Rambut merupakan mahkota wanita. Pelbagai fesyen dan jenis gaya rambut menjadi pilihan. Ada yang suka berambut panjang dan ada juga yang gemar akan potongan rambut pendek.
Umum mengetahui wanita di negara India gemar menyimpan panjang rambut mereka, baik daripada golongan selebriti terkenal hingga ke rakyat biasa. Namun untuk seorang warganegara India bernama Nilanshi Patel ini, dia memilih untuk menyimpan panjang rambutnya hingga mencecah lantai.
Sungguh luar biasa apabila gadis ini berjaya mengekalkan gelarannya memiliki rambut terpanjang di dunia sekali gus tercatat dalam Guiness World Records untuk beberapa tempoh.
Nilanshi Patel gadis berusia 17 berasal dari Pekan Modasa, Gujarat, India dikatakan terpaksa mengambil masa satu jam setiap hari untuk menyikat rambutnya yang berukuran lebih 190 cm.
Dia yang mendapat jolokan Rapunzel India, mula menyimpan rambutnya selepas berdepan pengalaman pahit ketika memotong rambut di sebuah kedai ketika berusia enam tahun.
Sejak peristiwa itu, rambut Nilanshi tidak dipotong dan semakin panjang dari tahun ke tahun sehingga dia terpilih sebagai pemegang rekod dunia November 2018 dengan ukuran 170.5 cm.
Bagi menjaga rapi rambutnya, Nilanshi memakai kasut tinggi bagi mengelakkan rambutnya mencecah lantai dan jika mahu membasuh rambut, dia akan meminta bantuan daripada ibunya.
“Saya melakukan apa yang dilakukan setiap remaja. Basuh rambut setiap minggu dan minyak sekali atau dua kali seminggu. Saya akan keringkan rambut dibawah sinaran matahari atau menggunakan pengering rambut, ” katanya yang berdepan masalah ketika melakukan aktiviti berenang.
Rutin mencuci rambut memerlukan 30 minit dan untuk dikeringkan pula dia memperuntukkan satu jam untuk disikat. Dia gembira nama terus kekal dalam rekod dunia Guiness dan berhasrat untuk mencipta rekod baru selepas ini.
Foto: guinnessworldrecords | Sumber: sinarharian
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI