Percutian ke Iceland tidaklah murah namun pengalaman yang akan dirasai tersangatlah berbaloi dan tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Iceland dikenali dengan tanah api kerana suku daripada pulau ini adalah terdiri daripada gunung berapi aktif. Ianya juga dikenali sebagai tanah ais kerana mempunyai kawasan iceberg yang memukau.
Iceland terkenal sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan satu pengembaraan yang berbeza. Iceland dikenali sebagai sebuah negara yang sejuk, namun kebanyakan air kolamnya adalah panas berikutan arus saliran gunung-gunung berapi.
Salah satu tempat pelancongan yang perlu dikunjungi ialah tapak perlindungan Iceland dikenali sebagai Blue Lagoon. Jangan terkejut jika melihat ramai pengunjung yang berendam di dalam kawasan lagun walaupun suhu ketika itu sangat sejuk.
Blue Lagoon terkenal sebagai destinasi bersantai yang tenang, mempunyai air berwarna biru dan apa yang menakjubkan airnya tidak sejuk, malah ianya panas.
Selain keunikan muka buminya, antara kelebihan Blue Lagoon yang menjadi perbualan ialah khasiat air takungan ini yang dikatakan sangat baik untuk kulit badan manusia. Disebabkan itu ia mula dibuka kepada umum sejak tahun 1976 lagi dengan tahap keselamatan ketika berada dikawasan ini sentiasa di jaga serta diuruskan dengan baik.
Awalnya, takungan ini terbentuk ketika operasi stesen jana kuasa Svartsengi di kawasan sama. Kebanyakan orang yang mandi di situ mula menyedari manfaat air berkenaan terhadap kulit antaranya masalah psoriasis yang dikatakan hilang. Masalah kulit seperti jeragat, panau dan menggelupas juga dikatakan hilang selepas beberapa hari berendam di kawasan ini.
Sumber Foto: Inhabitat.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Idea Raya Walaupun Berdepan PKP, Gamit Suasana Lebaran Di Negeri Selangor
Sedih kan bila fikir tak boleh balik Raya.
Namun apa kan daya. Kita harus akur dengan PKP.
Namun, ianya tidak menjadi penghalang buat umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. LIBUR tertark dengan perkongsian Tourism Selangor yang menyenaraikan 7 idea untuk menyambut lebaran bersama orang tersayang.
Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sedih tidak dapat pulang ke kampung halaman. Walaupun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, namun kita masih boleh menyambut lebaran di lokasi masing-masing dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Inilah 7 idea terbaik untuk anda Pusing Selangor Dulu!
- Pengalaman di 16 Inap Desa berdaftar di Negeri Selangor
Meluangkan masa bersama keluarga di inap desa di Negeri Selangor semasa hari raya merupakan pilihan menarik untuk dilakukan. Pengalaman di inap desa boleh didefinisikan sebagai pengalaman tinggal sebagai tetamu dengan tuan rumah tempatan dalam komuniti kampung selama beberapa hari. Di Negeri Selangor, terdapat 16 inap desa yang berdaftar yang boleh dikunjungi dan dalam pada masa yang sama memberi ruang kepada penginap untuk mengenali budaya dan melakukan aktiviti yang menarik antaranya seperti di Homestay Banghuris, Homestay Kampung Sungai Sireh, Homestay Sungai Haji Dorani dan banyak lagi!
- OOTD sambil berbaju ‘Raya’ di Kawasan Kampung di Negeri Selangor
Terasa rindu pada pemandangan kampung halaman? Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor contohnya di Sekinchan, Sungai Besar dan Tanjong Karang mempunyai pemandangan sawah padi yang terbentang menghijau seluas pemandangan. Tambahan pula, Daerah-daerah ini mempunyai pelbagai tempat menarik untuk mengambil gambar dengan adanya kawasan kampung tradisi, sawah padi yang terbentang luas, rumah-rumah kampung tradisi, ladang buah-buahan, ladang kelapa dan bangunan bersejarah.
- Tenangkan Fikiran, Indahnya Suasana Pantai
Pasti ramai yang gemar menikmati suasana pantai dan pemandangan laut. Negeri Selangor mempunyai pantai yang cantik setanding dengan pantai-pantai di lokasi lain. Pantai juga merupakan lokasi yang sering dikunjungi pada sebelah petang di mana cuacanya lebih tenang diiringi langit yang indah membiru. Anda boleh berkunjung ke Pantai Morib dan Pantai Kelanang di Daerah Kuala Langat, Pantai Bagan Lalang di Daerah Sepang, Pantai Redang di Daerah Sabak Bernam dan banyak lagi untuk menikmati suasana pantai yang mengasyikkan!
- Rasai Pengalaman dan Aktiviti Agro-Pelancongan
Terdapat banyak taman agro yang boleh dilawati dan anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Taman-taman agro ini menampilkan keindahan alam semula jadi yang sesuai dilawati oleh seisi keluarga, antaranya, MAEPS Agro Tourism Park, Selangor Fruit Valley, Kuan Wellness Eco Park, Kawasan Agro Tourism Kampung Johan Setia Sungai Kandis dan banyak lagi. Di sini turut disediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk anda rasai pengalaman sektor perladangan dan pertanian.
- Rasai Makanan Tradisi Negeri Selangor
Negeri Selangor merupakan negeri yang kaya dengan budaya serta pelbagai makanan tradisi. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang telah menjadi tradisi sejak turun-menurun yang harus dicuba oleh orang ramai. Antara hidangan tradisi yang boleh anda dapatkan di Negeri ini ialah Nasi Ambeng, Sate, Lontong, Pecal, Sambal Taun dan banyak lagi! Makanan-makanan tradisi ini boleh didapati di sekitar Daerah Hulu Langat, Kuala Selangor, Klang, dan Sabak Bernam dari seleksi restoran serta kedai makan.
- Membeli-belah Produk-Produk IKS ‘Made in Selangor’!
Aneka kudapan dan kerepek merupakan produk IKS yang juga diminati oleh orang ramai di Malaysia. Kerepek juga menjadi hidangan kudapan ringan di rumah semasa musim perayaan kerana ianya enak dan senang dimakan. Anda boleh dapatkan kerepek-kerepek tersebut bagi juadah Hari Raya Aidilfitri di Pekan Banting Kuala Langat, dan Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Antara pengeluar produk IKS yang popular di Negeri Selangor adalah Ros Kerepek Banting, Bahulu Masri Sabak Bernam, Kerepek KunyaKunya Tanjong Karang dan Kerepek Jemirah Sepang.
- Raya Staycation-with-Style
Anda boleh menikmati penginapan serba selesa sempena cuti Hari Raya Aidilfitri di beberapa hotel di sekitar Negeri Selangor dan beberapa penginapan unik di sini. Antaranya seperti ‘The Sticks’ di Kuala Kubu Bharu yang sesuai dikunjungi bersama keluarga untuk menikmati suasana kehijauan dan jauh dari kesibukan kota. Selain itu, Sekeping Serendah Retreat juga menawarkan tempat penginapan yang dikelilingi kehijauan tetapi tetap mementingkan keselesaan. Manakala, Taman Eko Rimba Komenwel Resort juga menawarkan pengalaman ‘glamping’ untuk seisi keluarga anda. Untuk pengalaman ‘staycation’, terdapat pelbagai hotel di Negeri Selangor seperti New World Hotel Petaling Jaya, Concorde Hotel Shah Alam, One World Hotel , Petaling Jaya, dan banyak lagi.
Sambutan lebaran agak berbeza tahun ini kerana kebanyakan tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman atas larangan rentas Daerah dan Negeri. Namun jangan risau, 7 idea menarik ini merupakan antara cadangan untuk anda bagi mengurangkan rasa kesedihan serta dapat menggamit suasana lebaran pada tahun ini walaupun dalam norma baharu. Disamping itu, adalah diingatkan kepada setiap pengunjung untuk mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan para pengunjung terjamin.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Trip Genting Dream Cruise, Pengalaman Bercuti Atas Kapal Mewah
Kalau anda rasa nak beri kelainan bercuti kepada anak-anak, boleh cuba plan naik kapal mewah Genting Dream Cruise selama 4 hari 3 malam.
Difahamkan pelayaran bermula di Pork Klang kemudian menuju ke Pulau Pinang kemudian berlabuh di Singapura dan destinasi terkahir kembali semula ke Port Klang.
Banyak Aktiviti Boleh Buat
Apa yang pasti diharapkan perkongsian ini dapat memberi pendedahan kepada umum, rupanya begitu banyak aktiviti yang boleh dilakukan di atas kapal mewah tersebut.
Bukan hanya melihat pemandangan lautan yang membiru, bahkan ada 1001 keseronokkan dan pengalaman baru dapat dirasai apabila bercuti di atas kapal mewah ini.
Jadi buat anda yang teringin untuk membawa ahli keluarga bercuti dan merasai sendiri pengalaman istimewa di atas kapal, bolehlah baca dahulu perkongsian daripada keluarga ini.
4D3N Di Atas Genting Dream Cruise
Disebabkan belum fully move on, terasa macam nak throwback, alang-alang tu saya kongsi pengalaman dan review sikit trip atas laut ni dengan kawan-kawan semua;
Port Klang – Pulau Pinang – Singapore – Port Klang
Ini memang kali pertama saya bercuti dengan Genting Dream Cruise. Secara keseluruhannya memang pengalaman baru yang sangat berbeza.
Keseluruhan trip ni boleh kata macam kombinasi peaceful, relaxing, fun dan challenging, in a good way.
Saya pergi trip ni dengan wife dan anak umur 6 tahun. Secara overall, trip ni sesuai untuk semua peringkat umur.
Trip kitorang 4 Hari 3 Malam, tapi untuk pilihan ada macam-macam, ada yang 5 hari 4 malam, 3 hari 2 malam dan lain-lain termasuk destinasi/ route yang berbeza-beza.
Bilik (Cabin) : Saya pilih Balcony State Room, ada satu katil besar dan sofa bed. Yang paling best, bilik ni ada balkoni lengkap dengan dua kerusi santai dan meja kopi.
Tempahan kami buat direct dari official website: (rwcruises.com) Selepas pilih tarikh dan masukkan jumlah penumpang, jenis bilik yang bersesuaian akan keluar untuk dipilih. So kita boleh pilih bilik yang bersesuaian dengan minat dan budget masing-masing.
Kelengkapan Cabin : LCD tv, hair dryer, safe box, toiletries, towels, bath robe, shower cubicle, drinkable tap water (hot/cold), mini fridge, mineral water, instant coffee and tea, electronic kettle.
TV Channel : Macam-macam ada, movies pun yang latest, kalau nak lepak santai-santai dalam cabin sambil layan movie je pun senang cerita, tak bosan.
Cruise facilities & activities : 24 hour gym (complete equipment, treadmill facing laut), jogging track, open cinema, swimming pool (siap ada kid section), waterpark, jacuzzi (semua buka sampai 10:00pm), water slides, wall climbing, Rope course & zip line, mini golf, ping pong, basketball court, big chess, theater (setiap malam ada show), bridge viewing room, little dreamers club (kid activities), game arcade, bowling, snooker, spa, massage dan macam-macam lagi lah.
Mungkin saya naik ni bukan masa cuti, tapi still ramai passengers atas cruise. Tapi, the way they manage everything, boleh kata semua smooth, tak overcrowded. Takde berebut-rebut ke apa.
Lagi satu, setiap orang ada minat lain-lain kan, disebabkan atas itu pun macam-macam ada, jadi tak lah semua orang tertumpu dekat satu-satu tempat/ aktiviti.
WiFi :
Dekat atas kapal ada WiFi tapi kena subscribe plan, ada beberapa plan; standard, premium, 1/2/4 device, untuk berapa malam, jadi boleh sesuaikan dengan keperluan masing-masing. Sejujurnya kalau tak subscribe pun takde masalah, penuh kot aktiviti, macam-macam boleh buat. Haha.
Network coverage:
Saya pengguna Celcom – sebelum kapal bertolak dekat port Klang Cruise Terminal memang ada coverage. Lepas kapal bertolak lebih kurang 30minit macam tu still dapat 4G coverage. Masa Penang Stop pun lebih kurang macam ni, masa Singapore Stop, kalau nak turun, untuk panggil GRAB ke apa, saya subscribe 1 day roaming pass RM38. Settle.
Makan :
Yang ni paling best, included in the package setiap hari 5 meals (kecuali hari first masa naik 4 meals dan hari ke 4 sebelum turun, breakfast)
Makan dekat restoran The Lido (Halal Certified)
Breakfast, lunch, tea time, dinner, supper. Kiranya belum habis proses makanan dari slot sebelumnya, dah sampai slot makanan yang baru. Makanan super banyak, semua jenis ada, melayu ke, Indian ke, Chinese ke, western ke, vegetarian ke, macam-macam lah. Air pun pelbagai, coffee, juices dan yang saya paling suka cold fresh milk. Ada menu yang sama tapi most menu tukar setiap hari, jadi sampai ke hari balik tu takdelah bosan. Tak habis pun nak try semua jenis makanan. Dekat 2kg jugalah gain masa atas cruise ni. Hahah
Saya share juga sikit pasal boarding, Penang & Singapore stop dan juga check out.
Boarding : 11:30am @ PKCT (1st day)
Check-out & Disembark : 11:00am @ PKCT (last day)
Penang Stop (2nd Day) : 8:00am – 4:00pm
– Aktiviti bebas, boleh turun cruise dan pergi jalan-jalan, cari makan dan sebagainya. Boleh jalan kaki untuk pusing-pusing area terdekat, macam kitorang layan Mee Sotong Hameed Pata, 5min berjalan dari Terminal.
– Kalau nak gerak jauh, boleh ambil teksi, grab dsb. Last naik kalau tak silap jam 3:30pm
Tetapi kalau tak nak turun dan buat aktiviti atas kapal pun tak ada masalah.
Singapore Stop (3rd Day) : 12:00pm – 8:00pm
Kalau compare dengan Penang Stop, dari queue untuk keluar kapal sampai settle dekat immigration Singapore boleh jejak Sejam setengah juga. Jadi kalau nak cepat kena datang dekat tempat berkumpul awal, dan terus start berbaris depan pintu keluar.
Sama macam Penang, boleh buat aktiviti bebas dan balik semula paling lambat sebelum 7:30pm.
Kalau korang takut tak ada connection untuk panggil grab ke apa, seperti saya share di atas, boleh turn on roaming, so boleh dapat 4G dengan Singapore provider.
Dekat Singapore ni kitorang singgah restoran Zam Zam tapau murtabak dengan nasi briyani lepas tu makan dekat food court Beach Rod layan Sup Tulang Merah
Tapi sama juga, kalau taknak turun dan buat aktiviti atas kapal pun tak ada masalah.
Total Hangus
Secara keseluruhan, total perbelanjaan untuk trip ni lebih kurang RM5,500.00 all in (4D 3N untuk 3 orang), pembayaran dalam currency Singapore Dollar (SGD).
Dari segi mahal, bagi saya memang agak mahal TAPI benda ni bukan yang selalu kita pergi. Sekali-sekala, atau mungkin sekali ni je pergi. So, kalau ada modal lebih, boleh layan trip dengan keluarga.
Sangat-sangat berpuas hati, sebab sentiasa ada aktiviti nak dibuat, even dah penat ke, atau dah tak ada sangat aktiviti nak dibuat pun, buka pintu balkoni, lepak santai sambil minum kopi layan angin dan ombak, kalau malam pula, sambil layan bintang. Fuhhh dia punya syahdu tuuu. Marvellous!
Untuk yang mabuk laut, saya rasa lah, tak terkesan sangat sebab kita macam duduk dalam bangunan, cuma dekat atas laut. Kalau ada vibration pun, akan rasa sikit masa cruise nak berlabuh dan nak bergerak semula dari port.
Lagi satu yang remarkable dan worth to mention adalah semua staff, dari ground staff sampai lah ke semua crew atas cruise, semua sangat-sangat friendly dan sangat-sangat membantu.
Ini sedikit sebanyak yang saya teringat dan boleh kongsi untuk trip dengan Genting Dream Cruise ni. Sorry kalau posting ni extra panjang, tapi kalau rasa masih tak cukup dengan posting ni, boleh juga layan Vlog saya sepanjang trip ni di channel Youtube saya : ADX N STUFF
Sumber : Ad Tengkorak
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Regatta Lepa Semporna, Hari Perayaan Suku Kaum Bajau Di Sabah Penuh Dengan Warna-Warni
Suku kaum Bajau adalah antara penduduk asal kepulauan Borneo sejak berabad lamanya terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani.
Suku kaum Bajau terbahagi kepada Bajau Laut dan Bajau Darat. Bagi Bajau Laut, mereka mendiami kawasan pesisir pantai terutama di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Labuan. Manakala Bajau Darat lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat seperti Papar, Tuaran, Kota Belud, Kudat dan Kota Kinabalu.
Sambutan Regatta Lepa Semporna
Setiap bulan April, sepanjang jalan menuju ke pekan Semporna akan dihiasi dengan hiasan pemidang layar berwarna-warni di kiri dan kanan bahu jalan. Bukan itu sahaja, malah rumah pensendirian, sekolah dan premis perniagaan turut sama mengibarkan kain layar berwarna-warni. Ia adalah simbolik kedatangan perayaan atau sambutan Regatta Lepa yang bakal disambut dengan acara gilang gemilang untuk beberapa hari.
Ini adalah lawatan kedua penulis sempena Sambutan Regatta Lepa Semporna, kali pertama sekitar tahun 2013 dan tahun ini sekali lagi diberi peluang untuk melihat dan turut serta merayakan pesta yang begitu meriah ini. Jika anda sedang atau membuat keputusan untuk datang ke daerah Tawau, Semporna atau masuk ke pulau-pulau sekitar sipadan, ambil peluang untuk datang ketika pesta ini berlangsung. Pasti menjadi kenangan paling berharga.
Uniknya pada tahun 2019, sambutan Regatta Lepa Semporna telah pun masuk ke tahun Jubli Perak dan dihadiri ramai tetamu kehormat antaranya Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar B. Datuk Haji Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie B. Haji Apdal.
Regatta Lepa umpama sebuah perayaan tahunan untuk masyarakat Bajau dan merupakan sambutan pesta air tahunan dalam kalendar ‘Pesta Air Malaysia’ yang diadakan di daerah Semporna, Sabah, sejak tahun 1994.
Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini.
Selain itu, saban tahun terdapat beberapa persembahan menarik dan mendebarkan iaitu misi menyelamat yang dilakukan oleh anggota keselamatan negara dari Pasukan Bomba serta anggota ESSCOM.
Acara kemuncak membuka tirainya dengan kedatangan pelbagai Lepa (perahu) dari seluruh pelusuk kampung yang terdapat di Daerah Semporna yang dipimpin oleh Ketua Kampung masing-masing. Pengujung yang datang menyaksikan sambutan ini dapat melihat perarakan lepa berhias serta tarian tradisi masyarakat Bajau Semporna yang diringi dengan muzik etnik tempatan di atas lepa.
Pada sebelah malamnya pula, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil dihiburkan dengan nyanyian artis terkenal tempatan iaitu Dato Sri Siti Nurhaliza. Disepanjang jalan juga meriah dengan kehadiran peniaga dan penjaja jalanan yang menjual pelbagai makanan. Rata-rata pengujung yang datang boleh dilihat sangat teruja dengan perayaan besar saban tahun ini. Pertunjukan bunga-api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut dengan begitu meriah.
Trivia
- Lepa: Dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud ‘bot’. Ia dipercayai berasal dari komuniti nelayan yang menetap di Pulau Bum-Bum Semporna pada satu ketika dahulu.
- Regatta Lepa: Merupakan perayaan tahunan Daerah Semporna sejak tahun 1994.
- Regatta Lepa mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah.
- Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar ‘Pesta Air Malaysia’ dan kini Regatta Lepa merupakan salah-satu acara tahunan Malaysia.
Muzium Galeri Tun Sakaran
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai suku kaum Bajau, anda dicadangkan untuk berkunjung ke Muzium Galeri Tun Sakaran. Muzium dua tingkat berkonsepkan rumah tradisional masyarakat Bajau Semporna ini menempatkan sudut pameran koleksi dan biografi mantan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai. Selain itu, di sini juga turut mempamirkan khazanah warisan daerah pantai timur Sabah khususnya di Semporna.
Jom cuti-cuti Malaysia!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI