Glamping aktiviti percutian unik dan menyeronokkan dengan menggabungkan konsep ‘glam’ dan ‘camping’ pastinya menjadi sangat menarik kalau disertai bersama keluarga atau rakan-rakan baik. Jika anda memang anak kota yang tidak biasa percutian ala dalam hutan, tetapi teringin untuk merasai suasana berkhemah, maka glamping adalah pilihan terbaik!
Tidak seperti berkhemah biasa yang memerlukan kita membina khemah sendiri, glam camping membolehkan anda terus masuk ke dalam khemah. Selain itu setiap khemah lengkap dengan pelbagai kemudahan tempat tidur selesa, makanan dan pengudaraan yang baik.
Pun begitu bukan semua kawasan perkhemahan atau glamping, mempunyai kemudahan dan kelengkapan sama. Lain tempat, lain kelebihannya dan juga segala aktiviti yang ditawarkan juga berbeza. Tetapi secara amnya, ia sangat mengujakan apa lagi jika anda dan keluarga ingin keluar dari kesibukan hiruk pikuk kota.
CHENGAL HILL RESORT
Chengal Hill Resort ini terletak di kebun yang berkeluasan 5 ekar dan di kawasan berketinggian 900 meter dari aras laut. Suasana damai yang dingin ini bagikan berada di kawasan berpendingin hawa lebih-lebih lagi pada waktu malam dengan suhu 22 darjah dan ke bawah.Jadi jangan lupa bawa pakaian yang sesuai, agar tidak menggigil kesejukan terutama di malam hari.
Chengal Hill Resort menyediakan penginapan riverside chalet, dorm style chalet, water chalet, apachi, khemah camping dan glamping. Untuk aktiviti pula, anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti memanah, ATV, menyewa 4WD untuk meneroka hutan di sekitar, berbasikal dan meredah hutan.
Alamat: Lot 8537 Kuala Lurah, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang, Pahang
TANAH AINA
Keseronokan bermalam di Tanah Aina Fahad bukan sahaja kerana keindahan kawasan sekitarnya, tetapi juga kerana kesempurnaan kawasan resort ini yang direka bentuk dengan indah dan dalam kondisi yang sangat terjaga. Air terjun yang melatari suasana di sini amat menenangkan jiwa ditambah lagi dengan kawasan sekitarnya yang menghijau dengan flora. Antara penginapan yang jadi pilihan King Tent, Queen Tent dan Normal Tent, namun, khemah King dan Queen kelihatan lebih seperti kabin dan lebih selesa daripada khemah Normal.
Bila dah duduk di kawasan kelilingi alam flora, rugi kalau tidak mencuba aktiviti beriadah meredah hutan, bermandi-mandi di kawasan sungai sambil mengumpulkan kenangan. Kalau cerita soal makan, ini memang best. Bayangkan bersarapan di ruang di ruang makan di bawah pokok besar ditemani bunyi air sungai yang mengalir deras dan kicipan burung. Aduh.. pasti tak sedar makanan habis licin. Ternyata Tanah Aina Fahad adalah sebuah lokasi percutian yang cukup best dan berbaloi untuk dikunjungi.
Lokasi: Tanah Aina Fahad – Lot 1053, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang
THE STICKS
Ads
Kala berada di sini anda bakal menginap di khemah yang dipanggil Tendok. Wah bunyi macam exotic kan. Tendok adalah nama yang diberikan untuk penginapan-penginapan dan nama Tendok adalah gabungan perkataan ‘tent’ dengan pondok. Berlatarkan alam semulajadi, disini kita akan dapat merasai pengalaman sebenar bermain pondok-pondok bertemankan panorama indah kawasan sekitar.
Antara penginapan yang ditawarkan adalah rumah buluh yang terletak di bawah lindungan pokok, tendok di tepi sungai yang mana anda boleh melalui laluan khas untuk terus sahaja ke kawasan sungai dan banyak lagi penginapan lain yang yang boleh menjadi pilihan sekeluarga.
Lokasi : Lot 213 Jalan KKB – Fraser’s Hill, Kuala Kubu Baru, Selangor
SAILOR’S REST RESORT
Terletak dalam kawasan hutan Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 600 meter dari aras laut, sudah dapat dibayangkan kesegeran persekitaranya. Penginapan yang ditawarkan pula terdiri dari rumah 3 bilik, rumah bot, chalet moden, dan chalet kampung. Tenang damai dengan suasana perkampungan.
Sailor’s Rest Resort juga mempunyai taman yang cantik yang dipenuhi pokok-pokok hijau dan bunga-bungaan yang menyegarkan pandangan. Kalau kena musim buah-buahan, anda boleh makan buah-buahan segar terus daripada pokok manggis dan pokok durian yang terdapat di sini. Jadi pandai-pandailah pilih tarikh ya.
Lokasi: Lot 8592, Lorong Dato Panglima, Kg. Sg. Lurau, Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Ads
SAUJANA JANDA BAIK HOMESTAY
Saujana Janda Baik Homestay juga satu lagi tempat glamping yang bakal memberikan anda pengalaman bertemankan alam semulajadi yang best. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar membuatkan langit malamnya dapat memancarkan cahaya jelas daripada bintang-bintang dan bulan. Satu pemandangan yang sangat mempesonakan, jadi, jangan lupa bawa teleskop kalau ke sini.
Di samping stargazing, anda juga boleh mandi manda di sungai yang terletak bersebelahan dengan kawasan chalet di sini. Kalau nak lebih dekat dengan sungai ataupun di kawasan kegemaran anda yang lain, anda boleh menyewa khemah yang disediakan. Selain itu, untuk bersantai, anda boleh naik ke pondok di atas pokok untuk melihat pemandangan sekeliling ataupun bermain permainan papan yang disediakan sambil menikmati minum petang.
Lokasi: Lot 6989, Kampung Janda Baik, 28760 Bentong Pahang
KANOPI VILLA JANDA BAIK
Kanopi Villa Janda Baik ini terletak di dalam kawasan hutan hujan di kaki bukit Genting Highlands dan hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur.
Khemah-khemah yang didirikan di sini menghidangkan pemandangan indah kawasan gunung-ganang. Alangkah besnya bangun pagi dalam suasana yang segar dikelilingi keindahan alam semulajadi. Untuk aktiviti sepanjang penginapan pula, anda boleh menaiki ATV, memancing di kolam yang terletak bersebelahan dengan khemah, bermain permainan papan, berbasikal di trek-trek berdekatan ataupun trekking ke air terjun Bentong.
Ads
Bukan itu sahaja, Kanopi Villa Janda Baik ini juga terletak berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang lain seperti Taman Jepun, Ladang Arnab, Taman Rusa, kereta kabel, kolam air panas, ladang strawberi dan bermacam lagi.
Lokasi: Lot 25929 Kg Janda Baik, off Genting Sempah, Bentong, Kampung Janda Baik, Pahang
TANJUNG INN
Tanjung Inn adalah sebuah penginapan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai, lokasi pun dah cukup best, bagaimana pula dengan tempat menginap? Tanjung Inn menyediakan khemah-khemah yang agak simple tetapi cukup selesa. Khemah-khemah ini terletak berdekatan dengan kolam-kolam air.
Sekiranya anda sekeluarga menginap di sini, anda boleh meluangkan masa bersantai di taman yang indah di sekitar penginapan dan mengatur aktiviti melihat kunang-kunang di kawasan sungai berdekatan.
Lokasi: Jalan Cherating Lama, Kampung Cherating Lama, 26080 Cherating, Pahang
TIME CAPSUL RETREAT PAHANG
Terletak di tengah-tengah Pekan Sungai Lembing, Time Kapsul Retreat Pahang menyediakan anda bilik-bilik tidur kapsul berbentuk silinder yang lengkap dengan katil bersaiz queen dengan pemandangan hutan simpan
Bergantung kepada bajet untuk penginapan, lagi mahal, lagi luas cermin di sekeliling bilik untuk anda menikmati keindahan flora di luar. Beberapa bilik turut dilengkapi dengan jakuzi. Bunyi begitu menarikkan. Jadi terpulang yang mana satu pilihan anda.
Lokasi: EB4 Belakang Sek Men, Sungai Lembing 26200
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Kalau ingin rasa ‘bahagia’, mungkin anda boleh berkunjung ke beberapa buah bandar yang telah diangkat sebagai lokasi yang ‘disenangi’ ini.
Bandaraya Melaka Bersejarah, Bandaraya Kuala Terengganu dan Seremban diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020. Turut tersenarai adalah bandar Bentong, Kuantan, Jasin, Kulai, Taiping, Jeli dan Yan yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia 2019 ini adalah susulan daripada Anugerah Bandar Mampan 2019 yang telah diisytiharkan pada November tahun lepas sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 oleh PLANMalaysia.
Menurut PLANMalaysia, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 telah merekodkan tahap kebahagiaan negara secara keseluruhan berada pada paras bahagia dengan pencapaian 80.4 peratus. Pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.
MURNInets merupakan alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di negara ini di bawah seliaan PLANMalaysia. Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.
Antara aspek utama yang menyumbang kepada tahap kebahagiaan ini adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.
Indeks Kebahagiaan merupakan satu daripada indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama iaitu:
Tahap kehidupan dan kesihatan
Keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam
Infrastruktur asas yang disediakan
Kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja
Pengurusan kewangan
Hubungan dengan jiran
Aktiviti bersama komuniti
Infrastruktur asas yang disediakan
Perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan
Kualiti alam sekitar
Sebanyak 106 PBT telah menyertai kajian ini termasuk PBT Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) dan Sarawak (Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan).
Kedatangan musim bunga di Belanda kalau tak pergi tengok bunga tulip tidak akan lengkap!
Namun kerana wabak COVID-19 yang melanda satu dunia ketika ini, destinasi wajib lihat bunga di Keukenhof ditutup kepada umum. Pertama kali dalam tempoh 71 tahun lokasi ini sunyi sepi tanpa kelibat pengunjung kecuali pekerja taman.
Keukenhof adalah taman bunga tulip berhampiran bandar Lisse dan setiap tahun, dari pertengahan Mac hingga pertengahan Mei, ia adalah pasar bunga terbesar Eropah. Bila sebut pasar terbesar, ia memang menggemparkan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Ia medan pertemuan pembekal dan pengedar seluruh Eropah membabitkan jual beli bunga berkoyan-koyan.
Begitupun, dengan bayaran tertentu orang ramai boleh masuk ke Keukenhof dan melihat pameran, menikmati pemandangan dan menggunakan semua kemudahan di dalamnya. Paling mengujakan, bergambar sepuas-puasnya di dalam taman indah seluas 32 hektar ini.
Ratusan spesies dan varian pohon bunga ditanam tersusun dengan menarik di beberapa lot kecil dengan seni landskap indah. Ketika ini adalah tempoh terbaik kerana kuntum tulip sedang mekar dengan cantik.
Setiap tahun ketika musim bunga, Keukenhof sesak dengan pengunjung. Ada yang datang berkeluarga, rombongan pelajar sekolah dan pasangan bercinta. Yang datang berkeluarga terus ke beberapa lokasi berkelah, yang berpasangan menuju beberapa bangku di tepi tasik dan terusan, kanak-kanak pula berkejaran ke taman permainan dan ‘petting zoo’.
Tidak kurang juga yang lebih gemar berjalan-jalan menghirup udara pagi yang segar kerana sungguhpun suasana dingin, matahari sudah naik dan bersinar terang. Ada juga pengunjung serius, terutama golongan pencinta bunga. Ada juga yang datang bersama kamera canggih masing-masing. Sebaik masuk mereka terus mencari subjek kegemaran di merata-rata.
Seorang jurugambar Belanda sempat kongsikan foto-foto indah di Keukenhof tanpa kelibat pengunjung seperti kebiasaannya di Instagram miliknya: albertdrosphotography
“Sebagai orang Belanda yang sebenar, saya peminat bunga kami. Dan sebagai jurugambar landskap, saya menikmati musim bunga yang indah setiap tahun di mana saya selalu mempunyai masa untuk memotret bunga dan dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dunia. Sebilangan besar daripada anda mungkin mengetahui Keukenhof sangat terkenal di dunia, taman tulip yang paling indah di dunia. Setiap tahun berjuta-juta pelancong mengunjungi kebun ini.
Tahun ini sangat ‘istimewa’. Keukenhof ditutup, untuk pertama kalinya dalam tempoh 71 tahun. Tetapi itu tidak bermaksud tidak ada bunga. Sebaliknya; bunga kelihatan luar biasa dan mendapat perhatian dan penjagaan seperti biasa. Semua tukang kebun yang bersemangat melakukan kerja mereka seperti biasa.
Bertahun lamanya saya mengambil gambar bunga dan sangat impikan taman di Keukenhof tanpa kelibat manusia lain. Ia mungkin sesuatu yang mustahil sehingga datang virus COVID-19. Ini satu-satunya peluang saya. Saya menghubungi pihak pengurusan di Keukenhof dan menerangkan apa yang ada dalam fikiran saya. Pihak pengurusan sangat bertimbang rasa lalu membenarkan saya mengambil gambar bunga di sini selama sehari. Ini pengalaman yang begitu ajaib. Tidak ada orang di taman ini membolehkan saya memotret jalan dan sudut dengan cara tertentu yang biasanya anda tidak dapat lihat kerana orang ramai.”
Selangor mempunyai pelbagai destinasi pelancongan eko yang menarik bagi penggemar aktiviti sukan lasak dan penggemar alam semula jadi.
Apa kata, luangkan masa senggang anda dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar dilokasi seperti berikut:
FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM), KEPONG
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
TAMAN EKO RIMBA KANCHING
Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar. Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
SKYTREX SUNGAI CHONGKAK, HULU LANGAT
Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih. Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
BUKIT BROGA, HULU LANGAT
Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
WHITE WATER RAFTING, HULU SELANGOR
Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang. Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
WATER TUBING, HULU SELANGOR
Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai. Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju.
Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30. Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
TAMAN ALAM KUALA SELANGOR
Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam. Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia.
Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun. Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
4X4 ADVENTURE TERATAK RIVERVIEW, HULU SELANGOR
Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta. Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
PARAGLIDING (BUKIT JUGRA, KUALA LANGAT & BUKIT BATU PAHAT, HULU SELANGOR)
Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor. Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara.
Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang. Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Tanpa berlengah, jom tengok video ni sampai habis, dan korang berpeluang menang percutian 2 Hari 1 Malam di Mardhiyyah Hotel & Suites. Tapi kena jawab soalan dulu ok?
Soalan:
Namakan Restoran & Cafe yang ada di Mardhiyyah Hotel & Suites?
Syarat mudah nak menang
LIKE & FOLLOW FB Majalah Libur
Share video ni di wall korang (PUBLIC)
Taip jawapan korang di ruangan komen & tag tiga orang kawan! (komen di sini)
3 KOMEN terakhir dengan jawapan yang betul sebelum min KOMEN STOP akan menang! Komen je banyak-banyak dan alert dengan komen STOP daripada min pada bila-bila masa ok?
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!