
Terkenal antara lokasi pelancongan popular di Selangor, Sekinchan yang dipenuhi pemandangan indah berlatar belakangkan sawah padi sering kali menjadi tumpuan masyarakat tempatan untuk datang ke daerah ini.
Terkini, dalam menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini, selepas terkenal dengan rumah berwarna warni, satu lagi produk pelancongan bakal dibuka pada hari raya kedua ini iaitu Sekin Wonderland. Terletak berhampiran pantai, Sekin Wonderland mempunyai pemandangan yang cukup cantik, sesuai untuk santai dan bergambar bersama keluarga.
Menawarkan keseronokan untuk semua peringkat umur bermula dari kanak-kanak, remaja hingga dewasa, orang ramai boleh menikmati water theme park dan indoor game.
Terbahagi kepada dua peringkat fasa pembukaan, fasa pertama akan dibuka pada hari raya kedua dan untuk fasa ke dua dijangka akan dibuka pada penghujung tahun ini.
Menawarkan 10 buah kolam pelbagai jenis size, lebih menarik terdapat lebih 50 gerai jualan seperti gerai menjual pakaian, makanan, mainan kanak-kanak, peralatan berenang, produk makanan tempatan, mini market dan banyak lagi.
Jadi kalau boring-boring tak tahu ke mana raya ini, bolehlah singgah ke sini.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Teroka Bandar Seri Begawan Dengan Itinerari Percutian Solo 3H2M Ke Brunei Darussalam!

Isi Kandungan
ToggleBrunei Darussalam sememangnya satu negara yang sangat menarik untuk dilawati. Selain daripada faktor kedudukannya yang berdekatan dan berjiran dengan Malaysia, faktor budaya,, kesenian dan tempat makan makanan tempatan yang terdapat di sana juga antara sebab menarik mengapa anda perlu berkunjung ke Brunei.
Tapi berkunjung ke sana tanpa tahu tempat-tempat yang menarik untuk dilawati pun tak berbaloi juga. Jadi di sini saya kongsikan satu perkongsian itinerari dan info oleh Romi Zunaidi berkenaan tempat-tempat pelancongan menarik yang terdapat di Brunei untuk anda lawati.
Tempat-tempat yang beliau senaraikan cukup menarik, rugi kalau anda tak ambil sedikit input daripada apa yang dikongsikan di sini. Nah, tanpa buang masa, jom kita baca apa yang disampaikan oleh saudara Romi Zunaidi ini.
Oleh: Romi Zunaidi




Solo Travel to Brunei
(Salah satu negara yang wajib anda lawati jika dalam misi travel ke semua negara-negara Asean. Inilah misi saya)
- Tiket Flight
KLIA2 – Brunei – KLIA2 = RM72
(Dibeli semasa promosi freeseats AirAsia) - Matawang Brunei Dollar (BND)
1 Dollar lebih kurang RM3. Kadang-kadang bila anda membayar sesuatu penjual ada menyebut 1ringgit sahaja tetapi maksudnya 1 Dollar Brunei. Jangan salah faham. Hanya sebutan sahaja tapi nilainya tetap Brunei Dollar. Jangan pula bayar dalam ringgit Malaysia pula. - Penginapan
LeGallery Suites Hotel, Bandar Seri Begawan
34 BND
(Recommended sebab lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan restaurant dan pasaraya. Ada 3 tempat lawatan yang saya berjalan kaki dari sini. Pickup dari airport free bagi sesiapa yang menginap di sini)

1 Night 34BND for 2 person.

- Pengangkutan
Ada traveller yang menyewa kereta tetapi bergantung kepada kemampuan dan itinerari anda. Seperti saya hanya download apps ‘DART’. Di Brunei tiada grab. Hanya satu perkhidmatan e-hailing beroperasi di sana iaitu DART. Harganya semasa saya cuba jika lingkungan jarak dalam 3km adalah 5 Dollar Brunei. Ada yang jarak dalam 7km dalam 7 Dollar. Tidaklah murah tetapi berbanding taxi lebih baik anda menggunakan Dart. - Tempat-tempat lawatan yang sempat dikunjungi.
1) Masjid Omar Ali Saifuddien
2) Royal Regalia Museum
3) Maritime Museum
4) Malay Technology Museum
5) Jame’Asr Hassanik Bolkiah Mosque
6) Jolibee Restaurant
7) Istana Nurul Iman (Luar Gate)
8) Gadong Night Market
9) Kampung Ayer


Catatan
– Tiada bayaran dikenakan untuk mengunjungi muzium. Pengunjung yang mengunjungi Royal Regalia Museum dan Maritime Museum dikehendaki meletakkan barang peribadi di dalam locker yang disediakan. Tidak boleh mengambil gambar didalamnya kecuali di main lobby entrance manakala di Malay Technology Museum juga harus meletakkan barang peribadi di dalam locker yang disediakan tetapi anda boleh mengambil gambar di dalam muzium.







– Jika anda ingin merasa fast food terkenal dari Filipina boleh berkunjung ke Jolibee Restaurant. Ada banyak cawangan di Brunei dan semestinya halal. Di Malaysia yang saya tahu sudah ada di Kota Kinabalu.



– Pasar Gadong harus dimasukkan dalam perjalanan anda.Dengan harga makanan dan minimun serendah 1 Dollar anda dapat merasa pelbagai makanan dan minuman dari sini. Namanya dipanggil Gadong Night Market tetapi kalau anda berkunjung ke sini pada waktu petang pun sudah dibuka untuk pengunjung. Saya berkesempatan merasa Nasi Katok dengan hanya 1 Dollar. Antara menu favourite saya sewaktu di sini.





– Jangan lupa ke Kampung Ayer. Anda boleh menaiki bot return ke Kampung Ayer dengan 2 Dollar Brunei. Anda juga boleh mengambil pakej boat ride mengelilingi Kampung Ayer ataupun pakej mengelilingi Kampung Ayer + Mangroove Tour. Banyak pilihan disediakan.
Menariknya disini terdapat rumah, sekolah, klinik dan pelbagai kemudahan di Kampung Ayer yang terletak di atas sungai.


– Sebelum ke Brunei saya telah membaca perkongsian traveller lain tentang kurangnya motosikal disini ataupun ada yang tidak menjumpai langsung. Pengalaman saya pula sepanjang saya di Brunei saya tidak menjumpai satu motosikal pun disini. Ketika berbual dengan salah seorang DART driver, beliau mengatakan memang di Brunei agak sukar menjumpai motosikal. Beliau sendiri memiliki motosikal tetapi jarang dibawa keluar.
Buat pertama kali ini travel paling cepat saya habiskan selama 2Hari/1Malam kerana ada komitmen lain. Disarankan untuk lebih santai saya cadangkan anda boleh travel 3hari/2malam malah anda boleh masukkan sekali Jerudong Park ke dalam itinerary.
Sekian perkongsian serba sedikit dari saya. Harap bermanfaat untuk semua. ?
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suka Duka Empat Wanita Bersahabat Mendaki Gunung Fuji, Puncak Tertinggi Jepun

Cerita ini diambil dan diolah semula untuk pendaki yang ingin mendaki gunung diseluruh dunia. Semoga dengan cerita ini dapat membantu dalam melaksanakan ekpidisi atau cabaran tersebut. Paling menarik, pendakian ke Gunung Fuji ini dilakukan oleh empat orang wanita yang bersahabat.
Percutian dua minggu kami ke negara Ultraman ini akan berakhir pada 26 Jun. Menyedari akan tarikh yang hampir dengan musim rasmi, kami membuat perancangan rapi. Peluang ini terlalu hebat untuk dilepaskan. Tiada yang lebih ‘cool’ untuk seorang pencinta aktiviti luar yang sedang bercuti di Jepun selain daripada menyaksikan matahari terbit digunung tertinggi di negara matahari terbit.
Dari stesen Minatomirai kami ke Yokohama, bertukar trek di Hachioji, terus ke Otsuki dan akhirnya sampai ke Fuji Station di daerah Kawaguchiko. Dari situ, kami menaiki ‘bas mendaki’ (climbing bus) ke Fuji 5th Station. Keseluruhan perjalanan mengambil masa hampir 6 jam.
Di Fuji 5th Station kami membuat persiapan mendaki, menyalin pakaian, mengisi perut dengan bekalan yang dibawa, dan acara wajib sebelum setiap pendakian; membuat senaman regangan, berdoa memohon keselamatan dan merakam foto kenangan. 3.30 petang, kami memulakan langkah dengan lafaz bismillah. Setengah jam pertama kami melalui trek yang berbatu kasar, batu gunung berapi yang berwarna hitam. Keadaan batu
yang tidak padat menyebabkan kami cepat penat. “Batu jerlus”, kami bercanda. Selepas setengah jam, kami sampai ke Stesen ke-6, seperti yang tertulis di dalam Peta Panduan Mendaki.
MEMILIH ‘JALAN YANG BENAR’
Satu jam berikutnya merupakan pendakian yang mencemaskan. Keadaan kabus sangat tebal sehinggakan jika seorang dari kami berjarak sepuluh langkah pun, bayangnya sudah tidak kelihatan. Kami berjalan rapat diantara satu sama lain, tidak terlihat apa yang ada di hadapan, di belakang, kiri atau kanan. Lebih mencemaskan apabila kami tidak berselisih dengan seorang pendaki pun, samada yang ingin naik mahupun turun. Di dalam hati tidak berhenti berdoa. Paling mencemaskan apabila terdapat dua cabang jalan yang tiada papan tanda.
Kabus semakin tebal, keadaan semakin gelap, kami mula lemas. Senyap. Tiada siapa yang berani melontarkan cadangan mengikut gerak hati tentang jalan mana yang harus dipilih. Keputusan harus dibuat. Di kedua-dua jalan ada kesan tapak kasut. Dengan bermacam doa, saya memilih laluan sebelah kanan, berbekalkan pesanan kepada tiga lagi rakan, “jangan kemanamana, tunggu sehingga saya balik, saya mahu me’recce’ laluan”. Mujurlah laluan itu tidak jauh sebelum menemui jalan mati, sebuah bukit yang tidak boleh didaki. Kami meneruskan perjalanan mengikut laluan yang satu lagi. Selang tidak berapa lama, salah seorang dari kami terdengar suara orang bercakap-cakap.
Pada altitud tinggi, dalam keadaan oksigen yang semakin menipis dan keletihan yang berganda, “halusinasi” mungkin adalah jawapannya. Kami ketawa kecil, tak berdaya untuk mengusik dan gelak besar. Kemudian kami melihat lembaga hitam, semakin lama semakin mendekat. Ya Allah, syukur! Lembaga itu adalah manusia! Sekumpulan enam orang Jepun sedang berjalan turun. Ternyata mereka juga terkejut melihat kami, empat orang perempuan yang masih mendaki pada pukul 5.30 petang di dalam cuaca buruk. Dalam kesusahan berbahasa Inggeris, mereka bertanyakan pelbagai soalan kepada kami seperti dimana kami mahu menginap, bahan makanan dan kelengkapan pakaian menghadapi malam yang sangat sejuk.
Rupa-rupanya mereka baru turun dari stesen ke-8, Toyokan Inn di tempat kami mahu menginap. Daripada mereka kami mendapat tahu untuk sampai ke puncak adalah suatu yang mustahil disebabkan salji yang masih tebal.
Berjumpa dengan mereka memberi kelegaan kepada kami bahawa kami berada di trek laluan yang betul. Seterusnya kami melalui trek zig-zag dengan bongkah-bongkah batu yang diletak dalam sangkar besi. Disini kami terserempak pula dengan dua orang lagi pemuda Jepun, juga dalam perjalanan turun, turut menyuarakan keprihatinan yang sama. Menurut mereka, dalam minggu ini sahaja, sudah enam orang yang meninggal dunia akibat tergelincir. Mereka meninggalkan kami dengan ucapan “ganbatte!”.
“Ya Allah, tengok tu!”, jerit salah seorang dari kami yang berada paling hadapan. Serentak kami mendongak, deruan angin bertiup kencang menolak kabus lantas membuka pemandangan seindah filem dokumentari National Geographic. Kami seolah-olah berada di alam lain. Di hadapan kami terbentang puncak Gunung Fuji yang diselaputi salji memutih dilatari awan membiru.
Turut menambah keunikan adalah rumah-rumah penginapan pendaki yang bersusun cantik. Semangat yang pudar akibat keletihan kembali membara. Usai trek zig-zag, bermulalah cabaran berbatu. Trek menjadi semakin mencanak, ada kalanya kami terpaksa memegang rantai besi yang disediakan untuk memanjat. Salji mula kelihatan di tepi trek. Bagi sebahagian dari kami, ini adalah pengalaman memegang salji yang pertama dan sudah tentu kami tidak melepaskan peluang untuk bermain-main salji seketika.
IBARAT TIDUR DALAM PETI AIS
Kenipisan oksigen mula dirasa. Beg Deuter yang digalas semakin terasa memberat. Di ketika ini hanya semangat mengatasi kudrat. Walaubagaimanapun, sempat juga kami merakam detik-detik matahari terbenam. 7.30 petang. Dalam keadaan yang semakin gelap dan sejuk, sudah kelihatan Toyokan Inn tidak jauh dari kami. Toyokan Inn merupakan diantara sebilangan kecil penginapan yang beroperasi awal sebelum musim mendaki. Mereka berada di situ untuk membersihkan, menyiapkan segala kelengkapan dan keperluan untuk pembukaan rasmi musim pendakian yang akan berlangsung dalam 14 hari lagi.
Walaupun penginapan kami sudah semakin hampir, tetapi kerana kepenatan yang amat sangat dan oksigen yang semakin berkurangan, anak-anak tangga ke Toyokan Inn dirasakan sudah tidak mampu lagi untuk di panjat. Kami berhenti setiap tiga ke lima langkah untuk berhenti dan mengambil nafas. Air mata diantara kawan-kawan sudah mula mengalir di pipi. Dengan dorongan kata-kata semangat diantara satu sama lain, kami gagahkan juga kaki memanjat anak-anak tangga ke Toyokan Inn.
Perlahan- lahan, satu persatu….akhirnya sampai juga kami ke tempat penginapan di stesen ke-8 pada ketinggian 3,020 meter ini diiringi dengan linangan air mata kesyukuran. Bersyukur kerana selamat sampai.
Alhamdulilah. Penginapan di sini berharga 5000 yen satu malam (RM 200) tanpa makanan. Kami tidur dalam satu bilik yang biasanya memuatkan 20 orang kerana kamilah sahaja tetamu untuk malam ini. Keadaan bilik yang sangat sejuk terasa seperti berada di dalam peti ais yang besar. Kami diberi tilam dan selimut yang sangat-sangat tebal dan banyak, namun begitu, tilam, selimut, bantal dan segala peralatan di dalam bilik ini terasa sejuk seperti ais. Dengan suhu yang sangat sejuk dan kedinginan sehingga ke tulang hitam, kami melelapkan mata dengan berpakaian empat lapis lengkap bertopi, sarung tangan dan stoking. Pendakian yang sememangnya mempunyai nilainya yang tersendiri.
Pendakian ini menguji stamina, mental dan fizikal kami. Lebih dari itu, ia juga menguji tahap setiakawan kami berempat. Walaupun tidak sampai ke puncak, namun kami tetap menyimpan hasrat untuk kembali lagi dan menakluknya suatu hari nanti, pastinya kali ini dengan lebih ramai lagi bersama sahabat-sahabat di DATS ADVENTURE TREKKERS MALAYSIA!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Taman Negara Gunung Lesong, Eco Pelancongan Baru Di Sri Aman Yang Jarang Diterokai

Sarawak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian etnik. Negari ini amat kaya dengan adat dan budaya serta suku kaumnya yang banyak. Malah di Sarawak juga terkenal dengan Gunung Santubung, Taman Negara Gunung Mulu dan lain lagi.
Terkini, satu lagi eko pelancongan negeri yang mula diterokai ialah Taman Negara Gunung Lesong, Lingga di Bahagian Sri Aman.
Seorang pengguna fb Muhamad Syafiq berkongsi melakukan travel ke kawasan pelancongan baru ini yang wajar kita cuba selepas PKP berakhir.]
Setelah sejam perjalanan dari Sri Aman, kami sampai dan berkumpul di Balai Polis Pantu. Kami dikehendaki melaporkan senarai nama ahli yang menyertai aktiviti pendakian kali ini. Ianya juga sebagai langkah berjaga-jaga jika perkara yang tak diingini berlaku. Oh ya, kami seramai 14 orang semuanya.
Setelah semuanya bersedia, kami meneruskan perjalanan kami menaiki pacuan roda. Sekali sekala duduk dalam "bucket" Hilak ramai-ramai seronok jugak. Perjalanan lebih 20KM melalui jalan berbatu yang berbukit bukau mengambil masa dalam satu jam untuk sampai ke pintu masuk Taman Negara Gunung Lesong.
0920
Dari sini kami memulakan pendakian kami pada pukul 0920 pagi. Sebaik sahaja masuk kami berjalan di tepi alur sungai. Terdapat juga beberapa air terjun yang sangat jernih dapat dinikmati sepanjang perjalanan kami ini seperti air terjun Lansam dan air terjun Jampang. Perjalanan 2KM pertama agak "santai" sebenarnya.
1025
Kemudian kami singgah melapaskan lelah di Rumah Doa Gunung Lesong. Ianya dibina untuk aktiviti keagamaan penganut agama Kristian di sini. Berhampiran Rumah doa juga terdapat tempat mandi manda dan juga air terjun. Setelah selesai berehat kami meneruskan pendakian kami hingga ke puncak. Hanya dua kali sahaja trek landai sahaja selepas Rumah Doa ini..tu pun pendek dan sekejap sangat..pheww, pewai habis..
1125
Kami mula mamasuki kawasan Hutan Simpan Gunung Lesong berdasarkan papan tanda yang terdapat pada pokok² di situ. Perjalanan kami sangat perlahan kerana pendakian agak mencanak dan sangat menguji fizikal dan mental. Nak lagi mencabar, bila ditanya kepada juru pandu kami " Masih jauh ka Boss?" Dia pun tak tahu nak jawab memandangkan baru kali kedua dia mendaki di sini.
Opps, jangan risau kerana sepanjang perjalanan terdapat tanda yang diikat di pokok. Insya-Allah tak sesat la. Ada juga tempat-tempat yang mempunyai tali untuk berpaut.
Sepanjang pendakian, kami dihidangkan dengan keindahan flora di sini, banyak pokok-pokok tinggi yang besar. Paling mencuri tumpuan saya ialah pokok cendawan bewarna merah yang tak pernah saya lihat sebelum ini. Bagi menambahkan lagi rencah pendakian, banyak pacat dengan tanpa segan silu menyapa kaki-kaki kami.
1420
Kami sampai ke "puncak" Gunung Lesung yang beketinggian lebih 800 meter. Di puncak terdapat banyak pokok-pokok Pantu. Baru saya tahu yang nama kawasan Pantu itu diambil dari nama pokok. Di atas puncak ini, kami dapat menikmati panorama penciptaan alam yang sangat indah.
Panorama hamparan dataran tanah rata dan muara Batang Lupar yang bertemu dengan Laut China Selatan cukup mempesonakan setiap mata yang memandang.
Di samping menikmati pemandangan keindahan ciptaan Tuhan, kami mengambil peluang untuk berehat sambil menikmati makanan yang telah dibawa. Puas rasanya bila dapat menghirup kopi panas yang disediakan oleh Ah Kang, juru pandu kami.
1540
Setelah selesai mengambil gambar, kami memulakan perjalanan pulang. Kali ini kami bergerak selaju dan secepat yang boleh. Lagipun lewat petang ni.
1800
Kami semua selamat sampai ke pintu masuk di mana kami memulakan pendakian pada awal paginya. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan selamat sahaja.
1925
Kami tiba di Balai Polis Pantu dan aktiviti kami tamat di sini.
Kawasan Taman Negara Gunung Lesong sangat jarang dikunjungi oleh orang ramai dan kawasannya masih terpelihara, jadi jagalah kebersihan jika anda ke sini. Bawalah pulang semua yang anda bawa kecuali gambar dan secebis kenangan.
#ShafixdiSarawak
#GunungLesong
#SriAman
#SarawakdalamMalaysia
#SarawakMoreToDiscover #SarawakTourism #TourismMalaysia #TorismMalaysiaSarawak #RediscoverYourselfInSarawak #ExploreSarawak #BorneoTalk #LeisureSarawak #SarawakTravel
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI