Bila sebut jambatan kaca kita pasti tidak dapat melupakan video-video lucu gelagat pengunjung yang kali pertama menaiki jambatan kaca. Mampu tembus pandang ke bawah berlatar belakangkan gaung, ia pasti menggerunkan bagi yang gayat.
Namun semalam dilaporkan, sebuah jambatan kaca di China rosak teruk apabila dilanda angin kuat yang membawa bersama hujan batu.
Insiden telah menyebabkan seorang pelancong terkandas di atas jambatan tersebut yang terletak di sebuah resort di wilayah Jilin di timur laut China.
Dalam kejadian di Gunung Piyan di kota Longjing itu, beberapa kepingan kaca dari jambatan setinggi 100 meter tersebut ditiup angin kencang dengan kekuatan sehingga 150 kilometer sejam, lapor The Straits Times.
Ads
Pelancong itu bagaimanapun berjaya diselamatkan setelah dia merangkak ke tebing jambatan dengan bantuan anggota bomba, polis, perhutanan dan pekerja pelancongan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital dan menerima kaunseling psikologi.
Insiden itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan jambatan kaca yang jumlahnya semakin meningkat di negara itu.
Ads
"Inilah sebabnya mengapa saya tidak berani menginjak kaki ke atas jambatan seperti itu," tulis seorang netizen yang menggelarkan dirinya Wadetian.
Ads
"Berapa kerapkah jambatan itu dibuat penyelenggaraan?" tanya netizen lain.
Jambatan kaca merupakan tarikan yang semakin popular di resort pergunungan di China.
Menurut majalah Earth yang diterbitkan oleh Geological Museum of China, sekurang-kurangnya 60 jambatan jenis itu telah atau sedang dibina di seluruh negara pada tahun 2016. Sumber : Astro Awani
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Tujuh lagi haiwan di Bronx Zoo, New York dilaporkan positif COVID-19 selepas tular seekor Harimau Malaya bernama Nadia dijangkiti wabak tersebut bulan lalu.
Nadia yang dikesan mengalami simptom batuk dan kurang selera makan dipercayai kes haiwan pertama yang jatuh sakit akibat dijangkiti COVID-19 daripada manusia.
Empat harimau dan tiga singa Afrika di zoo tersebut mula menunjukkan simptom jangkitan sejak awal April. Ujian ke atas kesemua haiwan berkenaan mengesahkan ia memang dijangkiti virus tersebut.
Menurut Wildlife Conservation Society yang menguruskan zoo tersebut, ini menjadikan jumlah haiwan daripada keluarga kucing disitu yang dijangkiti kepada lapan ekor. Kelapan-lapan haiwan itu berada dalam keadaan normal dan tidak menghadapi masalah makan.
Haiwan-haiwan itu dipercayai dijangkiti pekerja zoo, namun tidak diketahui bagaimana jangkitan itu berlaku. Selain Bronx Zoo, langkah pencegahan sedang dijalankan ke atas semua zoo di bawah kendalian Wildlife Conservation Society di New York termasuk Central Park Zoo di Manhattan, Prospect Park Zoo di Brooklyn dan Queens Zoo.
The Wildlife Conservation Society is temporarily closing the Bronx Zoo, Central Park Zoo, Prospect Park Zoo, Queens Zoo, and New York Aquarium effective March 16, 2020. Please visit our website for details. https://t.co/gaMwdNMnmvpic.twitter.com/CV2LbOQNsO
Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapura, memulakan penerbangan langsung bagi laluan baru dari Singapura ke Kota Kinabalu.
Penerbangan sulung tersebut membawa 178 penumpang dari Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada kira-kira 11.40 pagi.
Laluan ini telah diperkenalkan kepada pelanggan bermula 3 Disember lalu, menjadikan ibu negeri Sabah itu sebagai destinasi kelapannya di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Langkawi dan Pulau Pinang.
Scoot gembira dapat menambah perkhidmatan harian ke Kota Kinabalu ke dalam rangkaiannya yang semakin berkembang di Malaysia. Kini, Scoot mengendalikan tujuh penerbangan semingguan secara terus antara Singapura dan Kota Kinabalu.
Laluan ini diharap akan melonjakkan pelancongan daripada Singapura memandangkan Sabah banyak menawarkan destinasi pelancongan terutama pulau-pulaunya yang indah seperti Sipadan dan Mabul sehinggalah Gunung Kinabalu yang gah.
Kalau anda rakyat Malaysia yang menetap di Sabah, boleh cuba menggunakan khidmat penerbangan tambang murah ini dari Kota Kinabalu ke Kota Singa untuk berlibur dan bercuti. Untuk maklumat lanjut boleh layari flyscoot.com
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
‘Good Night, Malaysian Three Seven Zero’ adalah mesej radio terakhir yang dihantar dari kokpit MH370 dan ia akan terus bermain di fikiran kita serta kehilangan MH370 akan menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia sehingga ada petunjuk baharu atau bukti utama yang ditemui.
Hari ini 8 Mac, genap lima tahun penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi dan persoalan paling penting dalam misteri penerbangan terbesar di dunia itu masih belum dijawab.
Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777 yang hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang terus membelenggu fikiran pakar penerbangan, anggota keluarga, sahabat dan seluruh dunia.
Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lepas apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi. Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370.
Kisah Waris MH370 – Anak Tidak Pernah Jumpa Bapa Sejak Lahir
Mendengar isi hati Intan Maizura Othman, 38 tahun, iaitu isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan yang merupakan sebahagian daripada kru pesawat berkenaan. Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah.
“Saya faham bukan mudah Kerajaan Malaysia untuk selesaikan isu ini. Tetapi saya harapkan agar kebenaran itu muncul dan beritahu kami perkara sebenar. Macam mana, di mana, kenapa, siapa di sebalik kejadian ini. Kalau suami saya masih hidup, cakap hidup. Kalau dah tiada, cakap dah tiada. Itu sebenarnya saya dan semua waris hendak tahu,” jawabnya dalam nada sayu.
Lebih memilukan, anak kedua Intan, Muhammad Mohd Hazrin, 5 tahun, tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan. Apabila ditanya: “Kalau boleh jumpa Papa, apa Muhammad nak cakap dekat Papa?”
Anak kecil itu dengan mimik dan nada suara sedih menjawab: “Muhammad sayang Papa, Muhammad rindu Papa.”
Luahan jujur itu membuatkan semua yang berada di majlis tersebut berlinang air mata. Ternyata sosok tubuh kecil itu tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi ungkapan itu sudah cukup jelas betapa rindunya Muhammad terhadap ayahnya.
Menurut Intan, Muhammad kerapkali bertanya kepada beliau: “Mama, Papa dah meninggal ke?”, namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya. Hanya berbekalkan gambar Hazrin, kerinduan Muhammad terubat seketika. Di sebalik air mata Intan yang entah kali ke berapa gugur, sudah tentu yang paling utama buat dirinya, adalah untuk mendapatkan pengakhiran muktamad tentang insiden misteri tersebut.
Kisah Waris MH370 – Setiap Minggu Cuba Telefon Anak
Seminggu sekali, seorang petani di China, Li Eryou akan cuba menghubungi telefon anaknya yang merupakan salah seorang 239 mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370, walaupun tidak berjawab.
“Saya tidak peduli apa pun orang kata, saya akan tetap telefon dia walaupun untuk tinggalkan beberapa patah perkataan dalam sistem pesanan ringkas,” kata petani berusia 60 tahun itu.
Berasal dari Handan, wilayah utara Hebei, Li Eryou menyifatkan panggilan yang dibuatnya setiap Sabtu itu merupakan satu perkara wajib yang akan dilakukannya setiap minggu. Anaknya, Li Yanlin, ketika itu berusia 30 tahun, antara yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, bersama 153 lagi warga China.
“Anak saya adalah orang pertama di kampung kami yang dapat menaiki kapal terbang untuk pergi ke luar negara,” katanya ketika ditemu bual Reuters, sambil menyelak album gambar anaknya.
Gambar-gambar terakhir anaknya yang bekerja di Malaysia dengan syarikat telekom Cina, ZTE, dimuat turun dari media sosial, menunjukkan saat-saat ketika dia sedang bercuti.
Sementara itu, isterinya, Liu Shuangfeng berkata dia sering menangis sehingga tertidur dan telah didiagnosis mengalami kemurungan yang teruk. Selepas kehilangan anaknya, Li Eryou meninggalkan kampung dan turut mengabaikan tanamannya kerana perlu berulang alik ke Beijing bagi mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia dan Cina. Ratusan tiket kereta api dan resit dikumpulnya bagi memberi inspirasi dalam usaha mencari anaknya itu.
“Walaupun telah lima tahun berlalu, saya tidak akan menyerah dan tidak akan berputus asa,
“Saya akan terus mencari anak saya,” katanya.
Usaha mencari pesawat MH370 sehingga kini masih lagi tidak berjaya menemui apa-apa petunjuk besar. Pada Januari 2017, Australia, China dan Malaysia mengakhiri carian dasar laut di selatan Lautan Hindi selepas dua tahun, yang mana ia menelan belanja US$141 selepas usaha itu tidak menemui sebarang jejak pesawat. Pencarian kedua dilakukan selama tiga bulan diketuai oleh firma penerokaan Amerika Syarikat Ocean Infinity, juga berakhir pada Mei tahun lalu.