera penulis sebagai pengalas perut sebelum memulakan ekspedisi.

5. Syurga membeli belah. Selain keindahan senibina dan lanskap, di sepanjang jalan raya di sekitar Oxford terdapat banyak kedai cenderamata murah dan unik seperti The University of Oxford Shop dan Flaggs. Jangan lupa ke kedai Primark berdekatan dengan Pasaraya Westgate. Terdapat pelbagai koleksi seperti haruman, alat solek dan pakaian yang murah keluaran tempatan yang wajib dibeli untuk kegunaan sendiri atau diberi pada kenalan sebagai ole-ole.

6. Kemudahan pengangkutan. Kemudahan pengangkutan di bandar Oxford amat efisien dan selesa. Terdapat banyak perkhidmatan teksi yang disediakan dengan harga berpatutan. Sepanjang berada di Oxford, penulis lebih banyak berjalan kaki. Untuk ke kotaraya London, anda boleh menaiki bas Oxford Tube atau X90. Apa yang menarik ialah bas tersebut mempunyai kemudahan akses wifi percuma dan tempat mengecas gajet.

7. Penginapan. Terdapat banyak tempat penginapan menarik bergantung kepada bajet percutian dan citarasa. Beberapa tempat penginapan yang dicadangkan oleh penulis seperti, Old Bank Hotel, Vanbrugh House Hotel, Remont Oxford Hotel dan Premier Inn Oxford Hotel.

8. Cuaca dan Musim. Seperti kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, cuaca kadangkala tidak menentu. Justeru, adalah dinasihatkan untuk melihat ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan. Penulis mencadangkan untuk melawat bandar Oxford pada musim bunga sekitar Mac hingga Mei atau pada musim luruh sekitar September dan November.

9. Masyarakat sekitar. Masyarakat di sekitar Oxford sama seperti di kebanyakan bandar di sekitar United Kingdom, amat ramah dan murah dengan senyuman. Justeru, jangan berat mulut untuk bertanya sekiranya ingin meminta bantuan atau sebagai penunjuk arah.

10. Kemudahan solat. Untuk pengembara Muslim, jangan gusar banyak kemudahan solat yang terdapat di sini. Penulis dan rakan berkesempatan menunaikan solat Jumaat di OUISoc yang terletak di Bangunan Robert Hooke. Komuniti Muslim yang pelbagai di sini amat mesra terutama dengan pelancong luar.

Peluang explorasi di Oxford pastinya menjadikan kenangan yang terindah buat penulis dan rakan. Banyak lagi program kembara yang kami rencanakan di masa akan datang. Pesan penulis, dalam mencari sahabat sejati carilah yang boleh mengembara bersama, sibuk mencari ilmu dunia dan akhirat, sanggup berkongsi susah payah bersama, serta sentiasa mengingatkan kita kepada Allah swt. Edisi kembara kali ini adalah salah satu medium menghayati kebesaran dan keindahan ciptaan Allah swt serta meraikan persahabatan kami yang telah terjalin hampir 10 tahun lamanya.

 

Oleh
Husna