Ramai yang mengimpikan untuk travel ke India. Walaupun dikatakan sebuah negara tidak mementingkan kebersihan, tetapi India tetap juga ada dalam ‘bucket list’.
Ini kerana India sebuah negara yang sangat kaya dengan adat budaya tersendiri. Malah mempunyai tarikan tersendiri dengan keindahan sebahagian tempat menarik.
Ikuti perkongsian menarik Shahrina Azlin ketika mengunjungi India dua tahun lalu. Biarpun sudah pergi, namun dia masih lagi memasang impian untuk ke sana sekali lagi.
Kotor. Memang itulah yang sering orang perkatakan tentang negara India ini. Tetapi yang mereka tidak tahu ialah sesetengah negeri di India itu sendiri tersangatlah cantik pemandangannya, terutamanya di Kashmir yang digelar heaven on earth!
Tapi memanglah tidak dapat dinafikan, sesetengah tempat di India itu memang kotor, tapi yang pentingnya, pengembaraan saya dan dua orang rakan adalah untuk melihat kebesaran bumi ciptaan Allah swt.
Hampir dua minggu di sana, kami berpeluang merasai dua keadaan cuaca iaitu sejuk dan panas. Antara tempat yang saya dan teman-teman sempat kunjungi adalah Kashmir, Shimla, Jodphur, Jaipur, Agra dan Delhi.
Kashmir syurga dunia
Lima hari kami habiskan masa di Kashmir, pemandangan di sana memang sungguh menarik. Kami sempat bermain salji di Sonamarg dan Gulmarg, menikmati keindahan alam dengan menaiki kuda di Pahalgam dan bermalam di houseboat yang terletak di Dal Lake. Pertama kali dapat menyentuh salji satu perasaan yang memang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Awesome!
Pemandangan yang ada di Kashmir memang antara yang terbaik pernah kami lawati. Kami juga sempat melawat kebun tulip dan juga beberapa tempat tumpuan pelancong yang ada di sekitar kawasan bandar Srinagar, yang merupakan ibu kota negeri Jammu dan Kashmir di India.
Masjid di Srinagar
Penduduk di Kashmir 95 peratus adalah Muslim, jadi memang tidak ada masalah untuk cari makan. Pendek kata memang kenyang kami sepanjang berada di sana. Cuaca pula sejuk memang asyik lapar sahaja. Penduduk di Kashmir juga peramah dan nampaknya nama Malaysia memang terkenal di kalangan penduduk sana.
Lima hari di Kashmir kami meneruskan perjalanan ke Shimla. Tempatnya sejuk macam Cameron Highlands. Pemandangan di sini juga cantik, bentuk muka bumi yang berbukit memerlukan kami menapak banyak anak tangga walaupun hanya mahu ke rumah tumpangan yang kami tinggal.
Apa yang saya lihat orang India ni memang suka berniaga. Kat mana sahaja walaupun ruang yang kecil mereka akan berniaga. Di Shimla ni tak payah cerita, kedainya di sekeliling bukit yang kami terokai itu rasanya.
Deretan kedai menjual pelbagai jenis barangan tersedia di sini. Buah-buahan tersangat murah . Sempat kami beli ceri hanya dengan harga lebih kurang RM10 dapat sekotak penuh.
Naik keretapi 18 jam
Satu malam di Shimla, perjalanan diteruskan ke Jodphur. Ini paling mencabar sebab kami naik keretapi selama 18 jam. Keretapi kat India ada beberapa kelas. saya dan rakan-rakan pilih kelas kedua dengan katil 3 tingkat bukan 2 tingkat ya. Nasib baik berhawa dingin dan jiran-jiran dalam keretapi pun ok, jadi perjalanan kami walaupun lama agak selesa.
Sampai di Jodphur cuaca memang panas. Hampir 40 darjah celsius. penghawa dingin yang dipasang dalam bilik pun tak terasa. Memang kena minum banyak air untuk elakkan dehidrasi dan terkena strok haba.
Satu malam di Jodphur, kami sempat melawat ke Mehrangarh Fort dan buat aktiviti flying fox di sana. Semuanya kami buat tempahan secara online, lebih murah dan dapat sesi pagi untuk elakkan cuaca yang panas.
Kami meneruskan perjalanan untuk jelajah Golden Triangle India iaitu Jaipur, Agra dan Delhi. Sekali lagi kami naiki keretapi ke Jaipur, Rajasthan. Tempat ini juga dikenali sebagai Pink City, sebab menurut mereka banyak bangunan yang berwarna merah jambu yang sebenarnya bangunan daripada warna asli batu bata tu.
Kali ini tak lama dan kami naiki 2nd class biasa yang berkerusi. Lima jam dalam perjalanan kami sampai ke stesen keretapi Jaipur. Kami ambil auto atau tuk tuk untuk ke hotel penginapan kami dan esoknya menjelajah Jaipur, Hawa Mahal, City Palace dan beberapa tempat lagi. Cuaca di Jaipur juga panas seperti di Jodphur, jadi air minuman memang sentiasa ada sebagai bekalan.
Dua malam di Jaipur, perjalanan diteruskan pula ke Agra. Nak tengok Taj Mahal yang tersenarai sebagai 7 Benda Paling Ajaib di dunia. Seawal pagi kami keluar dari hotel menuju ke stesen keretapi. Keretapi memang jadi pengangkutan utama orang India untuk destinasi yang jauh.
Setiap kali ke stesen keretapi memang orang ramai sangat. Seawal 6.30 pagi kami ke Taj Mahal. Masa ni orang tak berapa ramai lagi, dapatlah kami melihat keindahan Taj Mahal yang merupakan lambang cinta agung Shah Jahan terhadap isterinya Mumtaz Mahal. Kami juga sempat melawat ke Agra Fort yang turut menjadi tarikan di situ.
Satu malam di Agra, kami menaiki kereta ke Delhi. Tiga jam perjalanan ke Delhi dan kami sampai lebih kurang jam 3 petang. Lepas daftar masuk hotel kami yang terletak di Main Bazar kami terus keluar ke Chandni Chowk yang terkenal sebagai tempat untuk membeli belah.
Kat sini kami gunakan metro yang sama seperti LRT kat Malaysia. Harganya murah dan mudah untuk dinaiki. Dah penat pusing kedai, kami sempat singgah di Red Fort dan Town Hall untuk bergambar.
Tibalah hari terakhir di India, kami sempat ke India Gate dan juga Bangunan Parlimen yang terletak berdekatan. Cuaca yang panas buatkan kami tak lama berada di situ, lalu kami pulang ke hotel dan berkemas untuk ke lapangan terbang.
Nasi Beriani dan Prata jadi pilihan
Tak perlu risau tentang makanan yang ada di sana kerana India mempunyai pilihan makanan halal untuk pelancong yang datang. Agama Islam adalah agama kedua terbesar selepas agama Hindu di sana, jadi tak susah kalau nak cari makanan halal. Makanan mereka juga enak dan kena dengan tekak kami. Antara makanan yang selalu menjadi pilihan kami adalah beriani dan juga roti prata.
Beriani di Malaysia dan juga beriani di India memang lain rasanya. Mereka banyak menggunakan rempah ratus dalam makanan mereka dan rasanya agak pedas. Begitu juga dengan kari dan kuah-kuah yang ada, rasa rempah dalam makanan mereka amat ketara tapi Alhamdullilah perut kami dapat menerimanya.
Walaupun agak pedas, tapi tetap sedap dan menyelerakan. Mungkin juga penggunaan rempah dalam makanan mereka itu sesuai untuk beberapa bahagian di negara mereka yang mempunyai empat musim, contohnya di Kashmir dan Simla yang ketika kami kunjungi agak sejuk berbanding tempat-tempat lain.
Roti prata atau kalau di sini lebih dikenali sebagai roti canai juga agak lain teksturnya. Ia lebih liat dan rasanya tidak selemak roti canai yang ada di negara kita. Jika dimakan bersama kuah mereka yang berempah atau dengan ayam masala memang satu gabungan yang padu.
Ketika di Kashmir kami ada juga mencuba makanan jalanan yang ada di sana. Kami lebih yakin untuk cuba makanan di sana kerana rata-rata penduduk di sana adalah muslim selain melihatkan keadaan yang bersih di sekitarnya.
Selain beriani dan prata, kami juga suka makan samosa sepanjang berada di sana. Bentuknya sama seperti samosa di Malaysia, Cuma intinya lebih kepada sayur-sayuran yang digoreng bersama rempah.
Memang banyak pengalaman baru yang saya dapat ketika berada di India. Apa yang saya dapat simpulkan, India memang banyak tempat menarik untuk dilawati.
Walaupun ada sesetengah tempatnya memang kotor dengan cuaca yang panas dan bau yang tidak menyenangkan, ia masih lagi ok untuk dijadikan salah satu tempat dalam wishlist seorang pengembara. Kan orang kata banyak berjalan luas pandangan!
Artikel Berkaitan:
Tasik Pangong Lake, India! Lokasi Pelancongan Popular Dunia Selepas Filem 3 Idots Meletup
Gadis India Miliki Rambut Terpanjang Di Dunia. Lagi Panjang Dari Tinggi Sendiri
Kredit: Shahrina Azlin
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI